Tuesday, July 5, 2011

Merancang Pembentukan Ruang Dapur

serenemaklong.blogspot.com



UMUM mengetahui ruang dapur adalah tempat memasak dan menyediakan hidangan, di samping melakukan kegiatan lain seperti menjamu selera bersama keluarga, berehat, membuat kerjatangan, menyisih bil bulanan dan sebagainya. Ada juga yang memanfaatkan ruang dapur sebagai tempat bersidang adik beradik apabila sesekali bertemu.

Berikut disenaraikan perkara yang perlu difikirkan sewaktu merancang pembentukan ruang dapur. Paling penting, tentukan dahulu kegiatan yang hendak dibuat di ruang dapur dan tanya soalan ini:
  • Berapa kerap menggunakan ruang dapur untuk menyiapkan hidangan keluarga?
  • Adakah memasak hanya pada waktu tertentu seperti meraikan tetamu istimewa atau sesekali bila diperlukan sahaja?
  • Adakah anda seorang yang pakar dalam bidang masakan dan ruang dapur adalah ‘pejabat’ anda?
  • Adakah anda menjadikan ruang dapur sebagai pusat berhimpun anggota keluarga?
Terdapat lima fungsi ruang dapur, iaitu:
  • Ruang dapur yang membenarkan anda melakukan kegiatan memasak sebebasnya tanpa sebarang gangguan.
  • Sebagai ruang keluarga.
  • Dijadikan ruang makan.
  • Ruang dapur yang boleh menampung kegiatan katering atau menyediakan hidangan yang banyak.
  • Tempat untuk merancang menu makanan, menulis atau membuat penyelidikan.
  • Ruang untuk anak bermain dan membuat kerja rumah.
Selepas mengenal pasti kegiatan yang hendak dibuat di ruang dapur, langkah seterusnya ialah menentukan gaya yang hendak dibentuk.

Jangan lupa masukkan sekali ciri ruang dapur yang anda idamkan. Antaranya memilih kemasan lantai, dinding dan permukaan kerja yang bersifat tahan lama, lasak, selesa serta mudah dibersihkan. Penting juga untuk melengkapkan ruang dapur dengan kabinet siap dipasang, perkakas elektrik yang sesuai seperti peti sejuk, ketuhar gelombang mikro, cerek dan pengisar.

Fikirkan juga tempat menyimpan dan menggantung perkakas, pencahayaan semula jadi dan tambahan yang mencukupi serta paling penting sistem pengudaraan yang baik.

Sebelum meneruskan kerja mengubah suai ruang dapur atau membina yang baru, pertimbangkan persoalan-persoalan ini:
  • Apa yang tidak disukai di ruang dapur sedia ada?
  • Keluasan ruang dapur yang tinggal selepas dilengkapi kabinet siap dipasang, adakah mencukupi untuk anda sekeluarga atau menjadi terlalu sesak dan perlu diluaskan lagi.
  • Adakah kawasan lebihan untuk menambah keluasan ruang dapur atau sekadar perlu memanfaatkan ruang sedia ada?
  • Adakah mempunyai laluan ke ruang lain seperti ke ruang makan, bilik serba guna dan bilik menyimpan makanan?
  • Adakah kedudukan pintu ruang dapur sesuai atau perlu diubah kedudukan supaya dapat menghubungkan ruang dapur dengan salah satu atau ketiga-tiga ruang yang disebutkan tadi?
  • Adakah kedudukan ruang dapur bersebelahan taman yang membolehkan anda menempatkan satu ruang makan di luar rumah?
  • Adakah jumlah tingkap dan pintu cukup untuk memberi sistem pengudaraan yang selesa?
  • Adakah pencahayaan semula jadi mencukupi atau perlu ditambah binaan tingkap?
  • Adakah ruang dapur mempunyai laluan tersendiri dari tempat letak kereta bagi memudahkan kerja mengangkat barangan dapur yang dibeli.
  • Apakah jenis ruang penyimpanan yang diperlukan?
  • Di manakah tempat sesuai untuk meletak bakul sampah?
  • Adakah punca elektrik dan saluran paip mencukupi?
  • Adakah kuasa elektrik disalurkan dengan sempurna?
Bagi yang sudah selesa dengan ruang dapur mereka, tumpukan pula perhatian kepada ciri keselamatan. Ini kerana ruang dapur adalah tempat paling berisiko menyumbang kepada kemalangan dalam rumah selain bilik air.

Langkah keselamatan yang perlu diambil:
  • Bagi yang banyak menggunakan peralatan elektrik, guna wayar jenis lingkaran supaya wayar tidak menjalar atas meja kerja. Cabut palam selepas diguna bagi mengelak kanak-kanak menekan suis secara tidak sengaja.Simpan semua bahan pencuci atau peluntur di tempat tinggi supaya kanak-kanak tidak mudah mencapainya, seelok-eloknya dalam almari unit  gantung yang pintunya sentiasa tertutup kemas.
  • Sekiranya anak ada bersama sewaktu memasak, pastikan dia berada dalam kandang mainan supaya tidak mengganggu kelancaran pergerakan anda. Pilihan lain ialah memasang pagar keselamatan di pintu masuk untuk mengelak anak memasuki ruang dapur.
  • Jangan biarkan mesin basuh terpasang, terutama jika kanak-kanak berada di kawasan sekitar.
  • Pilih tong sampah yang agak tinggi supaya kanak-kanak tidak mudah menyelongkar. Jangan letak benda tajam dalam tong sampah, sebaiknya dibungkus dan buang terus ke dalam tong sampah di luar.
  • Jika perlu pasang kunci keselamatan atau selak pada pintu peti sejuk dan kabinet supaya kanak-kanak tidak mudah membukanya.
  • Jauhkan kedudukan peti sejuk dari dapur masak atau tingkap bagi memastikan peti sejuk berfungsi dengan baik. Jarakkan juga kedudukan peti sejuk daripada dinding untuk membenarkan pengaliran udara di bahagian belakangnya.
  • Tutup semua bekas mengandungi cairan yang disimpan dalam peti sejuk. Jika berlaku sebarang tumpahan atau ingin membersihkan peti sejuk, gunakan kain yang dicelup dalam bancuhan sedikit cuka dan air.
  • Pilih kemasan lantai jenis kesat dan sentiasa dibersihkan selepas memasak. Lap segera sebarang cecair yang tumpah bagi mengenal risiko tergelincir.
  • Sebaiknya guna meja sarapan atau meja kerja berbucu bundar. Tidak digalak memasang alas kerana dikhuatiri kanak-kanak menariknya. Pastikan mangkuk hidangan atau apa juga barang diletak di tengah meja.
  • Jangan simpan keperluan harian di tempat tinggi kerana ini menyukarkan anda untuk mengambilnya. Begitu juga dengan barangan berat, seeloknya jangan simpan di unit dasar kerana mungkin susah untuk diangkat keluar.
  • Tempatkan peralatan menghidang seperti pinggan mangkuk dalam kabinet unit dasar. Peralatan menghidang ringan seperti gelas dan cawan sebaiknya disimpan dalam unit gantung sementara periuk dan kuali atas rak bertingkat dalam kabinet.
 (Sumber: Anjung Seri)

No comments:

Post a Comment