Thursday, September 12, 2013

Wanita Solehah Sebagai Isteri



Allah Subhaanahu wa Ta’ala berfirman: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (Ar Ruum: 21)

Berkata Ibnu Katsir rahimahullah dalam tafsirnya (3/473): “Termasuk kesempurnaan rahmat Allah Subhaanahu wa Ta’ala kepada anak Adam: Dia jadikan isteri-isteri mereka dari jenis mereka sendiri. Dan ditumbuhkan antara mereka “mawaddah” iaitu cinta dan “rahmah” iaitu kasih sayang. Seorang lelaki menahan seorang wanita untuk tetap menjadi isterinya oleh kerana ia mencintai wanita tersebut atau kerana ia hiba dan kasihan terhadapnya, di mana dia telah mendapatkan anak dari wanita tersebut atau wanita itu memerlukan padanya untuk mendapatkan belanja atau kerana kedekatan di antara keduanya dan alasan selain itu.”

“Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. “ Abdullah bin Amr ibnul Ash rahimahullah mengkhabarkan Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita sholehah.” (HR. Muslim)

Abu Hurairah Radiyallahu ‘anhu mengkhabarkan dari Rasulullah Shallallaahu ‘alaihi wasallam beliau bersabda: “Wanita itu dinikahi kerana 4 perkara. Kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya, dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang memiliki agama, engkau akan bahagia.” (HR. Bukhari dan Muslim).

Sebaiknya pilih wanita yang senang menjadi pengurus rumahmu dan pendidik anak-anakmu dan wanita yang memiliki agama dan akhlak yang dapat membantumu untuk taat kepada Allah Subhaanahu wa Ta’ala. Yang mengingatkanmu ketika engkau lupa, menolongmu ketika engkau ingat, mengurus dan memperhatikanmu ketika engkau ada, menjaga hartamu dan kehormatannya ketika engkau tidak ada. Dia membuatmu redha ketika engkau marah, mentaatimu ketika engkau perintah dan berbuat baik serta berbakti kepadamu.

Sesungguhnya wanita mulia yang menjaga kehormatannya tidak akan menyombongkan dirinya di hadapanmu dengan harta dan kecantikan yang ada padanya. Tidak pula dengan kedudukan dan keturunannya. Ingatlah jangan mengutamakan wanita cantik, atau yang memiliki martabat atau berharta dan meninggalkan wanita penuntut ilmu yang memiliki keutamaan. Nanti bagi kamu “Innalillaahi wa inna ilaihi raaji’un.”

No comments:

Post a Comment