Monday, July 11, 2011

Penampilan Warna

serenemaklong.blogspot.com

Fesyen yang datang dan pergi lazimnya dipamerkan oleh pereka fesyen melalui pentas peragaan lalu dipopularkan oleh selebriti barat. Apa sahaja yang mereka gayakan akan menjadi ikutan ramai untuk suatu tempoh tertentu sebelum diganti fesyen lain.

Pun begitu kita tidak boleh meniru secara membabi buta. Apa yang dilihat cantik pada orang lain tidak semestinya cantik bagi kita.

Kita harus berhati-hati dalam bergaya supaya tidak membazir wang dan masa. Fahami  dahulu fungsi sesuatu pakaian dan aksesori, serta cara menggayakannya sebelum membeli. Jangan mudah terpengaruh dengan citarasa rakan atau perasaan sendiri yang tidak stabil.

Usah membeli banyak pakaian dan aksesori, cukup sekadar yang boleh disuai padan dan mampu berfungsi sesama sendiri dengan menggunakan sedikit kreativiti dan imaginasi. Tonjolkan keperibadian asli yang mampu meletakkan diri dalam kategori tersendiri.

Pastikan bahawa pakaian dan aksesori berada dalam kategori yang sama serta mempunyai tahap keanggunan yang sama juga. Contoh, pakaian pejabat digandingkan dengan beg tangan dan kasut kulit, atau pakaian sukan dipadankan dengan kasut sukan.

Usah taksub dengan jenama semata-mata kerana hendak menonjolkan status kewangan sedangkan penampilan bercelaru. Jangan menjadi hamba fesyen dan bertindak sebagai iklan bergerak tidak berbayar untuk pemilik jenama!

Warna
Setiap warna memberi kesan berbeza ke atas individu. Golongan lincah sesuai memakai warna terang dan umumnya berasa janggal bila mengenakan warna pudar. Orang pendiam pula kurang selesa dengan warna terang yang terlalu menonjol.

Trend bagi musim luruh 2011 adalah gabungan sekurang-kurangnya dua warna terang  atau lebih dalam satu jenis pakaian. Perkara yang perlu diingat ketika memilih warna ialah:

  1. Pilih himpunan warna yang sesuai dengan kulit dan personaliti.
Jika suka warna-warna panas, pilih kuning, oren, merah dan hijau kekuningan. Jika lebih gemarkan warna-warna sejuk pilih sahaja biru, ungu, magenta dan pink. 

  1. Pilih warna yang selaras
Fikirkan bahagian tubuh yang ingin dikurangkan penonjolannya. Contoh, untuk menyembunyikan  pinggang yang tebal, gunakan warna biru gelap di pinggang, biru muda di bahagian atas pinggang dan warna putih dari bawah pinggang.

Gabungan warna panas dan sejuk boleh dilakukan dengan meletakkan warna sesuai dengan kulit paling dekat di muka. Warna yang sesuai di kulit akan menaikkan seri wajah.

Kalau kurang yakin, boleh gunakan warna dari himpunan yang sama tetapi dengan rona yang berbeza. Contoh biru tua, biru cerah dan biru laut atau merah muda cerah, merah muda terang (fushia) dan merah muda lembut (pastel).

  1. Suai padankan aksesori dan solekan
Jika baju mempunyai lebih daripada tiga warna, pilih aksesori yang minimum iaitu kasut atau beg tangan yang mempunyai salah satu warna dominan daripada baju, supaya ada kesinambungan pada keseluruhan visual. Usah campuradukkan terlalu banyak warna berbeza antara aksesori, pakaian dan solekan sehingga kelihatan seperti badut!

Terdapat dua cara senang untuk menghasilkan konsep blok warna iaitu:
  • Membeli baju yang sudah mempunyai beberapa blok warna, atau
  • Menggabungkan dua jenis pakaian berasingan dan aksesori dalam warna-warna terang yang berlainan.
Jika memilih cara kedua, sebaik-baiknya gunakan warna terang di bahagian atas dan padankan bahagian bawah seperti skirt atau seluar mengikut warna kulit.

Formula untuk gabungan blok warna ialah satu warna cerah, satu warna terang dan satu warna neutral. Warna neutral adalah seperti warna kulit semula jadi, putih, kelabu, hitam dan coklat yang akan menstabilkan warna-warna lain bagi menampakkan kontras pada gabungan blok warna yang dipilih.

Konsep ini boleh diaplikasi dengan cara sederhana seperti mengenakan tudung pelbagai warna dengan baju kurung atau pantsuit polos yang neutral. Boleh juga menggayakan beg tangan atau kasut dalam warna yang terang seperti merah atau kuning untuk menimbulkan kontras yang ketara dalam penampilan. 

No comments:

Post a Comment