Monday, July 25, 2011

Bermusafir di Lebuhraya Ramadan

serenemaklong.blogspot.com



DI SEPANJANG lebuhraya Ramadan istimewa yang kita tempuh hanya sebulan dalam setahun ini terdapat pelbagai ganjaran yang disediakan oleh Maha Pencipta untuk hamba-hamba-Nya yang mahu melaksana dan memperkemas amalan-amalan wajib dan sunat yang diperintahkan-Nya. 

Untuk menyusuri lebuhraya penuh rahmat ini memerlukan kekuatan rohani. Salafussoleh zaman silam membuat persediaan menanti kedatangan Ramadan bermula daripada bulan Rejab lagi. Membanyakkan amalan yang mengundang kasih sayang Allah seperti berpuasa sunat, bersedekah, membaca Quran, berzikir, berselawat, berdoa berdakwah sekadar termampu dengan insan di sekeliling.

Sedapat mungkin kita menjauhi semua perkara yang boleh membangkitkan kemurkaan-Nya. Contoh, berpuasa dengan niat hendak makan sedap-sedap ketika berbuka, atau berpuasa tetapi “liat” solat Asar atas alasan letih. Puasa memang dituntut tetapi pahala puasa tidak cukup untuk menebus dosa meninggalkan solat.

Seorang pekerja yang sedang berusaha menarik perhatian dan penilaian yang baik daripada bosnya akan bekerja betul-betul. Dia sangat berhati-hati supaya tidak melakukan kesalahan yang mungkin boleh menjejaskan potensinya untuk mendapat penilaian yang tinggi. Jika bos marah, gajinya tidak akan dinaikkan dan dia gagal mendapatkan sebarang insentif. Atau lebih malang, tindakan disiplin pula yang akan diterimanya.

Begitu juga dengan amal ibadah. Dosa dan kemungkaran boleh menyebabkan amalan yang dikerjakan menjadi sia-sia. Sabda Rasulullah saw, mafhumnya:
Ramai daripada mereka yang berpuasa tidak memperolehi apa-apa melainkan lapar; dan ramai daripada mereka yang berdiri malam (beribadah malam) namun tidak mendapat apa-apa kecuali letih semata-mata. Riwayat Ibnu Majah dan an-Nasa’i daripada Abu Hurairah r.a.

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah menyatakan:
Dan sesiapa yang anggota-anggotanya tidak berpuasa daripada perkara-perkara yang Aku haramkan, maka tidaklah Aku berhajat agar dia meninggalkan makan dan minumnya demi kerana-Ku. Riwayat Abu Nuaim daripada Ibnu Mas’ud r.a.

Persediaan fizikal, harta dan persekitaran juga diperlukan pada bulan mulia ini. Tubuh yang sihat mudah merebut pelbagai kelebihan yang disediakan. Harta pula boleh disedekahkan sebanyak mungkin bagi meraih pahala. Persekitaran yang baik mampu memaksimumkan pencapaian kita. Elakkan diri daripada kelompok orang yang mengabaikan kebesaran Allah dan kemuliaan Ramadan.

Bermula Ramadan ini mari kita tingkatkan azam dalam beribadah. Kita bukan sekadar mahu menjadi muslim semata-mata. KITA MAHU JADI MUKMIN!

No comments:

Post a Comment