Wednesday, November 23, 2011

Alim-alim Kucing


serenemaklong.blogspot.com

(Diadaptasi dari tulisan oleh Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, bekas mufti Perlis)  

RAMAI orang selalu menyimpulkan pendapat masing-masing berdasarkan penampilan atau faktor luaran yang mereka lihat semata-mata. Penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil berbeza dengan sangkaan baik. 

Contohnya, apabila kita melihat orang yang rajin solat atau puasa, kita wajar bersangka baik terhadapnya. Namun pada masa yang sama kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa dia pasti ahli syurga, orang yang kuat berpegang dengan agama, atau seorang yang soleh. 

Memang solat dan puasa amalan yang baik dalam Islam, tetapi Islam bukan sahaja berkaitan soal solat dan puasa, sebaliknya Islam merangkumi pelbagai sudut kehidupan. Jika dia rajin solat dan puasa, tetapi dalam masa yang sama suka mencerca orang, atau menderhakai ibubapa, atau tidak amanah, atau menzalimi orang lain, maka dia bukannya orang yang soleh dalam ertikata sebenar dalam Islam. 

Sabda Rasulullah saw:
Tahukah kamu siapakah orang yang muflis? Jawab mereka: "Orang yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan tiada harta". Sabda baginda: "Orang yang muflis dalam umatku ialah sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat, juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia ke dalam neraka (Riwayat Muslim).

Selain itu dalam hadis lain Rasulullah saw juga menceritakan tentang akhir zaman di mana terdapat orang yang memperdaya kerana hendakkan keuntungan. Di negara kita sendiri pun ada orang yang memakai 'pakaian agama', mengutip wang daripada orang ramai, kononnya hendak membuat penghantaran pahala kepada si mati. Mereka membuat untung yang besar saban tahun atas nama al-Quran. Orang yang kurang arif menganggap mereka melakukan kebaikan sedangkan Nabi saw menyindir perbuatan ini dengan sabdanya:
Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah) daripada manusia (Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Dalam sejarah ramai yang menampilkan watak 'agama' tetapi sebenarnya penjenayah agama. Antara yang terkenal ialah Abu 'Ismah Nuh bin Abi Maryam yang mencipta hadis dusta. Dia mengadakan hadis-hadis fadilat itu dan ini khususnya tentang surah-surah al-Quran. Dia menghimpunkan ilmu daripada berbagai tokoh besar. Sebenarnya dia pendusta yang bertopengkan tokoh agama Al-Hafiz Ibn Hibban menyebut: "dia menghimpunkan segalanya, kecuali cakap benar". (lihat: al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, 185, Beirut: Dar al-Fikr). 

Ramai orang sepertinya dalam sejarah pengumpulan hadis. Dr. Hammam Sa'id, seorang pengkaji hadis berkata: "Telah zahir golongan ahli ibadat, zuhud dan nussak (penumpu penuh ibadah). Kejahilan dan kebodohan telah membuatkan mereka mencipta hadis palsu dalam fadhilat amal, fadhilat surah al-Quran dan solat sunat, untuk menggalakkan orang ramai beramal. 

Mereka juga mencipta hadis palsu untuk menakutkan orang ramai terhadap maksiat, kononnya demi membela Islam. Golongan jahil ini tidak sedar bahawa pendustaan ke atas Rasulullah saw boleh menurunkan mereka ke dalam tahap paling bawah dalam neraka jahanam" (Hammam 'Abd al-Rahim Sa'id, Al-Tamhid fi 'Ulum al-Hadith, m.s. 140, Jordan: Dar al-Furqan). 

Ini kerana mereka menipu atas nama Rasulullah saw dan merubah wajah asal agama. Jika dilihat atau dinilai pada zahir ibadah dan pakaian, tentu kita menyangka mereka golongan yang soleh, tetapi di sisi agama mereka adalah para pendusta yang termasuk dalam sabda Nabi saw: 
Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Dalam sejarah pertelingkahan umat Islam kelompok yang paling awal dan kuat  mengguna isu agama untuk mengkafirkan orang Islam lain ialah puak Khawarij.  Rasulullah saw menyifatkan mereka seperti berikut: 
...Seseorang kamu akan merasa lekeh solatnya dibandingkan solat mereka, merasa lekeh puasanya dibandingkan puasa mereka. Mereka membaca al-Quran, namun al-Quran itu tidak melebih halkum mereka. Mereka tersasar keluar dari agama seperti anak panah tersasar dari sasarannya... (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). 

Kelompok Khawarij kelihatan hebat dalam ibadah. Pidato agama mereka menggunakan nas-nas al-Quran. Mereka mengkafirkan orang Islam yang melakukan maksiat, dan juga orang Islam yang tidak mengikut kumpulan mereka. Slogan mereka ialah: "Tidak ada hukum melainkan hukum Allah". Slogannya kelihatan berteraskan al-Quran, tetapi bertujuan buruk. Seperti kata Saidina Ali bin Abi Talib: "Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil". (Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah).

Dengan slogan al-Quran: Sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah maka mereka itu orang-orang yang kafir (Surah al-Maidah, ayat 44), mereka melancarkan kempen mengkafi, memurtad dan memerangi orang Islam di atas andaian yang tipis. Akibatnya, berlaku pertumpahan darah yang dahsyat pada zaman pemerintahan Saidiyyida Ali bin Abi Talib. Selepas zaman Ali pun, pemikiran Khawarij meresap ke dalam berbagai kumpulan dan organisasi lain. 

Hasilnya, kita mendengar isu kafir mengkafir muncul di berbagai zaman dan tempat di seluruh dunia Islam. Pada zahirnya puak ini berwajah agama, namun pada hakikatnya Nabi saw menyebut:
Mereka itu berucap dengan ucapan sebaik-baik makhluk. Mereka tersasar keluar dari Islam seperti anak panah tersasar dari sasarannya. Iman mereka tidak melebihi halkum mereka. Di mana sahaja kamu temui mereka maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya membunuh mereka itu ada pahala pada Hari Kiamat. (Riwayat al-Bukhari). 

Sungguhpun dengan ungkapan dan nas agama di mulut mereka, namun Nabi saw memerintahkan agar pemerintah Islam membunuh mereka kerana mereka mengkafirkan bahkan sesetengah kelompok mereka seperti al-Azraqiyah membunuh orang Islam, anak kecil dan wanita yang tidak mengikut kumpulan atau jemaah mereka.

Oleh yang demikian, di samping kita bersangka baik, sayang dan menghormati golongan yang menzahirkan ciri-ciri agama, kita juga mesti berhati-hati dengan tindakan setiap individu dan kumpulan. Jangan biarkan penampilan zahir menyebabkan kita buta mata dan hati dalam membuat penilaian yang matang dan seimbang. Yang baik katakan baik, yang salah tetap salah tanpa mengira dari siapa kesalahan itu datang.
Bagaimanapun jika golongan tertentu menzahirkan ciri-ciri agama dan memegang prinsip agama dalam seluruh perjalanan hidup, merekalah golongan yang kita cinta dan kita bela sepenuhnya.

No comments:

Post a Comment