Sunday, November 30, 2014

Bila Diuji Kembalilah Kepada Allah

Di dunia ini tidak ada seorang hamba Allah yang tidak menerima ujian dari Allah. Orang yang hidup susah memang diuji, orang yang kelihatan hidup senang pun hakikatnya sedang diuji. Setiap masalah ada jalan keluar. Penyelesaiannya ada di sisi Allah. Yang penting ialah kembali kepada-Nya dengan melakukan perkara-perkara berikut:
1) Setiap hari bangun awal pagi, berwuduk dengan sempurna dan lakukan solat Tahajud & solat witir. 2) Istighfar sebanyak 70 ataupun 100 kali. 3) Ulang doa ini sebanyak 3 kali: “Aku kasihkan suami/isteri/ahli keluarga (sebutkan nama mereka) kerana Allah. Aku mohon Engkau kukuhkan perasaan ini dalam hati kami. Tetapkan kami di atas jalan-Mu.” 4) Sepanjang hari ulang mengucapkan Tasbih dalam hati berulang-ulang. 5) Sentiasa sapa dan beri salam pada orang-orang sekeliling (ahli keluarga, jiran, rakan alam nyata dan alam maya). Kalau sapaan tidak berbalas, terus bertasbih dalam hati untuk menghilangkan rasa tersinggung. 6) Dalam sebuah buku (atau fail dalam komputer )yang diberi tajuk Penambahbaikan Diri, tuliskan tarikh dan catatkan semua kebaikan yang dibuat pada hari itu, contoh: berpuasa sunat, solat dhuha, solat rawatib, membaca dan mentadabbur makna bacaan al-Quran, bersilaturrahim dengan … (senaraikan nama mereka), posting dakwah dalam laman sosial, kerja rutin di rumah, melayan suami/isteri dan anak-anak, memberi makan haiwan peliharaan, kerja-kerja kemasyarakatan dan sebagainya. 7) Jangan tulis hal peribadi dalam laman sosial sebab banyak mata yang memandang. Jangan gembirakan orang yang ada rasa hasad dengki dalam hatinya.
Semua kebaikan adalah ladang pahala dan semua keburukan ladang dosa. Kebaikan dan keburukan bersumber dari hati. Sentiasa ingat kata-kata hikmat ini: Carilah hatimu ketika membaca Al Quran. Jika kau tidak temui carilah hatimu ketika mengerjakan solat. Jika kau tidak temui carilah hatimu ketika duduk tafakkur kepada Allah. Jika kau tidak temui carilah dalam kebaikan yang kau lakukan. Jika tidak kau temui pintalah hati yang baru. Semoga Allah golongkan kita dalam kalangan hamba yang dikasihi dan ditolong-Nya.Aamiin aamiin Ya Rabbul Alamin.

No comments:

Post a Comment