Saturday, November 19, 2011

MAKNA yang Bermakna


serenemaklong.blogspot.com

PADA 1992, seorang remaja berusia 17 tahun mengidap demam panas yang tinggi. Berbagai ubat telah diberi namun demamnya tidak kebah.

Bapanya yang ketika itu merupakan Timbalan Menteri Kesihatan, telah meminta ujian darah lengkap dijalankan untuk mengenal pasti apa yang tidak kena.

Keputusan yang diperolehi mengejutkan seluruh keluarga. Dia disahkan menderita Leukaemia, sejenis barah darah. Pun begitu, kedudukan bapanya dalam kerajaan memudahkan pihak keluarga memperolehi maklumat terkini mengenai penyakit tersebut dan rawatan yang terdapat di luar negara.

Berbekalkan maklumat itu, remaja tersebut dihantar ke England untuk dirawat. Pihak keluarga membelanjakan jumlah  yang besar, dan dengan sedikit bantuan daripada kerajaan, remaja itu menjalani rawatan rapi dan terkawal, termasuk pemindahan tulang sumsum pesakit sendiri. Ketika itu rawatan sedemikian belum terdapat di Malaysia.

Selepas bergelut menentang penyakit selama beberapa tahun, remaja tersebut disahkan sembuh dan bebas daripada leukaemia. Sejak itu, hayat yang tersisa menjadi semakin berharga. Dia berjaya menamatkan pengajian dalam dua bidang iaitu perniagaan dan muzik. Dia juga berkahwin dengan gadis pilihan dan memperoleh seorang anak lelaki.

Remaja tersebut ialah Farul Rafiq dan bapanya Dato’ Mohd Farid Ariffin, mantan timbalan menteri kesihatan dalam kabinet Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed.   

Ketika Farul sedang menjalani rawatan di hospital London, keluarganya telah bernazar, sekembali ke Malaysia, mereka akan menubuhkan sebuah organisasi yang disasarkan untuk membantu pesakit kanser dari golongan keluarga miskin mendapatkan rawatan. Dato’ Farid sedar kos rawatannya sangat besar dan tidak mungkin dapat ditanggung oleh keluarga miskin, meskipun dirawat di hospital tempatan. Dia berazam hendak membawa teknologi di luar negara itu ke Malaysia, agar kosnya lebih murah.  

Pada 31 Mac 1994, sebuah organisasi kanser, MAKNA, singkatan untuk Majlis Kanser Nasional telah didaftarkan dan dilancarkan setahun kemudian. Hari ini MAKNA telah membantu lebih 20,000 pesakit kanser dari 83 hospital kerajaan di seluruh negara pada kos kira-kira RM40 juta. Dengan kerjasama Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, MAKNA menubuhkan pusat rawatan kanser pada 1999 termasuk unit pemindahan tulang sumsum.

Sementara itu, pada Julai 2011, Farul dimasukkan ke hospital kerana jangkitan virus di paru-paru. Selepas sebulan, dia gagal melawan penyakit tersebut. Pada 4 Ogos 2011 bersamaan 4 Ramadhan dia menghembuskan nafas terakhir dengan dikelilingi oleh keluarga tersayang.

Takdir telah menentukan sumbangan tidak langsung Farul dalam membantu pesakit kanser pada masa sekarang dan masa akan datang. Jika tidak kerana kansernya, MAKNA mungkin tidak wujud pada hari ini.

Semoga rohnya sentiasa dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al Fatihah.

(Sumber: Neoplasia keluaran Majlis Kanser Nasional)     

No comments:

Post a Comment