Pada masa ini segala macam bentuk pelaburan wujud di pasaran. Ada yang sah dan ada yang tidak. Yang tidak sah itu memang sah diwujudkan untuk menipu orang ramai. Sifat tamak sangat mudah diperguna dan diperkuda oleh pengusaha pelaburan yang juga tamak.
Terdapat satu pelaburan berbentuk piramid di mana modal yang diperlukan cuma RM30. Caranya ialah bakal pelabur membeli wang pos RM5 sebanyak enam keping. Setiap satu ditulis dengan nama si penerima di barisan atas bakal pelabur itu. Setelah nama bakal pelabur tersenarai, dia dikehendaki mencari ahli-ahli baru dan giliran dia pula yang menerima “sumbangan” RM5 daripada ahli di bawah. Dalam masa sebulan, berbelas-belas keping wang pos akan diterima dan berjumlah beratus-ratus ringgit.
Menurut Ustaz Zaharuddin Abd Rahman, seorang pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa dan juga Penasihat Syariah di C&S Consulting & Investment Ltd., OSK Investment (Islamic) Bank Bhd. dan Standard Chartered (Sadiq) Bank (M) Bhd, pelaburan tersebut tidak halal di sisi Islam. Ia juga bukan pelaburan.
Rukun pelaburan Islam di bawah konsep mudarabah dan musyarakah adalah:
- wang pelaburan dalam jumlah tepat dan diketahui
- pelabur
- pengusaha
- bisnes yang halal
Antara syarat sahnya pula:
- nisbah pembahagian untung yang dipersetujui bersama
- tiada jaminan modal selmat
- tiada jaminan untung tertentu atau tidak tertentu
Salah satu rukun dalam pelaburan Islam atas asas mudarabah dan musyarakah ialah mesti ada suatu perniagaan yang halal serta terdedah kepada untung dan rugi.
Dalam kes ini, duit peserta dalam bentuk wang pos diguna untuk melabur dalam perniagaan. Cuba lontarkan soalan-soalan berikut: Di manakah perniagaannya seperti yang disyaratkan? Apa produk dan perkhidmatan yang ditawarkan? Mana pula “profit sharing ratio”nya? Maka jelas sekali ia tidak menepati rukun pelaburan dalam Islam kerana “duit peserta terkumpul” itu dianggap sebagai sumber mendapatkan untung.
Menjual pusingan ahli yang menyertai dan sistem piramid tidak diterima oleh Islam walaupun cuba berselindung di sebalik nama ta’awun (kerjasama), sedekah, tolong menolong dan sebagainya.
Proses ini juga mempunyai elemen riba, kerana setiap pihak yang “menderma” memasuki sistem dengan niat, harapan serta janji oleh pengurusan bahawa mereka mendapat derma berbentuk wang dengan nilai lebih banyak daripada yang diberi.
Di dalam fiqah Islam, seseorang yang menderma tidak boleh mensyaratkan kepada penerima atau mana-mana pengurus sistem untuk mengembalikan sejumlah wang semula kepadanya, khususnya dalam jumlah yang lebih besar. Jika ini berlaku, sifat hadiah tadi akan berubah daripada hadiah biasa kepada “hadiah bersyarat pulangan” (hibah bisyarti ‘iwad) dan keadaan ini akan mengubah sifat kontrak asal derma (tabarru’at) kepada sifat jual beli (mu’awadah maliah).
Apabila ia telah berubah menjadi sifat jual beli, Islam mengharamkan pertukaran wang dengan wang yang berbeza nilainya dan bertangguh pula. Sifat jual beli mewajibkan semua rukun dan syaratnya ditepati dan jelas seperti subject matter, tempoh, nilai, pihak yang berurusniaga dan lain-lain.
Dalam program derma wang pos ini, kebanyakannya tidak diketahui, seperti bila tempoh dapat semula wang, berapa nilainya, siapa pihak di sebelah sana yang sedang berurusan dengannya dan banyak lagi.
Dari sudut rukun jual beli, ia juga mempunyai elemen judi kerana peserta tidak pasti sama ada wang yang telah diderma mampu membawa pulangan wang yang lebih banyak atau tidak kemudian hari, namun harapannya sentiasa berkobar untuk mendapat “derma” yang lebih banyak. Tatkala itu, definisi judi, spekulasi dan gharar, ketiga-tiganya wujud dalam permainan ini.
Semasa Ibn Abbas r.a. menghuraikan ayat 29 surah al-Nisa’ yang bererti,” Wahai orang beriman, janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil, kecuali dengan jalan perniagaan yang berlaku suka sama suka di antara kamu. Dan janganlah kamu membunuh dirimu, sesungguhnya Allah adalah Maha Penyayang kepadamu,” beliau mentafsirkan erti makan harta secara batil, palsu dan tidak sah adalah mengambil harta tanpa sebarang balasan kerja yang setimpal.” (Rujuk Tafsir al-Tabari, al Razi).
Selain itu, terdapat juga athar yang disandarkan kepada Ibn Abbas yang berkata: Riba adalah setiap hadiah yang mensyaratkan pulangan lebih besar daripada pemberian.” (Al-Jami’ fi Usul al-Riba).
Program derma wang pos ini jelas mengambil harta orang lain tanpa kerja yang setimpal. Ciri-cirinya amat sama dengan ciri-ciri riba iaitu wang dipaksa melahirkan wang lain tanpa sebarang perantara aset dan kerja yang menambah nilai kepada ekonomi setempat.
Ringkasnya, sistem derma wang pos atau apa juga nama yang diberikan adalah sama seperti sistem piramid yang mengambil keuntungan di atas bilangan orang yang masuk ke dalam sistem. Pelaburan ini diharamkan atas sebab terdapat unsur syubhah riba, elemen judi, gharar dan juga juga makan harta secara batil.
No comments:
Post a Comment