Thursday, January 9, 2014

Berlaukkan Anjing Berulamkan Kucing

serenemaklong.blogspot.com
Berlatarbelakangkan bendera negara tercinta, keluarga tiga beranak itu membuka meja lipat beralaskan plastik. Dari sebuah karung, barangan jualan dikeluarkan dan diletakkan di atasnya. Bercakap dalam gaya broken English dan beberapa patah Bahasa Melayu, lelaki itu menyapa lembut setiap orang yang melewati gerai sambil menawarkan barang yang dijual. “Syrian biscuits, only Sepuluh Ringgit.” “What is this?” “Biscuits with kurma,” jawabnya. Tangan lantas mengambil satu bekas dan menghulurkan segulung wang. “No, no change, I infak them all to you.” Keluarga itu kelihatan terkejut tetapi akhirnya melemparkan senyuman tanda terima kasih.
Mereka adalah di kalangan yang bernasib baik dapat meloloskan diri dari cengkaman pembersihan etnik di negara sendiri. Hidup di negara ketiga seperti Turki, Jordan, Lubnan dan tidak terkecuali Malaysia, mereka tidak mendengar bunyi tembakan, tiada serangan kimia mahupun serangan udara, tiada penyembelihan kanak-kanak, tidak dikurung dalam penjara sempit dan dirogol beramai-ramai dari pagi hingga malam. Di Malaysia, sukarelawan Malaysia Life Line For Syria (MLL4S) mengajar mereka Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, kemahiran hidup dan cara menyesuaikan diri dengan budaya dan masyarakat tempatan.
Tidak seperti saudara mara dan rakan handai di negara mereka yang masih terkepung selama berbulan-bulan - kelaparan, tiada tempat tinggal atau bekalan asas seperti makanan, air dan lain-lain. Keadaan sungguh kritikal sehingga ulama tersohor di negara itu menurunkan fatwa supaya mereka berlaukkan anjing dan kucing bagi mengelakkan mati kebuluran.
Malam Hari Rabu, 7 Januari 2014, 3 orang sukarelawan kemanusiaan Malaysia Life Line For Syria (MLL4S) yang sudah berada di Istanbul, sepatutnya masuk ke sempadan Syria. Namun rakan NGO di Syria menasihatkan MLL4S menangguhkan sebarang pergerakan masuk bantuan kemanusiaan kerana krisis pertembungan di antara pejuang mujahidin (kebanyakannya datang dari berbagai negara asing) dan Free Syrian Army (FSA) yang masih berlanjutan sehingga kini. Keadaan di ‘Azaaz, Aleppo dan Idlib masih belum selamat.
Keputusan ini diambil setelah MLL4S mengambil kira keadaan di negara berkenaan. Pertembungan antara mujahidin dan FSA menyebabkan rakyat Syria kini lebih berhati-hati dengan orang asing. Sukarelawan berkemungkinan ditangkap/diculik sekiranya dikesan ketika melalui 'check-point'. Ancaman barang-barang bantuan kemanusiaan dirampas juga sangat tinggi. Lagipun kesediaan kumpulan yang akan menjaga keselamatan sukarelawan kemanusiaan adalah terhad kerana mereka berada dalam keadaan bersedia untuk sebarang kemungkinan serangan. Justeru kawalan keselamatan ke atas sukarelawan kemanusiaan akan menjadi minimum dan sangat berbahaya memandangkan sukarelawan perlu bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain untuk menyerahkan sumbangan kepada rakyat Syria. Keselamatan sukarelawan menjadi keutamaan. Oleh itu buat masa ini sukarelawan kemanusiaan berada dalam 'standby mode' untuk 'deploy' bila-bila masa setelah mendapat lampu hijau daripada pengurus operasi lapangan MLLFS di Syria.
MLL4S, bersama-sama NGO Malaysia lain telah membuat rayuan kepada semua mujahiddin dan pejuang pembebasan di Syria supaya melupakan perselisihan masing-masing dan kembali kepada tujuan mereka yang asal iaitu membebaskan negara berkenaan daripada cengkaman kezaliman. Tanpa kesatuan saf dan perpaduan, kejayaan tidak akan dicapai dan rakyat Syria terpaksa terus-terusan hidup dalam keadaan menderita dan melarat.
Marilah kita memanjatkan doa kepada Allah S.W.T. supaya keamanan turun di bumi anbiya ini. Kita tidak sanggup lagi melihat saudara-saudara kita di sana berlaukkan anjing berulamkan kucing. Cuba kita hayati kata-kata Al-Marhum Ahmad Ammar ketika menunaikan bakti sebagai sukarelawan kemanusiaan MLL4S September 2013 yang lalu.
#letsfollowAmmar - #Pray4Syria

No comments:

Post a Comment