Sunday, November 24, 2013

Menyambut Anak Baru Lahir

ANAK adalah anugerah Allah yang sangat disyukuri oleh setiap pasangan. Buat mereka yang baru menerima cahaya mata, sesudah sahaja anak dilahirkan dari rahim ibu, dia perlu dimandikan dengan betul dan baik agar posisi anak itu bersih dan sihat. Selalunya ia dilakukan oleh jururawat, bidan, bapa anak atau mereka yang sayang kepada bayi serta berkebolehan menyempurnakan tugasan itu. Bayi yang sudah dibersihkan dipakaikan kain tuala yang bersih dan lembut, sebaik-baiknya berwarna putih. Sunat memberi ucapan tahniah dan menggembirakan mereka yang baru sahaja mendapat anak bagi mengeratkan kemesraan dan ikatan silaturrahim. Adalah disarankan bagi pengucap khabar gembira menghulurkan buah tangan berupa hadiah, hamper, bunga-bungaan ataupun wang saguhati.
Sunat diazankan di telinga kanan bayi lelaki dan perempuan. Dan juga sunat diiqamatkan di telinga kiri bayi lelaki dan perempuan sesudah ia dilahirkan di samping membaca ayat-ayat suci Al-Quran pada bayi tersebut. Bacaan tidak perlu terlalu kuat cukup sekadar untuk pendengaran bayi sahaja.Salah satu hikmah melakukannya adalah supaya kalimat seruan tersebut tentang kebesaran Allah menjadi seruan pertama yang bayi dengar. Sunat 'Tahnik' atau belah mulut dilakukan selepas anak dilahirkan. Tahnik ialah mengunyah buah kurma, selalunya dilakukan oleh orang yang dianggap soleh dan bertaqwa kepada Allah seperti Imam, Bilal, Ulama, Syeikh dan sebagainya, dan seterusnya diletakkan sedikit pada lidah bayi itu. Selain kurma, manisan lain seperti titisan madu, nira nipah atau kelapa juga boleh digunakan. Tujuannya adalah untuk melazimkan bayi membuka mulut dengan mendapatkan ganjaran benda manis.
Amalan ini membuatkan bayi mahu menghisap apabila ibu menyusukan bayi tersebut kerana sentuhan di lidah mempunyai kesan manis dan bukan kesan yang tidak selesa. Tujuan lain adalah untuk melancarkan percakapan anak kecil supaya kelak dia selalu berkata manis dan benar. Sunat menamakan anak yang baru dilahirkan dengan nama-nama yang baik. Menamakan anak dilakukan pada hari pertama kelahiran anak tersebut sesudah ia diazan dan diiqamatkan atau pada bila - bila masa yang difikirkan sesuai. Nama yang buruk serta menjatuhkan maruah perlu dielakkan sama sekali. Mencukur rambut sebaik - baiknya pada hari ketujuh kelahirannya, kemudian rambut itu ditimbang seberat emas atau perak dan disedekahkan pada fakir miskin, jika tidak mampu maka ditukarkan atas kadar wang atau sebagainya. Dari sudut kesihatan, bercukur boleh menguatkan tenaga pertumbuhan rambutnya, menghilangkan selaput kulit kepala (iaitu sejenis cecair beku yang meliputi kulit kepala, juga dikenali sebagai kerak kepala) dan juga dapat memberikan daya kekuatan dan ketajaman pada penglihatan mata, bau dan pendengaran. Dari sudut kemasyarakatan bercukur mengalakkan umatnya bersedekah di samping menunjukkan kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan-Nya. Walaupun disunatkan bercukur bagi orang Islam tetapi dilarang daripada melakukan Qaza’ iaitu mencukur sebahagian kepala kanak - kanak dan meninggalkan sebahagian yang lain. Larangan ini ialah untuk menunjukkkan sifat keadilan Allah SWT dan Rasul-Nya s.a.w. di mana manusia diperintahkan supaya berlaku adil walaupun pada diri sendiri. Sunat "Aqiqah" bagi anak baru lahir. Aqiqah bererti penyembelihan binatang ternakan seperti lembu, kerbau, unta ataupun kambing yang dilakukan selepas kelahiran bayi, lebih baik dilakukan pada hari ketujuh sebagai tanda kesyukuran kepada Allah Taala. Korban yang dilaksanakan dapat mendekatkan anak kepada Allah dan pelbagai faedah yang lain. Kurban Aqiqah membuat anak merasakan dirinya dihargai oleh keluarga dan masyarakat selain menggembleng perasaan mampu berkorban dan redha dengan ketentuan Allah. Acara ini biasanya dilakukan pada majlis kesyukuran yang turut diselitkan aktiviti menggunting rambut bayi, nasyid, selawat, bacaan Al-Quran, solat sunat syukur, bacaan Yassin dan tahlil kesyukuran. Perbuatan menyembelih binatang selalunya tidak dilakukan di hadapan mata bayi yang hendak diraikan tetapi dilakukan sebelum majlis berlangsung. Makanan dan minuman turut diberikan pada hadirin dan anak fakir miskin dan yatim piatu. Sunat (berkhatan/berkhitan/bersunat). Perkara ini menjadi sunat kepada kaum perempuan dan merupakan suatu kewajipan bagi lelaki. Namun begitu sesetengah Ulama mentafsirkan berkhatan bagi lelaki adalah hanya dikategorikan sebagai Sunat Muakkad (Sunat yang amat dituntut oleh syariat). Tujuan berkhatan adalah untuk menjaga kesucian zahir dan batin umat selain menguatkan minda dan badan. Para saintis moden menggalakkan khatan bagi membendung masalah jangkitan penyakit kelamin seperti HIV dan AIDS. Bagi kanak - kanak lelaki yang berumur antara 8 hingga 12 tahun boleh disunatkan oleh Tok Mudim manakala kanak - kanak lelaki d ibawah umur itu serta kanak-kanak perempuan disunatkan oleh Doktor dan Bidan yang berkebolehan. Bagi kes kanak - kanak dan dewasa Muslim yang mencecah umur 13 tahun dan ke atas pilihan melaksanakan kewajipan berkhatan boleh ditentukan sama ada oleh Doktor atau Mudim mengikut kehendak dirinya dengan syarat tidak menimbulkan syahwat dan pelaksana pembedahan adalah mereka yang sama jantina atau muhrim. Semoga yang baik dijadikan ikutan manakala yang kurang baik dijadikan batu sempadan sebagai menjana kehidupan yang sementara untuk hari kemudian. (Sumber: Muhamad Nor Kartor)

No comments:

Post a Comment