Wednesday, January 15, 2014

Menghalalkan Darah Muslim - Alangkah Buruknya!!!

serenemaklong.blogspot.com
Kepada sahabat-sahabatku semua...janganlah kita men 'takfir 'kan sesama kita ...sesungguhnya manusia ini tiadalah lengkap ilmunya jika tidak menyedari sebarang kekhilafan dirinya sendiri......sentiasalah bermaafan...... TAKFIR ADALAH USAHA MENGHALALKAN DARAH MUSLIM Budaya takfir, ternyata memberi banyak kemudharatan pada masyarakat Islam. di zaman Imam Ahmad bin Hanbal, seorang ulama bernama Imam Ahmad bin Nasr Al-Khuzaie telah dibunuh oleh pemerintah, semata-mata beliau telah dikafirkan ulama kerajaan di zaman itu. Kejadian itu berpunca, sikap ketegasan imam Al-Khuzaie terhadap beberapa dasar kerajaan. Setelah kematian Imam Al-Khuzaie tersebut, Imam Ahmad bin Hanbal secara terang-terangan menyatakan sokongan terhadap beliau [La Ikrah Fi Ad-Din [terjemahan IKD: 175] Dari kisah ini, ternyata budaya takfir adalah satu budaya yang cukup tidak sihat. Lebih-lebih lagi, takfir itu dilakukan dalam perkara yang disifatkan khilafiyyah yang sepatutnya ditoleransikan. Ini kerana, ia memungkinkan berlaku pertumpahan darah dalam keadaan yang tidak dibenarkan. Ia sudah pasti diharamkan oleh Allah SWT. ANTARA KEROSAKAN TAKFIR Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyatakan, antara bahaya budaya takfir ini adalah seperti berikut; Satu, apabila salah seorang telah kafir, maka terfasakh antara suami dan isteri. Dua, anak yang islam tidak diletakkan dibawah kekuasaan seseorang yang kafir [mengikut sebilangan ulama] Tiga, dikenakan hukum murtad, iaitu bunuh. Empat, dia dianggap sebagai orang yang dilaknati Allah dan dianggap sebagai kekal dalam neraka sampai bila-bila. TAKFIR Takfir bermaksud menghukumi seseorang muslim yang lain dengan kekufuran. Ia merupakan satu perkara yang cukup bahaya. Ekoran itu, tidak selayaknya bermudah-mudah dalam pentakfiran ini kecuali ternyata beberapa tindakan-tindakan yang jelas dalam kekafiran tersebut. Antara dalil-dalilnya adalah seperti berikut; PERTAMA; Firman Allah; يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِذَا ضَرَبْتُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَتَبَيَّنُوا وَلَا تَقُولُوا لِمَنْ أَلْقَى إِلَيْكُمُ السَّلَامَ لَسْتَ مُؤْمِنًا تَبْتَغُونَ عَرَضَ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا فَعِنْدَ اللَّهِ مَغَانِمُ كَثِيرَةٌ كَذَلِكَ كُنْتُمْ مِنْ قَبْلُ فَمَنَّ اللَّهُ عَلَيْكُمْ فَتَبَيَّنُوا إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرًا Maksudnya; "Hai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) di jalan Allah, maka telitilah dan janganlah kamu mengatakan kepada orang yang mengucapkan "salam" kepadamu: "Kamu bukan seorang mukmin" (lalu kamu membunuhnya), dengan maksud mencari harta benda kehidupan di dunia, karena di sisi Allah ada harta yang banyak. Begitu jugalah keadaan kamu dahulu, lalu Allah menganugerahkan nikmat-Nya atas kamu, maka telitilah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan" [An-Nisa' : 94] Dari ayat ini, Allah SWT melarang kita mengkafirkan orang sesuka hati. Lebih parah, jika ia disertakan dengan tindakan membunuh kepada orang tersebut. KEDUA; Dalam hadis riwayat Muslim daripada Ibni Abi Syaibah. Diceritakan dalam satu peperangan [di Juhainah], bahawa Ibnu Abi Syaibah telah berjumpa dengan seorang lelaki [musuh]. Semasa hampir dia hendak membunuh lelaki terbabit, lelaki tersebut mengucap syahadah. Tetapi tidak diendahkan, lalu tetap dibunuh lelaki terbabit. Perkara itu sampai kepada pengetahuan Nabi SAW, menyebabkan Nabi SAW telah memanggil Ibnu Abi Syaibah tersebut. "Apakah tidak dia telah mengucap "tiada tuhan melainkan Allah", lalu kamu membunuhnya?" soal nabi SAW. Soalan itu dijawab oleh Ibni Abi Syaibah dengan katanya, "Wahai Rasulullah SAW, lelaki itu mengucapkan perkataan tersebut kerana takut dengan pedang". Ia menyebabkan nabi SAW marah, lalu berkata; أَفَلَا شَقَقْتَ عَنْ قَلْبِهِ حَتَّى تَعْلَمَ أَقَالَهَا أَمْ لَا Maksudnya; "Apakah kamu telah membedah dadanya hingga kamu mengetahui apakah ia berkata atau tidak?" [Muslim : 140] Dalam hadis yang lain pula, Nabi SAW bersabda; إِنِّي لَمْ أُومَرْ أَنْ أَنْقُبَ عَنْ قُلُوبِ النَّاسِ وَلَا أَشُقَّ بُطُونَهُمْ Maksudnya; "Sesungguhnya aku tidak disuruh bahawa membongkar berkenaan hati-hati manusia, dan tidak [disuruh] untuk membelah perut-perut mereka [untuk mengetahui isi hati mereka, kufur atau tidak]" [Al-Bukhari :4004] Dari hadis ini, kita dapat lihat betapa Rasulullah SAW amat marah dengan sikap seorang sahabat yang bertindak membunuh terhadap seorang yang mengucap syahadah. KETIGA; Imam Muslim meriwayatkan daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda; إِذَا كَفَّرَ الرَّجُلُ أَخَاهُ فَقَدْ بَاءَ بِهَا أَحَدُهُمَا Maksudnya; "Apabila seseorang lelaki itu mengkafirkan saudaranya [yang islam], maka sesungguhnya telah terkena [kekufuran itu] kepada salah satu dari kedua-duanya" [Muslim : 91] Dalam hadis ini, amat nyata larangan dari Allah SWT terhadap orang mukmin bahawa mengkafirkan saudaranya yang beragama islam. Larangan itu sehingga dinyatakan bahawa kekafiran tersebut akan terkena kepada pihak yang mentakfirkan itu [Fath Al-bari : 1/153] LARANGAN TAKFIR TERHADAP PELAKU DOSA BESAR Mengikut ajaran Khawarij, pelaku dosa besar boleh dikafirkan. Namun, ada sebilangan manusia yang mendakwa mengikut ajaran Ahli Sunnah wa Al-Jamaah, mereka mudah mentakfirkan orang yang melakukan dosa-dosa besar, sepertimana yang dilakukan oleh golongan khawarij ini. Larangan mentakfirkan orang dalam melakukan dosa-dosa besar itu adalah seperti berikut; PERTAMA: Imam Al-Bukhari meriwayatkan dari Abi Zar Al-Ghiffari bahawa Rasulullah SAW bersabda; لَا يَرْمِي رَجُلٌ رَجُلًا بِالْفُسُوقِ وَلَا يَرْمِيهِ بِالْكُفْرِ Maksudnya; "Seseorang itu tidak boleh melontarkan fasiq terhadap lelaki yang lain, begitujuga tidak boleh melontarkannya dengan kekafiran [takfir]" [Al-Bukhari : 5585] KEDUA; Imam Muslim meriwayatkan dari Abu Zar bahawa Rasululllah Saw bercerita; أَتَانِي جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام فَبَشَّرَنِي أَنَّهُ مَنْ مَاتَ مِنْ أُمَّتِكَ لَا يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا دَخَلَ الْجَنَّةَ قُلْتُ وَإِنْ زَنَى وَإِنْ سَرَقَ قَالَ وَإِنْ زَنَى وَإِنْ سَرَقَ Maksudnya; "Jibril telah datang dan memberi khabar gembira kepadaku. Sesungguhnya barangsiapa yang mati dari kalangan umat kamu dalam keadaan dia tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun, pasti ia akan masuk syurga. Aku bertanya, "Walaupun dia berzina?" Jawab nabi SAW, "Walaupun dia berzina sekalipun" [Muslim : 157] Dari hadis-hadis yang dikemukakan di atas, ternyata bagi orang yang melakukan dosa besar pun tidak boleh ditakfirkan, masakan boleh pula mentakfirkan manusia dalam perkara khilafiyyah? Sudah pasti, ia dilarang dan amalan tersebut bercanggah dengan ajaran nabi Muhammad SAW dan para sahabat. Dalam mengukuhkan ini, Imam Al-Qurtubi berkata; حَيْثُ جَاءَ الْكُفْر فِي لِسَان الشَّرْع فَهُوَ جَحْد الْمَعْلُوم مِنْ دِين الْإِسْلَام بِالضَّرُورَةِ الشَّرْعِيَّة Maksudnya; "dari pihak datang kufur dari lidah syarak adalah penafian terhadap perkara yang diketahui dalam syariah islam secara pasti" [Fath Al-bari : 17/199] PENUTUP Budaya takfir ini, sudah menjadi kebiasaan bagi orang yang bertaassub dalam perkara yang tidak haq. Lantaran itu, jika dibaca dari sejarah, kita akan dapati banyak kejadiaan takfir ini berlaku. Antaranya adalah, seperti tuduhan ulama-ulama tertentu kepada Ibnu taimiyyah sebagai kafir, malahan menggambarkan Imam Ibnu taimiyyah itu lebih kafir berbanding yahudi dan nasrani. Sudah pasti, tindakan ini adalah cukup tercela, bahkan memungkinkan malahan boleh mengundang kefasadan di atas muka bumi Allah, iaitu pertumpahan darah yang tidak sepatutnya. Firman Allah; وَلَا تَقْتُلُوا النَّفْسَ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالْحَقِّ Maksudnya; "jangan kamu bunuh nyawa yang Allah haramkan kecuali dengan kebenaran" [Al-'An'am : 151] Wallahualam. [ Syed Azizi Sr]

No comments:

Post a Comment