Friday, November 15, 2013

Fadilah Tahajud - Doa Kasih Sayang

serenemaklong.blogspot.com
SATU cara paling berkesan untuk berhubung dengan Allah s.w.t. ialah dengan mengerjakan solat malam khususnya solat Tahajud pada malam yang sunyi, sejuk dan hening. Setiap Muslim harus memiliki keinginan kuat untuk melaksanakannya setiap malam hingga menjadi terbiasa. Orang-orang soleh zaman dahulu tekun menjalankannya, baik pada musim panas mahupun sejuk. Ini masanya Allah menguji sejauh mana taat seseorang hamba yang mengaku bertuhankan Dia. Sesungguhnya, bukan mudah untuk bangun daripada tidur nyenyak pada waktu dinihari ketika orang lain sedang dibuai mimpi, dan berwuduk dalam suasana dingin mencengkam, juga bukan mudah mengangkat takbir menghadap Allah dalam keadaan mata yang masih terkebil-kebil kepedihan.
Firman Allah s.w.t bermaksud: “Dan dari malam, hendaklah engkau bertahajud (tinggalkan tidur untuk sembahyang) semoga Tuhanmu mengangkat kamu pada kedudukan yang terpuji.“ ( Surah Al-Israk Ayat 79). “Mereka memandang seolah-olah solat Tahajud adalah sesuatu yang wajib” ( HR Tirmidzi). Di waktu sepertiga malam, pintu langit akan terbuka luas untuk menerima taubat hamba Allah dan Malaikat akan membawa kendi emas untuk mengumpul air mata taubat bagi menyiram api neraka yang sedia menanti mahu membakar tubuh manusia di akhirat nanti.
Saidina Umar Al-Khattab menyatakan fadilat atau kelebihan solat malam dengan berkata maksudnya: “Sesiapa mengerjakan solat malam (Tahajud) dengan khusyuk nescaya dianugerahkan Allah sembilan perkara, lima di dunia dan empat di akhirat. Kurniaan di dunia ialah: 1. Jauh daripada segala penyakit. Rasulullah SAW bersabda, "Lakukanlah solat malam kerana itu adalah tradisi orang-orang soleh sebelum kalian, cara mendekatkan diri kepada Allah, mencegah perbuatan dosa, penghapus kesalahan, dan pencegah segala jenis penyakit tubuh." (HR Tirmidzi). 2. Lahir kesan taqwa pada wajahnya. Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa yang banyak menunaikan shalat malam, maka wajahnya akan terlihat tampan atau cantik di siang harinya." (HR Ibnu Majah).
3. Dikurniakan kekuatan dan diberi rezeki dalam agama (halal dan diberkati),di samping dapat meningkatkan produktiviti kerja yang berdasarkan spiritual. Kerana itu, salah satu program untuk meningkatkan sumber daya manusia (SDM) secara intelektual, emosional, dan spiritual adalah membiasakan solat Tahajud pada setiap malamnya. Rasulullah SAW bersabda, "Syaitan membuat ikatan pada tengkuk salah seorang di antara kalian ketika tidur dengan tiga ikatan dan setiap kali memasang ikatan dia berkata: ‘Malam masih panjang, maka tidurlah.’ Jika orang tadi bangun lalu berzikir kepada Allah SWT, terlepas satu ikatan. Jika dia berwuduk, terlepas satu ikatan yang lainnya. Dan jika dia melaksanakan solat, terlepas semua ikatannya. Pada akhirnya, dia akan menjadi segar (produktif) dengan jiwa yang bersih. Jika tidak, dia akan bangun dengan jiwa yang kotor yang diliputi rasa malas." (HR Bukhari).
4. Cepat tercapai cita-cita dan rasa aman. Selain dengan usaha (ikhtiar) secara maksimum guna mencapai cita-cita dan rasa aman, seseorang hendaknya membiasakan diri untuk solat Tahajud kerana doa yang mengiringi Tahajud akan dikabulkan oleh Yang Maha Mengabulkan. Rasulullah SAW bersabda, "Ketahuilah sesungguhnya Allah tertawa terhadap dua orang lelaki. Seorang yang bangun pada malam yang dingin dari tempat tidur dan selimutnya, lalu ia berwuduk dan melakukan solat. Allah berfirman kepada para malaikat-Nya, ’Apa yang mendorong hamba-Ku melakukan ini?’ Mereka menjawab, ’Wahai Rabb kami, dia melakukan ini kerana mengharapkan apa yang ada di sisi-Mu.’" Allah berfirman, "Sesungguhnya Aku telah memberikan kepadanya apa yang dia harapkan (cita-citakan) dan memberikan rasa aman dari apa yang ia takutkan." (HR Ahmad).
5. Dikasihi sekalian mukmin dan seluruh manusia dan cakapnya mengandungi hikmah.
Sementara empat perkara di akhirat ialah: 1. Dibangkitkan dari kubur dengan wajah berseri-seri 2. Dipermudahkan hisab 3. Cepat melalui Sirat al-Mustaqim – seperti kilat 4. Diserahkan suratan amalan pada hari akhirat melalui tangan kanan. Oleh itu , berhubunglah dengan Allah ketika peluang masih ada, umur masih muda dan pintu taubat masih terbuka. InsyaAllah kita akan mendapat limpahan rahmat dan nikmat daripada-Nya. Mungkin perlu dilakukan sesuatu aktiviti sebelum masuk tidur. Rasulullah berpesan kepada Aisyah ra :- Ya Aisyah jangan engkau tidur sebelum melakukan empat perkara, iaitu : - 1.Sebelum khatam Al Qur’an. 2. Sebelum membuat para nabi memberimu syafaat di hari akhirat, 3. Sebelum para muslim meredhai kamu. 4. Sebelum kau laksanakan haji dan umrah. Bertanya Aisyah : Ya Rasulullah, bagaimana aku dapat melaksanakan empat perkara seketika? Rasul tersenyum dan bersabda : Jika engkau tidur bacalah : Al Ikhlas tiga kali seakan-akan kau mengkhatamkan Al Qur’an. Membacalah selawat untukku dan para nabi sebelum aku, maka kami semua akan memberi syafaat di hari kiamat. Beristighfarlah untuk para muslimin maka mereka akan meredhai kamu. Dan,perbanyaklah bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir maka seakan-akan kamu telah melaksanakan ibadah haji dan umrah. Ya Allah...ringankan tubuh badan kami untuk bangun mengadap dan bermunajat pada-Mu di sepertiga malam-Mu.

No comments:

Post a Comment