serenemaklong.blogspot.com
Salah satu punca utama perniagaan gagal ialah konsep yang salah. Ramai usahawan terlalu melihat apa orang lain buat dan cuba menirunya.
Ada orang bermula dengan susah, ada bermula dengan senang, juga bermula dengan kosong.
Sebelum menceburi bidang keusahawanan, persediaan mesti ada, ketahui tindakan yang perlu dielakkan bagi mengurangkan risiko kegagalan.
PERTAMA usahawan digalakkan untuk tidak memilih bidang perniagaan tertentu hanya kerana melihat orang lain berjaya mengusahakannya, tanpa mengetahui selok-belok perniagaan tersebut. Pemilihan secara membuta tuli amat merbahaya kerana tidak dibuat berasaskan penilaian yang wajar.
KEDUA, usahawan jangan mencampuraduk urusan wang syarikat dengan urusan wang sendiri. Ramai usahawan gagal mengawal disiplin diri sehingga menggunakan wang perniagaan bagi tujuan sendiri. Akibatnya perniagaan menghadapi masalah aliran tunai yang seterusnya menyebabkan perniagaan gagal. Usahawan perlu faham konsep 'entiti berasingan' antara diri dengan perniagaan dan menghormati perniagaannya sebagai satu entiti lain.
KETIGA jangan menipu dalam perniagaan. Ini bukan amalan perniagaan yang baik malah dilarang dalam agama. Peniaga dilarang menipu dalam timbangan, sukatan dan maklumat mengenai produk. Ada peniaga yang sanggup menipu pelanggan, malah juga kerajaan dari segi pembayaran cukai dan sebagainya. Elakkan menipu dalam semua hal kerana lambat laun akan diketahui orang. Penipuan akan menghilangkan 'barakah' dalam urusan perniagaan kita.
KEEMPAT, usahawan yang ingin berjaya tidak patut tamak. Ramai usahawan menjadi tamak dan cuba membuat terlalu banyak perkara dalam masa yang sama. Ini menyebabkan mereka hilang fokus. Orang tua-tua sudah berpesan, orang tamak selalu rugi. Nanti yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Ingat juga kata orang putih, "Rome was not built in a day".
KELIMA, elakkan meminjam wang jika tidak perlu. Apabila usahawan meminjam wang, tujuannya haruslah untuk membantu menyelesaikan masalah perniagaan. Yakin ia boleh dibayar balik. Jangan meminjam sehingga membawa masalah kepada diri sendiri.
KEENAM, jangan mudah percaya kepada semua maklumat yang diterima, lebih-lebih lagi jika sumber maklumat itu kabur. Dalam perniagaan, maklumat yang betul sangat penting supaya keputusan yang tepat dapat dibuat. Oleh itu pastikan setiap maklumat disahkan secara teratur. Jika usahawan tidak mengesahkan maklumat yang diterima, dia terdedah kepada risiko membuat keputusan yang salah.
No comments:
Post a Comment