Jannah memang tidak sihat. Doktor telah memberikannya
ubat yang mesti dimakan setiap lapan jam. Malam tadi dia rasa terlalu mengantuk
sehingga tidak dapat menunaikan solat Isyak pada waktunya. Fikirnya biarlah dia
tidur dahulu untuk melegakan kepala sebelum bangun di tengah malam untuk
menunai solat Isyak beserta solat Tahajud dan Witir.
Dia terjaga pada pukul 3.45 pagi. Kedengaran sedikit bunyi dari belakang rumah.
Jiran barunya selalu bangun pada waktu itu dan turun ke dapurnya. Mungkin dia
berpenyakit kerana Jannah sering mendengar dia batuk berkahak berkali-kali.
Keadaan itu berlaku hampir setiap pagi. Fikir Jannah itulah yang didengarnya
pagi ini.
Malam tadi Jannah dan suami tidak tidur di bilik tidur
utama. Sebaliknya mereka tidur di bilik kecil yang bertentangan dengan bilik
utama. Untuk ke bilik air di bilik tidur utama, dia harus merentas tangga yang
menyambungkan kedua-dua bilik tidur itu.
Ruang tamu dan ruang dapur memang tidak pernah dibiarkan
gelap. Kedua-duanya mempunyai lampu yang terpasang secara automatik bila tiba
masa yang telah ditetapkan. Tangga pula tangga kayu yang berlapis. Oleh itu
mudah sahaja penghuni dari bilik di atas
melihat apa yang berlaku di bawah terutama ruang tamu.
Ketika Jannah membuka pintu untuk menyeberang ke bilik
tidur utama, dia ternampak susuk tubuh kecil seorang lelaki bagaikan remaja berada
di ruang tamu. Dia sedang bercakap perlahan-lahan dengan seseorang. Jannah
terkejut tetapi masih boleh berfikir secara rasional.
Dia tidak boleh mengejutkan suaminya yang memang terkenal
sukar bangun dengan pantas. Dia juga tidak boleh menjerit meminta tolong kerana
bunyi dari rumah batu mereka tidak akan sampai ke telinga jiran-jiran yang
sedang tidur nyenyak. Fikirnya jiran yang ingin menolong pun pasti akan menilai
keadaan sebenar sebelum datang membantu bagi mengelakkan bahaya kepada diri
mereka sendiri. Yang boleh Jannah lakukan ialah mengejutkan si penceroboh yang
sedang leka mengumpulkan barang-barang itu supaya melarikan diri. Lantas terpacullah
dari mulutnya “Pencuri! Pencuri!!!“
Si suami yang terkejut mendengar jeritan isteri hendak
turun ke bawah dalam keadaan separuh mamai. Jannah melarang kerana takut dia
akan dipukul atau ditikam kerana di ruang dapur memang terdapat pisau yang sering
digunakan untuk menyediakan makanan. Dia menyuruh suaminya menelefon jiran
sebelah rumah sambil mengejutkan jiran-jiran lain dengan membunyikan alat
penggera kereta. Sementara itu Jannah sendiri menelefon 999 yang kemudiannya
disambungkan ke balai polis Pandan Indah untuk membuat aduan.
Kira-kira 5 minit kemudian, jiran yang mengawasi keadaan
dari balkoninya memberitahu suami Jannah bahawa polis telah tiba dan sedang
memasuki rumah dari kawasan belakang yang dipecah masuk oleh penceroboh. Ketika
itu barulah Jannah dan suami keluar dari bilik dan melihat keadaan rumah yang
berselerak. Kedua-dua polis peronda yang tiba menyiasat keadaan sekeliling.
Setelah memastikan keadaan kembali selamat, Jannah dan
suami memasang semua lampu dan mengunci pintu untuk pergi membuat laporan rasmi
di balai polis Pandan Indah dengan kereta peronda mengekori dari belakang.
Ketika itu jam sudah hampir menjelang subuh.
Kira-kira jam 11.00 pagi jurugambar polis dan seorang
penyiasat datang untuk menganalisis keadaan. Jannah menyerahkan jaket
penceroboh yang terletak di atas kerusi di meja makan.
Antara barang-barang yang lesap ialah sebatang pen Parker
dan pena mata bola Parker, alat kawalan jauh untuk televisyen serta satu unit
alat walkie talkie. Mungkin barang-barang itu telah mereka masukkan ke
dalam saku terlebih dahulu sebelum menyelongkar barang-barang lain. Satu unit
lagi alat walkie talkie yang telah dimasukkan ke dalam kotak beserta
dengan pelbagai alat pengecas lain tidak sempat dibawa lari.
Di dalam keadaan terkejut hendak melarikan diri, mereka
juga telah tertinggal alat jek kereta dan perengkuh besar yang diguna untuk
memotong pagar belakang dan memecahkan kekisi. Beginilah keadaan rumah
Jannah:
Pagar dawai mata punai yang telah dipotong. Barang-barang disimpan di belakang rumah berselerak.
Barang-barang yang hendak dilarikan disusun di hadapan kekisi pintu dapur, iaitu peti televisyen, cerek elektrik dan alat pengadun yang terletak di belakang tong sampah.
Peralatan yang diguna untuk memotong pagar dan memecahkan kekisi. Mangga kunci tidak pecah tetapi kekisi yang retak.
No comments:
Post a Comment