Friday, November 11, 2011

Apistakkisah di Blogosfera


serenemaklong.blogspot.com

MUHAMMAD Hafiz Ismail, 25, seorang guru matematik di Sekolah Kebangsaan Kampung Kenang, sebuah penempatan Orang Asli terletak jauh di pedalaman Sungai Siput (Utara), Perak.

Pada awalnya, anak kelahiran Kedah ini mengalami kejutan apabila ditukarkan ke tempat yang begitu asing, jauh beratus-ratus kilometer daripada pekan terdekat, dan sangat kekurangan di segi kemudahan asas serta prasarana. Namun kejutan itu beransur-ansur hilang setelah dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat setempat yang sangat mudah mesra.

Masalah besar Hafiz ialah bagaimana hendak mengajar dan memotivasikan murid-murid dari kaum Orang Asli. Sesetengah daripada mereka tidak tahu mengapa mereka hadir di sekolah. Mereka sekadar mengikut kawan-kawan. Hendak mengajar dalam Bahasa Melayu juga sukar kerana bahasa ibunda mereka ialah Temiar.

Seperti murid-murid lain, anak Orang Asli memerlukan galakan, motivasi dan keyakinan. Berkat ketabahan dan berbekalkan latihan pedagogi yang diterima ketika di maktab perguruan, Hafiz berjaya mengatasi masalah itu secara beransur-ansur.

Berfikiran penuh inovasi, Hafiz menggunakan benda-benda yang ada di persekitaran sebagai bahan mengajar.

Genting lantai berubah menjadi buku matematik, botol-botol terpakai diguna untuk permainan boling di mana mereka belajar kaedah Campur dan Tolak. Mereka turut pergi ke bukit atau sungai berdekatan sebagai sebahagian daripada proses pembelajaran. Pendekatan begini bukan sahaja meriah bagi anak-anak tersebut malah berjaya  mengubah dan meningkatkan sikap keseluruhan mereka terhadap pelajaran.

Hafiz yang memang minat menulis mencatatkan rutin hariannya dalam blog www.apistakkisah.blogspot.com  bertajuk Life Through My Eyes: A teacher’s little steps towards perfection.

Sungguhpun penempatan ini dibekalkan dengan kuasa elektrik, hubungan talian telefon di asrama penginapan kurang stabil. Hafiz terpaksa menunggu waktu malam untuk membaca emel dan mengemaskini laman blog, di mana dia turut memuatkan kaedah mengajarnya yang kreatif.  

Hafiz kerap berkomunikasi dan bertukar-tukar fikiran dengan pengikut-pengikut laman blognya, yang rata-rata datang dari Malaysia, Britain, Amerika Syarikat, Australia dan Afrika.

Hafiz tidak menyangka bahawa usahanya itu telah melayakkan dia untuk dinobat sebagai pemenang Anugerah Teknologi Maklumat dan Komunikasi Asia Pasifik MSC (APICTA) Terbaik Perdana Menteri tahun ini, setelah berjaya mengetepikan 250 calon lain dalam kategori yang sama.

Blognya kini menjadi sumber maklumat yang sangat berharga dan telah menyentuh kehidupan ramai orang. Hafiz  berhasrat membangunkan laman blog itu menjadi jaringan sosial di kalangan para pendidik seluruh dunia di mana mereka boleh meluahkan dan berkongsi apa sahaja mengenai pengalaman masing-masing.  

Hafiz turut membukukan kandungan dalam blognya dengan tajuk yang sama dan ia diterbitkan oleh penerbit Universiti USCI dan MPH.

Tahniah, Cikgu!

No comments:

Post a Comment