Sunday, November 2, 2014

Mengaku Salah

Pengacara TV Al Hijrah dan pakar motivasi terkenal Amin Idris menceritakan peristiwa yang dialaminya. Ketika itu dia sedang melalui jalan berhadapan Pasaraya Billion di Kota Bahru, Kelantan untuk pergi ke Masjid Langgar. Di hadapan terdapat papan tanda yang melarang membuat pusingan U. Pun begitu, Amin Idris dengan selamba melanggar larangan tersebut. Memang nasib tidak menyebelahinya apabila dia ditahan oleh seorang anggota polis. Amin Idris beriya-iya bertekak dengan polis tersebut. Akibatnya dia telah dimarahi dan disaman. Selepas beberapa bulan kemudian Amin Idris kembali menyusuri jalan yang sama. Hatinya berbisik supaya membuat pusingan U di jalan berkenaan. Terpengaruh dengan bisikan tersebut, lantas dia mengikut kata hatinya. Sebaik sahaja dia membuat pusingan U, dia ditahan oleh polis yang sama yang pernah menyamannya dahulu. Aduhai!!! Amin Idris membuka tingkap keretanya dan berkata, “Abang, memang saya salah. Silalah hukum dan saman saya!!!” Kalau dahulu Abang Polis berwajah masam, tetapi kali ini dia tersenyum. “Alah, tak apalah. Kali ni saya lepaskan awak. Tapi kalau saya jumpa sekali lagi, siap awak, saya saman lagi banyak!!!”
Mengapa sikap polis itu berbeza jika dibandingkan dengan kali pertama? Sebab, Amin Idris mengakui kesalahannya. Kalaulah diajak bertekak seperti dahulu, silap-silap haribulan Amin mungkin dikenakan saman lebih tinggi. Sebenarnya bila kita bergaduh, kita tidak dapat apa-apa. BERGADUH dan BERLEMBUT, KONFRANTASI dan DIPLOMASI memberikan hasil yang BERBEZA. Sebabnya, kalau kita bergaduh, kita berpuas hati tetapi bukan orang yang dilawan bergaduh itu. Sampai kiamat pun drama pergaduhan ini sukar hendak ditamatkan. Sebaliknya kalau kita berdiplomasi dan tidak berkonfrantasi, kita menang dan dia pun menang juga. Maka tamatlah pergaduhan itu. Elemen utama di sini ialah: 1. Bila kita berlembut, mungkin kita dapat MEMPENGARUHI pihak yang satu lagi untuk mengikuti cara kita. 2. LEBIH MUDAH mengaku salah daripada memikirkan dan mengemukakan berbagai alasan untuk mempertahankan kesalahan sendiri, umpama menegakkan benang basah. 3. Kita tidak MENCIPTA MUSUH.
Dalam konteks agama, kalau kita berbuat dosa, Allah menuntut kita mengakuinya dan Nabi s.a.w. mendidik kita menginsafinya. Allah itu Maha Pengampun. Istighfarlah dan mohon keampunan-Nya. Tetapi dengan syarat, JANGAN MENGULANG KESALAHAN YANG SAMA. (Siaran Assalamualaikum Amin Idris 2 Nov. 2014 TV Al Hijrah)

No comments:

Post a Comment