Wednesday, February 18, 2015

Tazkirah Ustazah

Kembali kepada Allah dan mohonlah kepada-Nya dengan 4 pancaindera iaitu Mata, Telinga, Hati, Lidah. Jangan pula berpaling dari-Nya dengan kesemua pancaindera itu.Seseorang tidak akan dapat kembali dengan sempurna tanpanya. Setiap anak cucu Adam akan mendapat hidayah apabila dapat melihat, mendengar, menghayati dan berbicara dengan Allah. Manakala orang yang hina akan sentiasa mengikut kiblat hawa nafsunya.
Hati manusia umpama hamparan bumi yang luas terbentang. Jika yang ditanam itu adalah pohon Iman dan Taqwa, maka akan menghasilkan buah yang manis sepanjang hayat. jika yang tertanam adalah pohon hawa nafsu, maka setiap buahnya terasa pahit bahkan membusuk. Tanamlah ilmu pengetahuan di bumi hati supaya yang tumbuh adalah kerinduan kepada Allah jika pohon tersebut kukuh dan kuat. Nescaya Allah berkenan menyemaikan benih Ketaatan kepada-Nya.
Iblis bersukaria ketika Nabi Adam di turunkan dari Syurga. Kemudian Allah berpesan kepada Nabi Adam: "Janganlah engkau membantah perkataan-Ku dan keluarlah kamu dari syurga. Ini berlaku kepadamu dan anak keturunanmu yang aku ciptakan.Wahai Adam, kedudukanmu dahulu di hadapan-Ku saperti raja tapi sekarang kedudukanmu di hadapan-Ku sebagai seorang hamba. Janganlah engkau memecahkan gelas kehinaan yang menyebabkanmu tidak beruntung kerana kesombongan telah dicabut dari dalam dirimu dan diganti dengan pakaian penghambaan meskipun engkau membencinya. Wahai Adam, Aku tidak memberikan bahagianmu kepada orang lain melainkan untuk kebaikanmu sendiri. Kebesaran kemegahan dan kesombongan tidak memberikan manfaat apa-apa bagimu. Sebaliknya dengan kerendahan hati, kebaikan akan datang kepadamu."
Jika Pakaian Tauhid dapat dikenakan kepada jasad yang pandai bersyukur, maka sehebat mana anak panah dari musuh tidak akan mampu menembus apalagi untuk melukai jasad tersebut.Berdiri tegaplah dengan Pakaian Tauhid dan jangan mundur dengan hasutan iblis. Kita semua sebagai anak cucu dan keturunan Nabi Adam hendaklah belajar memperbaiki diri kerana pesanan Allah itu tidak terkecuali pada diri kita sendiri. Masuklah ke dalam negeri kedamaian di mana jalannya adalah benar dan lurus.
Manusia berada di antara dua waktu, iaitu umur yang telah dilalui dan umur yang akan datang.Umur yang telah dilalui menjadi baik dengan bertaubat, menyesal akan perbuatan lalu dan memohon ampun kepada Allah. Sedangkan dosa dosa yang akan datang tidak mudah dicegah kecuali dengan keinginan dan niat yang benar dan tekad yang kuat. Umur yang berada di antara dua masa ini harus memikul tanggungjawab.Jika disia-siakan akan mendatangkan banyak halangan. Menjaga waktu sekarang ini lebih sukar daripada memperbaiki waktu yang dahulu. Jadikan hari-hari mendatang sebagai waktu mengumpul bekalan yang menentukan ke syurga ataupun ke neraka.
Mati itu mudah,perjalanan selepas itu yang menakutkan.-------------------
Permukaan kubur itu pada dasarnya hanya tanah. Namun di dalamnya sarat dengan seksaan dan kesusahan bagi mereka yang mengingkari perintah Allah. Penuh dengan malapetaka dan bencana. Setiap orang yang meninggal akan ditutup pahala amalnya kecuali orang yang meninggal dalam keadaan istiqamah dengan amal kebajikan di jalan Allah. Amal kebajikan itu mengalir untuknya sehingga hari kiamat dan dia terselamat dari fitnah kubur. [Ustazah Siti Nurbaya Usman]

No comments:

Post a Comment