Friday, November 18, 2011

Menjaga Perabot, Bilik Air dan Permukaan Kerja


serenemaklong.blogspot.com



MENJAGA PERABOT

  • Cuci dengan kain lembap seminggu sekali bagi menghilangkan debu pada rangka perabot. Bagi rangka perabot kayu jati, boleh dilap dengan minyak kayu murni beberapa bulan sekali untuk mengembalikan serinya.
  • Perabot kayu boleh juga dibersihkan dengan 10 titik lemon yang dicampur satu suku minyak mineral dan lap dengan kain lembut.
  • Membalut permukaan uphosteri dengan plastik menyebabkan kesan habuk lebih ketara. Guna kain jenis scotch guard yang mempunyai lapisan pelindung untuk fabrik uphosteri terutama pada tempat duduk sofa. Anda hanya perlu kibas permukaan fabrik ini untuk menghilang habuk. Biarpun kalis air, cecair yang tumpah di atas fabrik jenis ini perlu segera dilap kerana jika dibiarkan lama menyebabkan air menyerap ke dalam kain dan ini boleh menjejaskan seri serta mutunya.
  • Andainya anda ingin meninggalkan rumah selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan, selubungkan semua jenis perabot dengan kain untuk mengelak debu tebal.
  • Bagi perabot yang diguna, tindakan menyelimut perabot boleh dibuat setiap malam sebelum tidur. Ini adalah cara terbaik untuk menjaga permukaan perabot supaya tidak berhabuk, sekali gus mengekalkan serinya untuk tempoh yang lama.



MEMBERSIH BILIK AIR DAN JUBIN

  • Bagi memastikan biik air sentiasa bersih, cuci setiap hari selama kira-kira 4 minit. Sembur cecair pencuci nyah jangkitan, gosok dengan span dan lap dengan tuala kertas, bermula dari bahagian paling bersih pada dinding atas membawa ke dinding bawah yang kotor, diikuti sink tab dan mangkuk tandas.
  • Cuci kesan kotoran pada permukaan jubin dengan air yang dicampur satu bahagian cuka dan empat bahagian air. Kemudian sapu menggunakan air bersih dan keringkan dengan kain lembut.
  • Jubin tandas yang berlumut perlu disiram dengan air yang dicampur bahan peluntur. Kemudian biarkan beberapa jam atau semalam sebelum diberus. Dengan cara ini, kesan kotoran mudah hilang. Jika bahan peluntur berkuasa kuat, jangan sesekali dituang terus daripada botolnya tanpa dicampurkan air kerana dikhuatiri boleh menjejaskan permukaan jubin.
  • Garis sambungan antara kepingan jubin yang kotor dan kehitam-hitaman selalunya sukar dibersihkan kerana keadaannya yang berlekuk. Gosok lebih kuat di bahagian ini sehingga kesan daki dan kotoran hilang, kemudian bilas dengan air bersih.
  • Bahagian sudut lantai jubin iaitu pertemuan di antara lantai dan dinding sukar dibersihkan dengan berus besar, oleh itu guna berus gigi kerana ukurannya yang kecil mudah sampai ke celah sudut.

PERMUKAAN KERJA KEKAL BERSERI

  • Alas permukaan kerja kabinet sewaktu melakukan kerja-kerja memasak dan membancuh minuman bagi melindunginya daripada kesan tumpahan. Anda boleh guna dulang, lapisan kain atau kertas tisu dapur sebagai pengalas.
  • Kesan tumpahan teh, jus buah-buahan dan kopi pada kaunter kabinet boleh digosok dengan kain lembap yang disapu bikarbonat soda. Bagi kesan degil, lap dengan kain basah yang dicelup sedikit bahan peluntur klorida.
  • Permukaan sink porselin yang kotor boleh dibersihkan dengan merendam dalam air suam bercampur sedikit bahan peluntur kira-kira sejam, sebelum digosok pada permukaan yang kotor. Bagi kesan degil, tabur kertas tisu yang dibasahkan dengan bahan peluntur klorida selama lapan hingga 10 jam sebelum disental dengan dengan tuala basah. 
  • Elak guna peluntur klorin pada permukaan sink dan mangkuk porselin yang lama dan retak. Cecair klorin boleh menyerap masuk sampai ke lapisan asas yang menggunakan bahan besi dan menyebabkan timbul kesan karat di permukaan sink.
  • Sink keluli tahan karat juga tidak boleh dicuci dengan bahan peluntur kuat kerana boleh menjejaskan kilauannya, cukup sekadar dicuci dengan air suam dan sabun biasa. Untuk mengilatkannya, bilas dengan bahan pencuci yang dicampur serbuk soda penaik.

(Sumber: Anjung Seri)

No comments:

Post a Comment