Sunday, November 2, 2014

Konsep Ansar-Muhajirin Hidup Di Turki

Ketika ini konflik di Syria belum menampakkan jalan penyelesaian. Rejim Basyar tidak henti-henti mengebom, menghamburkan racun kimia dan melakukan segala macam keganasan ke atas rakyatnya sendiri, memaksa hampir 2 juta warganya berlindung di 24 kem pelarian di luar negara: 2 di Jordan, 4 di Iraq dan yang terbesar 18 buah kem pelarian di Turki.
Kerajaan Turki memperuntukkan 595 juta Dolar untuk warga Syria tanpa mengharapkan bantuan luar. Setiap kem pelarian yang terdiri daripada 1,850 buah khemah berbagai bentuk, dihuni oleh 10,000 orang. Di Turki, warga Syria tidak dianggap pelarian, sebaliknya dianggap “tetamu” oleh pemimpin ulung negara itu, Tayyib Erdogan. Tujuan Erdogan ialah untuk menghidupkan kembali konsep Ansar-Muhajirin yang wujud pada zaman Rasulullah s.a.w. ketika penganut Islam meninggalkan kediaman dan harta mereka di Makkah dan berhijrah serta bertamu dengan saudara seagama di Madinah. Setiap tetamu Syria diberi kad pengenalan diri khusus di mana tertera nama, tarikh lahir dan nombor khemah masing-masing. Kad itu dikeluarkan sendiri oleh balai polis yang diwujudkan dalam kem pelarian tersebut.
Tetamu Syria juga diberi kad debit bernilai 50 Dolar yang digunakan untuk membeli barang keperluan harian dari pasaraya yang ada dalam kem tersebut. Kad debit itu ditambah nilai oleh kerajaan Turki pada setiap minggu. Pasaraya kem Syria dikendalikan oleh syarikat-syarikat swasta Turki yang berjaya membida dan membayar sewa tapak perniagaan berkenaan sebanyak 100,000 Dolar sebulan. Bayaran sewa itu kemudiannya digunakan untuk kerja-kerja senggaraan kem. Pasaraya yang serba bersih ini menggajikan para pekerja yang terdiri daripada pelarian kem itu sendiri. Secara purata, gaji bulanan mereka ialah 700 Dolar. Tetamu Syria diizinkan keluar kem oleh pihak berkuasa Turki dengan syarat mereka masuk kembali dalam tempoh yang ditetapkan. Kebanyakan penghuni keluar kem untuk membeli dan membawa pulang barang-barang yang kemudiannya dijualkan semula kepada penghuni kem.
Setiap kem pelarian dilengkapi klinik dengan peralatan perubatan, katil pesakit dan ambulans. Bagi kes-kes yang besar dan rumit, pesakit dihantar ke hospital kerajaan Turki. Terdapat juga pondok telefon, balai bomba, taman permainan kanak-kanak, masjid, sekolah dan khemah aktiviti, di mana komputer buatan Turki ditempatkan dan penggunaan Internet diberikan secara percuma. Ini menjadikan keadaan kem seperti pekan kecil yang lengkap dengan segala prasarana. Khemah pasang-siap setiap penghuni diberikan nombor yang menjadi alamat khemah berkenaan. Laluan masuk ke khemah dipasang penebat kayu dan karpet bagi menghalang kotoran dari luar masuk ke dalam. Laluan air hujan di bumbung khemah juga dipasang bagi mengelakkan banjir. Khemah yang bagaikan rumah kecil bagi keluarga Syria ini dilengkapi bilik air, dapur dan ruang tidur. Pasukan penyenggara sedia membaiki mana-mana khemah yang rosak dan bocor. Kerja-kerja mendobi pakaian disediakan secara percuma dalam sebuah khemah khas di mana terdapat 24 mesin basuh dan mesin pengering. Air basuhan pakaian dialirkan secara teratur ke dalam parit bawah tanah supaya kem tidak kotor.
Rakyat Syria yang masuk ke Turki tidak dikenakan visa atas dasar dasar persaudaraan dan ketauhidan. Dengan keyakinan bahawa perang akan tamat jua satu hari nanti, kanak-kanak Syria yang meninggalkan sesi sekolah di Syria telah dibantu dengan mewujudkan sekolah-sekolah kem yang menggunakan kurikulum negara mereka sendiri. Idea ini tercetus bila beberapa orang pentadbir kem melihat gambar-gambar lama di mana kanak-kanak Jepun selepas perang, belajar di tengah-tengah runtuhan bangunan dengan hanya berbumbungkan langit. Kerana itulah sekolah kem disediakan, lengkap dengan bilik air standard dan bilik air orang kurang upaya.
Adalah diharapkan anak-anak Syria yang semakin dewasa ini dapat kembali dan membangunkan semula negara mereka apabila perang tamat. Jika Jepun dan Jerman boleh bangkit selepas Perang Dunia Kedua, begitu jugalah harapan warga Syria dan kerajaan Turki. Konflik tidak akan berlangsung selama-lamanya. Allah juga tidak akan membiarkan kezaliman dilakukan selama-lamanya. Semua yang dilakukan ini merupakan pahala bagi penyumbang bantuan yang menghulur bantuan mengikut kemampuan diri.
“Allah tidak membebankan seseorang melainkan sesuai dengan kemampuannya. Dia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan dia mendapat seksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya. (Mereka berdoa): “Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami salah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami apa yang tidak sanggup kami menanggungnya. Maafkanlah kami, ampunkanlah kami dan rahmatilah kami. Engkaulah penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir. (Surah Al Baqarah Ayat 286). (Sumber Info: TV Al Hijrah)
PENGAJARAN DARI TURKI: Apa yang dilakukan oleh kerajaan Turki merupakan tindakan makro. Umat Islam di tempat-tempat lain boleh mengambil pengajarannya di segi mikro. Lihatlah di sekeliling di kalangan saudara-mara, jiran, rakan, wargatua, ibu dan bapa tunggal, malah sesiapa sahaja yang sedang berhadapan dengan kesulitan. Rezeki tidak pernah kurang kalau bantuan dihulurkan sekadar termampu. Besar atau kecil bantuan itu bukan ukuran. Yang penting ialah amalan. Jangan pandang pada hasil kerana itu semua Allah yang menentukan. Rasulullah s.a.w. bersabda: ”Barangsiapa memudahkan kesulitan orang lain maka Allah akan mempermudahkan urusannya di dunia dan di akhirat”. Hadis Riwayat Muslim.

No comments:

Post a Comment