Friday, July 1, 2011

Penyeri Jendela

serenemaklong.blogspot.com

Keterbukaan cita rasa dan keberanian penghuni mengutarakan pilihan menjadikan dunia langsir sama hebat dengan perkembangan perabot era kini. Langsir diberi nafas baru dan ditampil sepadan kehendak semasa melalui penonjolan fabrik, motif serta tona.

Bagaimanapun, jenis kediaman, keluasan dan fungsi ruang turut mempengaruhi pemilihan reka bentuk langsir. Setiap ruang memiliki gaya dan suasana berbeza. Justeru itu, waktu ingin menukar atau membeli langsir baru, biasakan bertanya diri dengan soalan berikut; apakah langsir baru itu serasi dengan ruang dan suasana sedia ada; bagaimanakah rupa dan ukuran tingkapnya dan adakah langsir itu gaya terkini?

Kebelakangan ini, gaya langsir sorong gelung logam yang dijahit pada bahagian atas langsir (eyelet) semakin diminati. Selain mudah diurus langsir ini sebenarnya senang dipadankan apa juga tema hiasan dalaman rumah. Andai kata anda inginkan rekaan itu ditampilkan dalam sentuhan mewah, pilihlah fabrik yang sesuai.

Panduan
  • Menerusi warna fabrik anda boleh membangkitkan kesan tertentu di kediaman. Misalnya warna merah, emas dan ungu dikatakan membawa suasana hangat serta selesa.
  • Fikirkan cahaya matahari yang masuk dalam bilik atau ruang waktu anda memilih gaya langsir.
  • Pilih fabrik di bawah pencahayaan semula jadi supaya anda tidak tersalah warna.
  • Langsir  juga berfungsi dalam membantu ruang sempit kelihatan luas. Guna fabrik jenis ringan yang bercorak sedikit.
  • Bagi kediaman moden, sesuai menggunakan langsir rekaan semasa.
  • Jika perabot dan perhiasan tambahan di ruang tamu atau keluarga lebih menyerlah, kurangkan penguasaan kedua-duanya dengan memilih langsir potongan ringkas tetapi kurang corak.
  • Jangan terlalu ghairah memilih atau membeli hingga terlupa warna fabrik yang tidak sepadan perabot ada. Justeru itu, cari warna dan tekstur yang sesuai dengan perabot.
  • Cahaya matahari seperti juga habuk dan kotoran, akan menjejaskan fabrik langsir. Fabrik berwarna terang biasanya akan memantulkan cahaya matahari dan tidak mudah kusam. Sementara fabrik berona gelap pula menyerap cahaya dan warnanya senang luntur. Justeru itu, anda disaran memadankan langsir fabrik bersama kemasan lain seperti bidai atau tabir yang bertujuan melindungi fabrik daripada cahaya matahari.
  • Fabrik akrilik dan poliester tahan pada terik matahari berbanding fabrik lain dan warnanya pula tidak mudah luntur. Kapas, rayon dan asetat senang terjejas oleh cahaya matahari. Biasanya asetat digandingkan dengan sutera atau kapas untuk menjadikannya tidak mudah pudar.
  • Kalau mahukan sedikit cahaya luar masuk ke dalam rumah, pasang langsir daripada fabrik jarang dan renda.
  • Anda boleh memasang tali pengikat langsir dalam tiga ketinggian berbeza iaitu diikat hampir ke kepala langsir, bahagian tengah seperti kebiasaan atau bawah sedikit. Perlu diingat, kedudukan tali pengikat akan mempengaruhi jumlah pencahayaan semula jadi yang masuk.
  • Setiap pagi sebelum langsir malam ditarik ke tepi, cuba goncang sedikit untuk membuang habuk yang terkumpul. Ia bertujuan mempermudahkan kerja mencuci langsir.
(Sumber: Anjung Seri)

No comments:

Post a Comment