Monday, March 16, 2015

Hidup Sulit Dibaca

Seorang guru menyampaikan sebuah cerita kepada para pelajarnya. “Sebuah kapal persiaran terlibat dengan kemalangan di laut . Di dalamnya ada satu pasangan yang sedang berusaha mencari bot penyelamat. Mereka menyedari bahawa cuma ada tempat untuk seorang sahaja. Lelaki itu meninggalkan wanita yang bersamanya dan melompat masuk ke dalam bot penyelamat sendirian. Wanita itu berdiri di atas kapal yang sedang tenggelam dan melaungkan sesuatu kepada suaminya. Agaknya apa yang dia jeritkan?"
Hampir semua pelajar menjawab, "Aku bencikan kau! Tak berhati perut!" Guru terperasan seorang pelajarnya diam sahaja lalu bertanya kepadanya. Jawapannya agak mengejutkan, "Cikgu, saya percaya dia mesti cakap - Jaga anak-anak kita baik-baik!" Guru bertanya lagi, "Awak pernah dengar cerita ini?" Budak itu menggelengkan kepala, "Tak, tapi itulah yang mak saya beritahu ayah sebelum dia meninggal kerana penyakit." Guru kemudian menyambung,"Betul jawapan tu. Kapal itu tenggelam. Lelaki itu pulang dan membesarkan anak-anak mereka sendirian.
Beberapa tahun kemudian, lelaki itu meninggal dunia. Ketika mengemas barang-barang milik si ayah, anak-anak menjumpai diari ayah mereka. Rupa-rupanya semasa orang tua mereka menaiki kapal persiaran, ibu mereka sudah disahkan mengidap penyakit yang meragut nyawa. Ayah mereka menulis,"Alangkah baiknya jika saya tenggelam ke dalam lautan bersama denganmu, namun demi anak-anak kita, saya tinggalkan kamu bersemadi di dalam laut sendirian."
Guru sudah berhenti bercerita, namun keadaan kelas masih senyap. Mereka mula faham pengajaran cerita tersebut - walaupun ada yang baik dan yang buruk di dunia ini, masih banyak lagi kisah di sebaliknya yang sukar untuk dimengerti. Kerana itu kita jangan sesekali melihat luaran sahaja dan menghukum orang lain tanpa memahami situasi mereka dahulu. Mereka yang suka belanja makan bukan kerana mereka berharta, tetapi sebab mereka meletakkan persahabatan melebihi duit.Mereka yang rajin bekerja bukan kerana mereka tunjuk pandai, tetapi sebab mereka memahami maksud tanggungjawab.Mereka yang memohon maaf dahulu selepas pergaduhan bukan kerana mereka salah, tetapi sebab mereka menghargai orang di sekeliling mereka. Mereka yang sukarela membantu kita bukan kerana mereka berhutang apa-apa, tetapi sebab mereka lihat kita sebagai seorang sahabat. Mereka yang selalu menghantar mesej kepada kita bukan kerana mereka tidak ada kerja lain yang hendak dibuat, tetapi sebab mereka mengingati kita.
Satu hari, kita semua akan terpisah, kita akan terkenangkan pelbagai perbualan dan impian yang kita ada. Hari berganti hari, bulan, tahun, sehingga hubungan menjadi asing.Suatu hari nanti anak kita akan jumpa gambar kita dan bertanya, "Siapa mereka semua tu?" Dan kita tersenyum dengan air mata yang tidak kelihatan kerana hati sedang terusik, lalu berkata, "DENGAN MEREKALAH AYAH/IBU ADA HARI YANG PALING INDAH DALAM HIDUP INI." [Denaihati Netrwork]

No comments:

Post a Comment