Wednesday, November 30, 2011

Geran Tanah Lesap Dalam 30 Minit



serenemaklong.blogspot.com



PADA zaman moden ini terlalu banyak penipuan yang berlaku. Saya pernah mengutarakan beberapa artikel mengenainya yang dipetik daripada majalah Personel Money iaitu Avoiding The Scam Trap dan Identity Theft pada 15 Mei 2011, (juga terjemahan kedua-duanya bertajuk Jangan Ditipu dan Tertipu serta Kecurian Identiti).

Penipu bukan sahaja menggunakan teknologi IT masa kini, malah turut mengaplikasi teknologi Harut Marut zaman Nabi Musa a.s berupa Pukau (14 Oktober 2011).

Sudahlah duit, barang kemas dan barang berharga mudah alih kena kebas, tanah pun turut disapu. Hanya berbekalkan Mykad palsu, ahli sindiket boleh menipu pejabat tanah dan mendapatkan geran asal tanah yang dikehendaki hanya dalam 30 minit.

Ini semua berlaku kerana pejabat tanah tidak mempunyai kaedah tertentu bagi memastikan geran tanah diberikan kepada pemilik berhak. Adakalanya pengimbas cap jari offline dan sistemnya tidak dipautkan ke agensi-agensi kerajaan lain, termasuk Jabatan Pendaftaran Negara. Pejabat daerah pula langsung tidak mempunyai pengimbas cap jari.
Sindiket ini memang pakar dalam proses urusan tanah. Yang menjadi sasaran ialah tanah pegangan bebas, tanah tanpa sebarang gadaijanji, tanah yang telah dijelaskan bayarannya oleh pemilik atau tanah yang bernilai jutaan ringgit. Tanah dijual pada harga lebih rendah daripada harga pasaran bagi memudahkan mereka melupuskannya.
Faktor penyumbang penipuan tanah ialah tanah yang terbiar tanpa sebarang kegiatan, tanah yang tidak dibayar cukai untuk tempoh yang lama, keselamatan tanah tidak dijaga, proses pendaftaran tanah yang lemah, pemilik tidak jelas mengenai proses pindahmilik tanah, butiran peribadi pemilik tidak dikemaskini, dan pemilik sering berada di luar kawasan atau di luar negara.
Masalah ini paling ketara di kawasan pesat membangun dengan ruang tanah terhad seperti di Kuala Lumpur, Selangor dan beberapa bahagian negeri Johor serta Pulau Pinang.
Dikatakan juga bahawa peguam tidak dikehendaki memeriksa kesahihan sesuatu Mykad dengan Jabatan Pendaftaran Negara. Peguam memerlukan geran, MyKad Penjual, resit cukai tanah dan pembeli tanah tersebut. Selepas itu peguam akan membuat carian di pejabat tanah bagi memastikan tanah tersebut adalah milik sebenar penjual sebelum menyediakan perjanjian jual-beli.
Namun saya percaya ada di antara peguam yang bersekongkol dengan sindiket penipuan ini. Sebagai contoh, pada 2005 Suruhanjaya Sekuriti Malaysia telah mengenakan denda RM500,000 ke atas seorang peguam kerana bertindak sebagai wakil penjual tanpa lesen sah.
Dikatakan pihak kerajaan kini sedang dalam proses memperkenalkan sistem biometrik yang melibatkan seluruh negara dan bakal membanteras kegiatan penipuan tanah. Namun ia memerlukan masa agak lama untuk dilaksanakan sepenuhnya kerana membabitkan seluruh negara dan undang-undang bagi mensepadu berbagai agensi, terutama Jabatan Pendaftaran Negara.
Pada masa ini Pejabat Tanah dan Galian Selangor telah membangunkan pangkalan data wakil-wakil peguam di negeri tersebut. Jika seseorang itu tiada dalam senarai tersebut, firma guaman akan dihubungi bagi mendapatkan butiran lanjut sebelum pihak berkuasa bertindak ke atas individu tersebut.
Apapun, saya percaya pemilik tanah patut bertanggungjawab ke atas tanah masing-masing. Bukankah itu tanah persendirian? Mana boleh tanggungjawab itu dilepaskan kepada pihak berkuasa kerajaan negeri pula. Mereka harus menyemak status tanah masing-masing dengan pejabat tanah atau pejabat daerah dari semasa ke semasa.
Bagi memastikan keselamatan, pemilik hendaklah melakukan beberapa kegiatan di tanah berkenaan, contohnya memagar atau menempatkan pengawal bagi menjaga kawasan tersebut.
Pembeli juga harus berhati-hati ketika membeli tanah yang harganya di bawah nilai pasaran. Kemungkinan besar tanah itu tanah sindiket penipuan. Bila sesuatu yang buruk berlaku, jangan menuding jari kepada pihak lain.   
Modus operandi  sindiket penipuan

Penipuan tandatangan
Tandatangan pemilik tanah sah ditiru ke atas borang pemilikan.

Memalsukan kad pengenalan, salinan CTC (salinan sebenar yang sah) dan surat perjanjian.
Mendapatkan satu salinan CTC yang diimbas ke atas kertas keselamatan yang dicuri, atau  menggunakan Kad Pengenalan pemilik yang telah dipinda. 

Menyamar sebagai pemilik tanah, mendapatkan khidmat peguam tidak beretika sebagai saksi, atau peguam bertindak bagi pihak pemilik.

Penyamar mempunyai nama yang sama dengan nama pemilik sebenar dan mengisytihar dirinya sebagai pemilik sah; mendapatkan khidmat peguam disenaraihitam untuk menjadi saksi dalam urusan menurunkan tandatangan ke atas perjanjian jual-beli (S&P) atau apa-apa urusan lain; mengambil khidmat peguam tidak berdaftar dengan mana-mana pihak untuk bertindak bagi pihak pemilik.

Manipulasi perjanjian jual-beli (S&P)
Perjanjian didraf secara kurang jelas atau perjanjian itu tidak lengkap.
Sindiket menggodam sistem komputer pendaftaran tanah untuk meminda butiran pemilikan. 

No comments:

Post a Comment