Sunday, September 15, 2013

Agensi Perisikan Di Malaysia

serenemaklong.blogspot.com
AGENSI perisikan merupakan salah satu komponen penting dalam pertahanan sesebuah negara. Secara umumnya, tugas sesebuah agensi perisikan ialah untuk mengumpul seberapa banyak maklumat berkaitan aktiviti jenayah, subversif dan sebarang kegiatan yang boleh mendatangkan ancaman terhadap keselamatan negara. Di samping itu, agensi perisikan juga menjalankan perang saraf ketika peperangan (iaitu penyebaran ideologi dan maklumat palsu kepada tentera musuh). Terdapat dua agensi perisikan utama di Malaysia iaitu: CAWANGAN KHAS POLIS DIRAJA MALAYSIA. Ditubuhkan bermodelkan Special Branch UK. Bertanggungjawab mengumpul risikan bagi keselamatan negara. Antara lain peranannya ialah mengumpul risikan keselamatan berkaitan dengan ancaman dari dalam dan luar negara, sebarang aktiviti subversif dan sabotaj oleh kumpulan pelampau atau individu yang boleh mengancam kestabilan negara. Seterusnya dengan memperolehi, mengolah, menilai dan mengedar maklumat serta memberi nasihat kepada jabatan-jabatan di dalam dan luar pasukan, serta pertubuhan-pertubuhan yang berkenaan. Jabatan ini terbahagi kepada beberapa cawangan seperti:- Inteligen Teknikal, Inteligen Sosial, Inteligen Luar, Inteligen Politik, Inteligen Ekonomi dan Inteligen Keselamatan. KOR RISIK DIRAJA(KRD) ANGKATAN TENTERA MALAYSIA. Merupakan sebahagian daripada komponen Tentera Darat Malaysia. Organisasi KRD diketuai oleh Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP) merangkap Pengerusi KRD dan terbahagi kepada penempatan seperti berikut: Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP). 92 Anggota Tentera Cawangan Khas (ATCK). 91 Rejimen Khas Perisikan Tempur (RKPT). Cawangan Perisikan. Jabatan Arah Risik. Pusat Latihan Perisikan (PULARIS). KRD berperanan untuk merancang dan melaksanakan usaha-usaha dari segi mengumpul, menilai dan menyebar perisikan taktikal yang berkaitan dengan kepentingan Tentera Darat khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia amnya termasuklah tugas-tugas berikut: * Memberi khidmat nasihat kepada Pemerintah Pasukan mengenai aspek-aspek perisikan operasi, taktikal, keselamatan dan geraksaraf perangsaraf. * Menggubal dan mengeluarkan arahan yang berkaitan dengan perisikan operasi, taktikal, keselamatan dan geraksaraf perangsaraf. * Mengenalpasti, merancang dan melaksanakan operasi-operasi perisikan di dalam Tentera Darat. * Menganalisa semua maklumat perisikan untuk keperluan operasi Tentera Darat. * Menyedia pegawai-pegawai dan anggota yang profesional dalam bidang perisikan. Secara ringkasnya, Cawangan Khas menguruskan isu-isu perisikan yang berkaitan dengan ancaman dalam negeri, manakala Kor Risik Diraja menumpukan kepada isu perisikan yang berkaitan dengan ketenteraan. Walau bagaimanapun, kedua-dua agensi ini saling bekerjasama dan bertukar maklumat dalam memastikan keselamatan negara terjamin. (Sumber: VAT 69 - Perjuangan Semalam)

No comments:

Post a Comment