Thursday, February 12, 2015

Mengapa Haji Tidak Mabrur

Haji mabrur walaupun sukar diperolehi tetapi tidak mustahil untuk mendapatkannya. Memang perlu berhalus dalam serba-serbi dan siap bersedia zahir dan batin sebelum berangkat pergi, semasa berada di Tanah Suci dan juga juga ketika kembali ke tanah air. Allah berfirman: "Hendaklah kamu berbekal. Sesungguhnya, sebaik-baik bekalan itu ialah takwa. Dan bertakwalah kepada-Ku (Allah) wahai orang-orang yang berakal." (Al Baqarah ayat 197). Sesungguhnya tanpa takwa boleh menyebabkan haji seseorang mungkin tidak mabrur. Antara sebabnya ialah KURANG MENDALAMI ILMU IBADAH HAJI dan tidak tepat melaksanakannya. Sering tersilap atau keliru hingga terikut-ikut dengan cara orang lain beribadah yang kadang-kadang melanggar syarat sahnya.
MENDERHAKA ATAU MENGABAIKAN IBU BAPA. Ada berlaku anak-anak yang mengiringi ibu bapa yang uzur ke Tanah Suci, kemudian mengabaikan mereka. Atau anak yang tidak bertegur sapa dengan ibu bapa kerana berkelahi, kemudian ke Makkah tanpa meminta maaf dan memohon restu mereka. BERSIKAP ANGKUH, SUKA BERGADUH dengan menjauhi diri dari anggota keluarga dan sahabat-handai lebih daripada tiga hari. KURANG MENGAMALKAN SUNNAH NABI SAW ketika menunaikan haji seperti tidak menjamakkan solat zohor dan asar di Arafah, tidak keluar berdoa sebelum matahari jatuh di Arafah dan tidak mahu melakukan ibadah korban. BERAT TULANG dalam hal membantu jemaah yang memerlukan pertolongan kerana mementingkan diri. TERLALU UZUR untuk melakukan ibadah badani seperti tawaf dan sai'e. Jika mengupah usungan, kerap kali tidak sempurna. KURANG SOLAT BERJEMAAH di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Datang lewat ke masjid, kemudian tergesa-gesa hendak balik.PERNAH ROSAK AKIDAH DAN SANGAT MENGABAIKAN IBADAH. Tabiat masa lalu terbawa-bawa hingga ke Tanah Suci. Di Makkah, kurang melakukan amalan kerana sudah terbiasa meringan-ringankan hukum.MASIH MENGAMALKAN PERKARA KHURAFAT DAN KEPERCAYAAN KARUT yang dianggap sebagai sebahagian daripada kepercayaan agama. Umpamanya masih percayakan bomoh fasik atau mengamalkan kepercayaan yang tidak diasaskan dalam Islam. Contoh, memeluk tiang jin di Masjidil Haram atau mencuri tali khemah Arafah untuk berkat pelaris jualan.SUMBER DANA TIDAK JELAS halal haramnya (syubhah), tidak menjelaskan zakat terlebih dahulu, berhutang atau memaksa anak membiayai haji.
SUKA MENANGGUHKAN KERJA BAIK DAN PERKARA SUNAT kerana berangan-angan hendak datang lagi pada masa akan datang sedangkan itu belum pasti.GEMAR MEMBELI-BELAH DAN TAWAR MENAWAR sehingga bertengkar. Ini mengurangkan sifat warak dan lari dari tujuan ke Tanah Suci.MERASA SOMBONG DAN BANGGA DIRI ketika bersama-sama kawan dengan menonjolkan martabat dan pangkat serta cerita-cerita kegemilangan hidupnya. Sepatutnya ketika di Tanah Suci semua insan itu sama sahaja. Yang dekat dengan Allah ialah yang paling bertakwa. Oleh itu tinggalkan pangkat dan darjat di tanah air. MEMENTINGKAN DIRI dan sukar bekerjasama dengan jemaah haji lain yang turut berkongsi bilik penginapan, terutama mengenai penggunaan bilik air yang sepatutnya diguna secara bergilir. Gunakanlah bilik air untuk perkara paling utama seperti buang air dan mengambil wuduk. Mandi dan membasuh pakaian ditangguhkan pada waktu yang tidak sibuk. TIDAK MENGHAYATI KHUTBAH ARAFAH yang menghuraikan maksud, falsafah amalan dan cara wukuf sebagai tanda kekuatan iman. Dorongan hati yang terbuka menerima maklumat dan teguran mengenai ibadah dianggap peningkatan takwa.JEMAAH LELAKI MALAS BERTALBIAH selepas berniat ihram yang mengurangkan pahala dan afdalnya haji dan umrah. Sabda Nabi SAW: "Sebaik-baiknya haji ialah yang diiringi talbiah dan menyembelih korban.
TIDAK MAHU BERTAUBAT dan menyesali kesalahan yang pernah dilalui, apatah lagi jika pernah terlibat dengan dosa-dosa besar. Sebaliknya suka menyalahkan pihak lain bila menghadapi sesuatu kesulitan. Semasa di Makkah tidak boleh menyerahkan sesuatu kepada takdir atau menyalahinya. WANITA KELUAR SEORANG DIRI sama ada untuk menunaikan umrah atau membeli belah. Ada juga WANITA MENDEDAHKAN AURAT sebab sudah terbiasa. Ini mendorong minat lelaki dan menimbulkan fitnah, sekali gus merosakkan peluang diri sendiri dan orang lain untuk mendapat haji mabrur. Wanita hendaklah menjaga aurat ketika ihram termasuk semasa berada di bilik penginapan yang boleh dilihat lelaki. MENGABAIKAN PELAKSANAAN DAM apabila melanggar larangan ihram atau tidak menyempurnakan wajib haji. Tujuan membayar dam ialah untuk melengkapkan segala kekurangan dalam ibadah wwjib haji dan umrah.KEHILANGAN SOPAN SANTUN DAN MENGABAIKAN AKHLAK MULIA seperti tidak ramah, kasar dengan teman dan kurang mengawal diri, berebut-rebut menaiki bas seperti di Arafah ke Muzdalifah, bertolak-tolak ketika keluar masjid dll, melayani nafsu dalam masa berihram dan bercakap secara tidak hormat mengikut persekitaran Tanah Suci.

No comments:

Post a Comment