TAHYUL bercanggah dengan ajaran Islam kerana membawa khurafat ke dalam pemikiran umatnya. Tahyul diamalkan oleh sebahagian orang Melayu secara turun temurun.
Oleh kerana latar belakang orang Melayu
berasal dari Hindu-Buddha, sisa-sisa tahyul masih ada. Kini ia bukan sahaja
berkembang dalam pemikiran ilmu dan budaya, malah disuburkan pula oleh
pementasan drama dan filem.
Walaupun generasi muda hari ini tidak
terdedah dengan pengaruh silam yang khurafat, namun cara tahyul dipersembahkan
menyebabkan mereka meminatinya.
Fahaman tahyul bukan sahaja bersifat
anti-sains, ia juga membawa kepada syirik. Tahyul boleh menyebabkan pemahaman
terhadap yang ghaib disalah ertikan.
Kita dituntut percaya kepada faktor-faktor
ghaib seperti Allah, malaikat, syurga dan neraka. Allah menurunkan Al-Quran untuk
memberi penjelasan dan petunjuk mengenai semua itu.
Sebenarnya, tahyul tidak memiliki asas
yang rasional. Ia dikhayalkan secara kreatif dalam filem, drama dan cerita
rekaan. Mesej yang disampaikan kepada penonton, pembaca dan pendengar adalah
rasa takut yang tinggi terhadap jin, syaitan dan iblis, bukan ketaqwaan yang
tinggi kepada Allah SWT.
Kesan psiko (kejiwaan) kepada mereka yang
ditakut-takutkan secara khayal dan penuh fantasi menyebabkan mereka gagal
memikirkan tentang fakta dan data yang bersifat logik dan saintifik.
Tahyul memang boleh membawa keseronokan
kepada penonton dan pembaca. Ia mengajak mereka berfantasi seolah-olah jembalang,
hantu dan seumpamanya amat berkuasa dalam menentukan kehidupan. Secara tidak
langsung ia menafikan Allah sebagai Pencipta yang Maha Berkuasa dan Maha Agung.
Tahyul patut dijauhi kerana ia bukan
sahaja tidak membantu memantapkan akidah kepada Allah, malah menjadikan hati
ragu-ragu dan dibimbangi bakal terjebak dengan ajaran sesat.
Ajaran sesat yang masih subur dalam
masyarakat Melayu dan Islam pada hari ini adalah akibat terlalu percaya kepada
fahaman tahyul yang mengatasi keimanan kepada Allah.
Malaysia memerlukan rakyat yang berfikir secara saintifik dan berjiwa tadabbur
(kaji selidik). Jiwa tadabbur
boleh menghubungkan umat manusia dengan faktor fikir dan zikir.
Dengan berfikir,
manusia menggunakan kekuatan akal untuk memahami sesuatu dengan logik dan
rasional. Dengan zikir manusia diberi pedoman oleh
wahyu dan sunnah supaya hati dapat menilai sesuatu perkara.
Gandingan fikir dan zikir menyebabkan
manusia mempunyai perspektif yang betul tentang penciptaan dan kejadian.
Kita harus insaf bahawa jin, iblis dan
syaitan adalah makhluk ciptaan Allah dan mereka tidak boleh mengatasi kuasa
Allah.
Harus diingat bahawa umat yang maju tidak
memerlukan tahyul. Mereka menjadikan sumber ilmu dan ketrampilan untuk membina
modal insan demi menempa kemajuan dan perubahan.
No comments:
Post a Comment