Thursday, November 21, 2013

Solat Ketika Kesesakan Jalan Raya

Dalam kehidupan seharian, terperangkap dalam kesesakan jalan raya, sama ada disebabkan hujan lebat, banjir ataupun kemalangan memang biasa kita lalui. Dalam keadaan begini, bagaimana cara hendak melakukan solat fardu yang DIWAJIBKAN ke atas kita? Ada dua pandangan mengenai perkara ini.
PANDANGAN PERTAMA - disebut oleh Syaikh Solleh Munajjid iaitu menjamakkan solat Zuhur dengan Asar atau Maghrib dengan Isyak, jika terperangkap dalam kesesakan yang tidak dijangka atau tidak disengajakan. Dalilnya ialah sabda Rasulullah s.a.w hadis daripada Ibnu Abbas katanya: “Rasulullah s.a.w. menghimpunkan antara solat Zuhur dan Asar dan antara Maghrib dan Isyak di Madinah, bukan kerana takut dan bukan pula kerana hujan.” Dan di dalam lafaz yang lain: “Bukan kerana takut dan bukan kerana safar, lalu (Ibnu Abbas) ditanya: “Mengapa Baginda s.a.w. berbuat demikian?” Jawabnya: Baginda s.a.w. menginginkan agar tidak menyusahkan umatnya.” (HR Muslim, no. 1151)---------------Hadis ini menunjukkan bahawa solat boleh dijamak bukan kerana musafir semata-mata, tetapi ia boleh dilakukan ketika dikhuatiri terlepas waktu solat. Bagaimanapun, solat hanya dijamak sahaja dan tidak diqasarkan kepada dua rakaat kerana dalam hal ini ia tidak melibatkan kelonggaran musafir.
PANDANGAN KEDUA – ialah solat hormat waktu yang dilakukan sambil memandu kenderaan. Caranya sangat mudah. Hanya perlu berniat dan bertakbir seperti biasa tanpa perlu mengangkat tangan daripada stereng. Lakukan rukun-rukun qauli (bacaan) seperti biasa dengan mata memandang ke jalan raya. Rukun-rukun fi’li (perbuatan) dilakukan dengan gerakan yang sedikit, sekadar membezakan antara satu rukun dengan rukun yang lain. Seperti rukun qiam (berdiri) digantikan dengan bersandar pada kusyen; rukuk dilakukan dengan menggerakkan sedikit tubuh ke hadapan; sujud dilakukan dengan menggerakkan tubuh sedikit ke hadapan; dan duduk dilakukan dengan menggerakkan tubuh sedikit ke belakang. Semua perbuatan ini hendaklah dilakukan tanpa mengganggu tumpuan pemanduan. Sekiranya sampai ke rumah ketika waktu Maghrib masih ada, solat Maghrib wajib dilakukan seperti biasa. Sekiranya waktu Maghrib sudah terlepas, solat Maghrib perlu diqada kerana solat yang dilakukan di dalam kereta hanya sebagai menghormati waktu.
WUDUK – perlu digantikan dengan tayamum darurat iaitu dengan menepuk pada panel kereta (dashboard) dengan menganggap ia ada debu yang juga berasal dari tanah. Solat ini dikatakan sebagai solat menghormati waktu kerana ia tidak memenuhi syarat sah solat. SEBAGAI ORANG BERIMAN, sentiasa solat di awal waktu. Jangan suka menangguhkan solat semata-mata hendak melakukannya di rumah. Jika ingin memulakan perjalanan dan waktu solat sudah masuk, solatlah dulu. Ia lebih baik dan lebih selamat. Sebelum memulakan perjalanan, cuba gunakan aplikasi moden seperti peralatan sistem penentududukan sejagat (GPS) yang boleh mengesan kesesakan jalan raya dan membantu mencari jalan ganti yag lebih cepat. Manfaatkan saat kesesakan jalan raya dengan mendengar alunan ayat-ayat suci al-Quran atau kuliah agama, mudah-mudahan hati akan tenang dan bertambah ilmu pengetahuan. Rancang perjalanan supaya terancang solat. Semoga kita sentiasa mendapat rahmat Allah. (Intipati tulisan Ustaz Abdullah Hamzah dalam IMAN #22)

No comments:

Post a Comment