Friday, December 2, 2011

Pagar Hidup


serenemaklong.blogspot.com

Tanaman hiasan ganti bahan binaan sebagai pemisah sempadan dan ruang yang mesra alam

PAGAR biasanya dibina sebagai sempadan mengelilingi keluasan sesebuah kawasan kediaman, juga dibina bagi memisahkan satu ruang dengan beberapa ruang yang lain dalam kawasan rumah itu. Contohnya seperti memisahkan ruang laman atau taman dengan ruang lain seperti kolam renang, tempat meletak kereta dan sebagainya.

Pagar dibina menggunakan bahan seperti kayu, bata dan konkrit, buluh, besi, atau  menggunakan pelbagai tanaman hiasan yang bersesuaian.

Pagar tanaman hiasan mempunyai tekstur serta warna yang menarik serta dan bentuknya boleh diubah suai. Namun, sebagai makhluk Allah yang hidup, ia memerlukan masa untuk tumbuh matang.

Keistimewaan pagar jenis ini ialah:
1) dedaun pokoknya mampu menyerap bunyi bising dari aktiviti seperti lalulintas kenderaan.

2) dedaun pokok bertekstur halus mampu memerangkap habuk yang terapung di udara apabila ditiup angin, lantas menghadang debu dari jalan raya serta kawasan pembinaan berdekatan.

Ciri pokok pagaran yang sesuai  

1) Daun yang kecil dan senang dibentuk. Contoh, pokok Acalypha siemensis atau pokok teh dan beberapa spesies pokok Ficus berdaun kecil.

2) Cabang dan pucuk baru cepat tumbuh bagi memadatkan ruang lalu terbentuk struktur pagar yang cantik dan menarik.

3) Pokok perlulah daripada jenis tahan lasak yang tidak memerlukan penjagaan rapi serta dapat hidup lama.

4) Pokok berkenaan mempamerkan ciri-ciri keistimewaannya yang tersendiri, seperti;
  • Daun pokok berubah warna apabila meningkat dewasa: Contoh seperti Kelat Paya (Syzygium campanulatum). Selepas dipangkas, tumbuhlah pucuk daun baru berwarna merah muda kemudian bertukar menjadi merah tua. Seterusnya ia  bertukar menjadi ungu, hijau muda dan di akhiri dengan hijau tua.
  • Pokok berbunga: Contoh seperti Ixora atau siantan. Pokok bunga raya yang berdaun cantik warna keputihan (Variegated) serta pokok bunga kertas juga sesuai dijadikan pokok pagaran.
5) Kebanyakan spesies pokok pagaran seperti diatas mudah dibiak atau ditanam menggunakan kaedah keratan batang.

Kaedah Mudah Pembinaan Pagar

1) Potong beberapa keratan batang atau ranting pokok berukuran kira-kira 4 inci panjang dan letakkan hormon penggalak akar di bahagian keratan bawah bagi mempercepatkan pertumbuhan akarnya

2) Semai dalam polibeg dengan menggunakan medium tanaman untuk pokok berpasu dalam campuran 3:2:1 (Tanah peroi: Bahan organik:Pasir sungai)

3) Siram dan letak di tempat teduh. Berikan penjagaan seperti siraman air dan pembajaan dengan menggunakan baja kimia atau organik seperti najis ayam.

4) Apabila keratan batang atau ranting yang disemai tadi telah tumbuh membesar, pokok berkenaan bolehlah dipindahkan ke tapak pagar yang ingin dibina dalam jarak lebih kurang 1 kaki di antara satu pokok dengan pokok lain.

No comments:

Post a Comment