Sunday, July 24, 2011

Jangan Ditipu dan Tertipu

serenemaklong.blogspot.com

Sekarang ini terlalu banyak penipuan yang berlaku. Penipu datang menemui mangsa dalam  berbagai rupa dan cara. Ada yang berbentuk urusan perniagaan, peluang pekerjaan, hadiah mewah, skim cepat kaya dan sebagainya. Penipu yang bermulut manis berkeliaran di merata tempat dan bijak mengambil kesempatan. Mangsa mereka datang daripada berbagai latar belakang, kaum, jantina, usia, taraf pendidikan dan kedudukan ekonomi.

Contohnya, lepasan universiti yang ingin bekerja sebagai eksekutif pemasaran “syarikat pelaburan,” diminta menyerahkan sejumlah wang sebagai syarat pengambilan. Belum pun menerima gaji pertama mereka dan anggota keluarga masing-masing dipaksa melabur dalam skim-skim yang ditawarkan. Setelah memperolehi wang yang banyak, syarikat itu lesap dari premis tempat ia beroperasi, meninggalkan mangsa yang kerugian akibat simpanan sifar, malah ada juga yang menanggung hutang.  

Ada syarikat menawarkan kadar pulangan tinggi untuk pelaburan yang kecil. Umumnya, wang daripada orang baru disalurkan kepada orang lama sebagai “pulangan”. Disebabkan tiada pulangan sebenar yang dijana, akhirnya syarikat tersebut tidak cukup wang untuk dibayar kepada “pelabur,” lantas pengendali syarikat lesap entah ke mana.   

Juga tergolong dalam penipuan jenis ini ialah Bayaran Pendahuluan Nigeria. Penipu menghantar emel dan mendakwa kononnya mereka bekerja dengan Bank Pusat Nigeria atau kerajaan Nigeria dan menjanjikan sejumlah wang yang besar sebagai pulangan ke atas “pelaburan” yang  diberi. Yang menjadi mangsa bukan calang-calang orang. Ada peguam, doktor, pensyarah malah ahli perniagaan dan pegawai polis.

Dalam kes lain, penipu menghantar SMS atas nama Astro, Petronas, Shell Malaysia dan Power Root, kononnya mangsa telah memenangi hadiah wang tunai. Penipu mengajar mangsa cara mendaftar dan mengaktifkan akaun dalam talian [untuk menerima hadiah] menerusi mesin ATM. Mangsa tidak sedar dia telah menyerahkan maklumat sulitnya kepada penipu.

Kalau panggilan itu benar-benar daripada bank, sepatutnya semua maklumat itu sudah ada pada mereka. Tidak perlu meminta butiran tersebut. Jika hendak menyerahkan wang hadiah, mereka boleh menghantar cek, atau meminta mangsa datang mengambilnya sendiri.

Mangsa sepatutnya tahu bahawa peserta peraduan yang sah perlu mengisi borang penyertaan dan menulis slogan kreatif. Penganjur peraduan tidak akan meminta nombor akaun, nombor PIN atau wang untuk menuntut hadiah. Begitulah jadinya bila dikuasai perasaan tamak. Gara-gara tidak berfikir, sendiri yang terpedaya.

Ada juga mangsa menerima SMS meminta mereka menghadiri taklimat perniagaan. Jurujual syarikat memujuk mereka melabur dalam berbagai bentuk mesin dan barangan seperti kiosk e-POS (mesin yang membolehkan orang ramai menjelaskan bil-bil), mesin pengeluar air minuman, minyak wangi dan sebagainya. Mereka dijanjikan pulangan tinggi dalam sebulan. Namun, pulangan tidak diterima dan mangsa berputih mata.

Penipu “Unit Kad Kredit Palsu” pula menelefon atau menghantar SMS bertanyakan sama ada mangsa baru membuat pembelian menggunakan kad kredit. Penipu memperkenalkan dirinya sebagai ejen bank dan meminta mangsa mengesahkan urusniaga kad kredit itu. Bila mangsa  menafikan urusniaga tersebut, ejen mengesyorkan mangsa membuat laporan kepada “Unit Kad Kredit Palsu” Bank Negara, atau “Jabatan Urusan Kad Kredit” bank komersial dan memberikan satu nombor untuk dihubungi. Kononnya hendak menolong mangsa membuat aduan,  “pegawai Bank Negara” itu meminta maklumat perbankan dan akaun kad kredit mangsa. Penipu kemudian membuat pengeluaran tidak sah daripada akaun tersebut.

Dalam peraduan “Gores dan Menang”, penipu menggalakkan mangsa menggores beberapa tiket. Mereka menjerit “kegembiraan” mengatakan mangsa telah memenangi hadiah besar lalu membawa mangsa ke pejabat mereka. Di sana, mangsa diberitahu dia boleh memenangi hadiah  lebih besar dan hebat jika bersedia membayar “deposit.” Bila mangsa mula curiga dan hendak menarik diri, mereka diugut. Akhirnya “hadiah besar” itu tidak lebih daripada beberapa barangan eletrik murah atau barangan tiruan.

Berhati-hati sebelum terkena

  • Berhati-hati dengan penipuan pelaburan di internet, contohnya Swiss Cash.  
  • Jangan tergesa-gesa dalam urusniaga. Selidik latar belakang syarikat, senarai lembaga pengarah dan jenis perniagaannya, juga bagaimana ia boleh memberi pulangan lebih tinggi daripada bank dan saham amanah.
  • Pastikan syarikat itu berlesen untuk memudahkan tuntutan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak menyenangkan. 
  • Jangan percaya gambar-gambar “kejayaan” yang dipaparkan. Juga jangan kagum dengan pejabat berteknologi tinggi serta kakitangan yang ramai. Itu hanya lakonan. Bila terhidu sesuatu yang negatif, mereka cepat menghilang dan muncul kemudian dengan wajah lain dan pekerja baru. Orang ramai malah pihak berkuasa tidak mengetahui siapa dalangnya. 
  • Pastikan pelaburan anda sah dan selamat. Dapatkan nasihat dahulu sebelum melabur.
  • Laporkan SMS mencurigakan kepada pihak berkuasa. Jangan telefon mereka semula sebab dengan cara itu anda mengesahkan nombor telefon anda pada mereka. 
  • Berhati-hati dengan kenyataan palsu yang biasanya dihantar melalui emel. Menggunakan nama-nama bank utama seperti Maybank, CIMB, Public Bank dan sebagainya, emel itu mengarahkan pelanggan bank mengemaskini maklumat akaun atau mengesahkan butiran akaun, kononnya untuk tujuan keselamatan, di sebuah pautan lain yang menyerupai laman web sah bank-bank berkenaan.
Penguatkuasaan undang-undang yang lemah membolehkan penipuan berleluasa, dan kelembapan pihak berkuasa bertindak menyebabkan penipu mengambil kesempatan di atas kelemahan ini. Di Malaysia, mangsa hanya boleh bertindak ke atas syarikat. Jika syarikat lingkup, pengarah mudah berlindung diri dan tidak bertanggungjawab ke atas segala yang dilakukan oleh syarikat, kecuali kesalahan jenayah.


No comments:

Post a Comment