Thursday, December 12, 2013

Dari Dinding Ke Manjung

serenemaklong.blogspot.com
Menurut buku Sejarah Melayu tulisan Tun Seri Lanang, Negeri Perak dahulunya dikenali sebagai Kerajaan Gangga Negara yang diasaskan oleh Raja Ganji Sarjuna dari Kedah. Pada 1890, seorang anak Raja keturunan dinasti Sailadra Jawa bernama Bolaputra telah menyerang dan mengalahkan Kerajaan Gangga Negara. Tetapi setelah berkahwin dengan puteri Raja Gangga Negara, Raja Bolaputra pun berundur. Pada kurun ke-11, Kerajaan Gangga Negara sekali lagi diserang tetapi pada kali ini, oleh Raja Chola Rajendran 1 dan Raja Suran. Lantaran itu, Kerajaan Gangga Negara telah dimansuhkan. Akibatnya, wujud dua buah kerajaan iaitu Kerajaan Beruas dan Kerajaan Manjung. Kerajaan Beruas berpusat di Kampung Kota yang dikatakan sentiasa bersengketa dengan Kerajaan Manjung sehingga mengakibatkan peperangan. Pada masa yang sama Kerajaan Beruas telah meminta bantuan Sultan Mahmud Shah yang menitahkan Paduka Tuan menyerang Manjung. Dia berjaya mengalahkan Kerajaan Manjung dengan mudah. Selepas peperangan itu, negeri Perak terbahagi kepada tiga daerah lagi iaitu Beruas, Manjung dan Janin (Hulu Perak sekarang) Pada 16 Februari 1935, berlaku istiadat menandatangani perjanjian penyerahan semula jajahan Dinding kepada Kerajaan Perak berhadapan Rest House Lumut. Bersempena dengan peristiwa itu, Jajahan Dinding telah ditukar namanya kepada Iskandar District dan Tanah Merah (Lumut) ditukar namanya kepada Port Iskandar. Sultan Perak juga melantik Raja Shahriman Raja Abdul Hamid sebagai Orang Besar Jajahan. Lantaran peristiwa bersejarah itu, sebuah Masjid Al-Adli telah dibina melambangkan rasa kesyukuran penyerahan daerah Dinding kepada Kerajaan Negeri Perak. Kini daerah ini lebih dikenali sebagai Manjung yang menjadi daerah pentadbiran yang merangkumi mukim Beruas dan Sitiawan. Manjung terkenal dengan seorang tokoh, Nakhoda Mohamad Taib yang banyak berjasa kepada perancangan dan pembangunan awal Daerah Dinding yang kini dikenali sebagai Manjung.

No comments:

Post a Comment