Sunday, July 10, 2011

Penampilan Kasut

serenemaklong.blogspot.com

Kasut yang cantik memang banyak di pasaran tetapi sukar mendapatkan kasut yang selesa dipakai. Jika kurang bermutu akan merosakkan penampilan diri.  Berhemah dalam berbelanja supaya tidak ke peringkat membazir. Kasut nampak cantik bila sesuai dengan jenis bentuk kaki dan tema pakaian.

Jangan guna sut dengan aksesori yang berlawanan warna. Contoh, kasut hitam yang dipakai dengan pakaian berwarna cerah  akan membuat pemakai nampak pendek. Kasut putih pula memutuskan garisan kelangsingan badan, cepat nampak kotor dan membuat kaki kelihatan lebih besar. Oleh itu pakai sut hitam dengan tali pinggang dan kasut kulit hitam. Sut coklat juga harus digandingkan dengan kasut dan tali pinggang coklat.

Untuk nampak praktikal, anggun dan classy, warna kasut hendaklah dipadan dengan warna hiasan di badan seperti warna tudung, kerongsang atau barang kemas. Kasut warna terang dan berkilat pula akan menukar penampilan pakaian. Jika ketara hiasan di kasut, kaki akan kelihatan besar dan memendekkan ketinggian si pemakai. Kasut terlalu berkilat akan menjadi tumpuan mata memandang. Ia menyalahi adab muslimah dalam berhias dan berpakaian.

Sesuaikan kasut dengan jenis kain. Kasut kulit sesuai dengan kain yang `berat, ` kasut gentian mikro untuk kain yang ringan seperti campuran sutera dan nilon. Pakaian formal hendaklah dipadan dengan kasut bertutup. Elakkan kesan `atas tutup bawah terbuka` seperti memakai sandal bertali dengan jubah.

Pakaian pejabat memerlukan kasut bertutup supaya kompentensi kerjaya tidak terjejas. Paling baik pakai kasut yang bertumit antara satu hingga satu setengah inci. Lebih dari itu akan menjadikan diri anda kelihatan kurang serius malah membahayakan diri sendiri. Otot betis dan kaki akan mudah cedera kerana berat badan akan berganda tujuh kali sewaktu anda memakai kasut yang bertumit lebih daripada tiga inci. Kaedah terbaik, pilihlah kasut bertumit kitten heel untuk ke pejabat.

Untuk wanita mengandung atau yang mengalami sakit lutut, pilih kasut dengan pelapik sokongan untuk menampung berat badan dan menyerap hentakan. Kasut jangan terlalu tinggi kerana boleh meregangkan otot betis, harus berbentuk sederhana bulat/bersegi, bersaiz tumit sederhana dan `memegang` pergelangan kaki daripada tergelincir. Selain itu pilih kasut yang diperbuat daripada bahan kulit berwarna neutral (hitam, krim, coklat tua) dengan stail potongan ringkas (tanpa sebarang hiasan).

Senarai semakan untuk menilai kesempurnaan kasut

Padanan Kasut (The fit)
Sukar untuk mendapatkan kasut yang padan dengan kaki. Selain memerlukan khidmat diukur secara profesional, anda juga perlu tahu bahawa: 

-          Saiz kasut berbeza mengikut jenama.
-          Saiz kaki berubah dengan pertambahan umur dan berat badan. Jika kaki kanan lebih besar, gunakan ukuran itu sewaktu memilih kasut.
-          Muncung kasut yang terlalu runcing akan `membungkus` sisi tulang jari kaki hingga mencetuskan pelbagai masalah lain, termasuk kematu keras di pangkal jari tapak kaki. Uji kasut dengan memakainya dan berdiri sambil menekan jari arah ke bawah – perlu ada ruang selebar jari di antara hujung kasut bahagian dalam dengan ibu jari kaki.

Bentuk kasut (The Toe)
Hujung kasut bersegi dan bulat memang memberi rasa selesa, namun yang lebih tirus   akan membuat anda kelihatan lampai. Kaedah terbaik ialah dengan memilih kasut runcing paling selesa iaitu bersaiz lebih longggar dan gunakan pelapik lembut (insole padding).

Tumit Kasut (The Heel)
Tumit kecil lebih melangsingkan tubuh . Sesuaikan bentuk tumit dengan skala badan. Jika badan berisi, elakkan tumit terlalu kecil yang akan membuat badan kelihatan lebih besar. Tinggi paling ideal untuk semua ialah dua inci.

Bahan kasut (The Material)
Material terbaik ialah kulit, suede atau fabrik lembut (seperti baldu). Kasut kulit tahan lasak dan selesa dipakai sepanjang hari. Untuk menjaganya, ia perlu `direhat` dan digilir pakai dengan kasut lain pada selang hari yang berikutnya.

Tapak kasut (The Sole)
Anda akan kelihatan langsing jika tebal kasut kurang daripada ¼ inci. Tapak tebal akan membuatkan kasut kelihatan berat dan memendekkan bentuk tubuh.

Bukaan depan kasut (The vamp/throat)
Paling elegan bentuk U dan V. Bukaan kasut low cut sesuai dipakai dengan pakaian daripada fabrik lembut seperti baju kurung, kebaya dan skirt labuh. Kasut high cut adalah untuk pakaian jenis tertutup iaitu pants, jubah.

Tali kasut (The Strap)
Semua jenis kasut bertali akan memendekkan ketinggian badan. Kesan ini boleh dikurangkan  dengan memakai kasut bersaiz tali kecil dan warnanya pula seiras dengan warna kulit.

Struktur kasut (The Structure)
Keseluruhan kasut perlu disokong. Kawal lenturan semula jadi kaki sewaktu melangkah. Elakkan kasut yang terlalu lembut dan tidak `memegang ` bahagian pergelangan kaki agar kaki tidak tergelincir sewaktu memakainya. Kesihatan kaki lebih berharga daripada segala-galanya.  

1 comment: