Friday, November 7, 2014

Jom Berubah

Kita baru sahaja memasuki tahun 1436 Hijrah. Tidak dinafikan ramai yang mengambil peluang melakukan perubahan sama ada besar atau kecil pada tahun baru ini. Memang Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada pada mereka.Sebenarnya perubahan seharusnya berlaku pada setiap hari. Orang paling berjaya ialah orang yang mana baginya hari ini lebih baik daripada semalam. Orang gagal ialah orang yang hari ini lebih teruk daripada semalam. Orang terpedaya ialah orang yang hari ini sama sahaja seperti semalam. Ini bererti kalau hendak berubah tidak semestinya pada awal tahun Hijrah sahaja.
Berubah semata-mata kerana Allah. Sepertimana perubahan yang dilalui oleh Mus’ab Bin Umar yang memeluk agama Islam setelah menerima hidayah. Tindakannya ditentang keras oleh ibunya yang membalas dengan menarik balik semua kemewahan yang sedang dinikmatinya. Namun Mus’ab enggan. Sebaliknya dia sanggup menyara hidup dengan bekerja sebagai pencari kayu api. Walaupun ibunya mogok lapar hingga ke tahap mengancam nyawa, Mus’ab tetap enggan menukar agama Allah yang dicintai, betapa pun tinggi kasihnya pada ibu tua itu. Tidak lama kemudian Mus’ab menjadi pendakwah di Madinah. Bila tiba waktu pagi dia mengetuk pintu setiap rumah dan mengajak penghuninya pergi ke masjid. Ramai penduduk Madinah yang tertarik pada Islam disebabkan dia, termasuk adiknya sendiri.
Ketika Perang Uhud, Rasulullah s.a.w. melantik Mus’ab sebagai panglima perang yang membawa panji-panji Islam. Melihat keberanian Mus’ab, tentera kafir Quraisy menetak tangan kanannya yang memegang panji-panji. Mus’ab segera mengalih panji-panji ke tangan kiri. Tidak berpuas hati, musuh pula menetak tangan kirinya. Namun Mus’ab segera memeluk erat panji-panji itu ke dadanya dengan kedua-dua pangkal lengannya yang kudung sebelum sempat panji-panji itu jatuh ke tanah. Bila melihat Mus’ab dihujani anak panah musuh, para sahabat menyambut panji-panji tersebut. Akhirnya Mus’ab gugur sebagai syuhada. Ketika hendak dikebumikan, Rasulullah s.a.w. menitiskan air mata melihat kain kafan Mus’ab yang daif, tidak cukup untuk menutup jenazahnya. Lalu Baginda memerintahkan kain kafan itu dibuat penutup kepala dan badan sementara kakinya ditutup dengan daun kering. Begitulah hebatnya Mus’ab yang kembali kepada Zat yang dicintainya sebagai syuhada.
Hari ini kita bersedekah hanya beberapa ringgit, bangun solat malam pun baru sekali dua, amalan dan kesabaran cuma sedikit, namun kita merasa pengorbanan kita hebat sangat. Adakah itu setimpal dengan pengorbanan Mus’ab Bin Umar? Bagi yang sudah mula menutup aurat dan yang mula rajin ke masjid, ucaplah rasa syukur. Bagi yang lain pula jangan sesekali menghina dan memperlekehkan mereka yang baru berhijrah ini. Kata Imam Qurtubi, hati yang istiqamah sentiasa melakukan ketaatan kepada Allah di segi keyakinan mahupun perbuatan. Kerana itu Allah melapangkan rezekinya dan menjauhkan dia daripada hawa nafsu jahat. Niatnya cuma satu iaitu meletakkan Allah di hadapan dalam setiap perkara. Dia sedar amalan yang kecil menjadi besar kerana niat dan amalan yang besar menjadi kecil, juga kerana niat. Bagi mengekalkan hidayah yang diberi Allah, dia menjaga solat lima waktu, membaca al-Quran, bertaubat, tidak pernah berhenti berdoa, menjauhi semua suasana negatif seperti kawan-kawan yang rosak akhlak. Lidahnya basah dengan zikrullah kerana hati yang lengah mudah dimasuki syaitan yang mempengaruhinya supaya melakukan keburukan. Dia tidak lupa memohon maaf sesama manusia.
Kisah kedua ialah mengenai seorang lelaki berumur 50 tahun yang berjaya dalam hidup, kaya raya dan mempunyai anak-anak, namun hatinya tidak pernah tenang. Setelah lama mengenang nasib diri, dia teringatkan perbuatan yang dilakukannya ketika berusia 17 tahun. Suatu hari dia pulang dari sekolah dan mendapati ibunya telah membasuh seluar jean kesayangannya dengan menggunakan peluntur menyebabkan seluar itu rosak. Dengan marah diambilnya seluar itu dan dilemparkan ke muka ibunya sambil berkata, “Ibu ni tak ada otak!!!” Tiba-tiba rasa bimbang menerpa di hati, khuatir ibunya belum memaafkan kesalahan itu. Lalu dia segera pulang ke kampung, sujud di kaki ibu dan memohon maaf di atas perbuatannya melemparkan seluar jean yang rosak ke muka ibunya ketika dirinya berusia 17 tahun dahulu. Sesungguhnya ibu tua itu tidak pernah lupa. Jika lelaki itu tidak mohon maaf, si ibu bertekad hendak mengadukannya kepada Allah di hari perhitungan nanti. Tetapi disebabkan si anak benar-benar menyesal, si ibu pun mengampunkan dosa anaknya. Betapa indahnya sebuah kemaafan. Ibunya berhijrah dengan meninggalkan dendam yang lama terbuku di hati. Lelaki itu pula rasa sangat bersyukur.
Sekembali ke rumah, lelaki itu terasa begitu damai di dalam hati. Anak-anak remajanya yang selama ini tidak pernah menunjukkan rasa hormat kepadanya, secara spontan meminta maaf dan berasa sangat insaf di atas tindakan mereka selama ini. Dia menitiskan air mata kerana di sebalik penghijrahannya ini, Allah telah memberinya rezeki dan nikmat.
Oleh itu, Jom berubah sekarang. Mari kita amalkan membaca doa-doa ini yang dipetik dari Surah Ali Imran ayat 8 dan Surah al Baqarah ayat 250. Semoga kita sentiasa berada dalam hidayah Allah. Wallahualam. (“Jom Berubah” oleh Datuk Siti Noor Bahyah Mahmood dalam Tanyalah Ustazah TV9)

No comments:

Post a Comment