Sunday, September 18, 2011

Kembali Positif Selepas Dikritik


serenemaklong.blogspot.com

Dalam kehidupan seharian, dengan persaingan sengit di mana-mana, kita terdedah kepada pelbagai macam kritikan. Kritikan di tempat kerja, di rumah dalam kalangan ahli keluarga, dari masyarakat setempat dan sebagainya.

Ada kritikan bersifat membina, dan tidak kurang juga dengan niat hendak menghancurkan. Ada kritikan yang positif tetapi cara ia disampaikan pula tidak betul sehingga si penerima menjadi terkesan dan berasa sedih. 

Mengapa menjadi negatif bila dikritik?
Binatang sumpah-sumpah (chameleon) mampu berubah warna mengikut suasana persekitarannya. Apabila berada di batang pokok, warnanya perang seakan-akan warna kulit kayu pokok itu. Ketika di celah dedaunan pula ia berwarna hijau.

Jiwa orang yang tidak tahan dikritik sama keadaannya dengan sumpah-sumpah. Apabila kritikan positif dia berasa gembira dan sebaliknya jika negatif dia sedih dan adakalanya marah.

Cara kembali positif selepas dikritik
Secara teori, memang mudah untuk kembali positif selepas dikritik, namun untuk dipraktikkan sukar sekali.

Sebenarnya kecenderungan untuk terkesan kepada perkara positif tidak semudah kecenderungan terkesan kepada perkara negatif. Nafsu sering mengajak kita ke arah perkara yang negatif, walaupun akal fikiran kita tahu bahawa berada dalam keadaan sedemikian akan merugikan diri sendiri. 

Jika kita melawan runtunan hati yang “blues“ ini dengan kekuatan akal, kita sebenarnya sedang menuju ke sebuah peperangan yang hampir sukar untuk dimenangi.  Kita memerlukan satu kekuatan yang lebih kuat. Kita mesti bersandarkan kepada bantuan daripada Zat yang menguasai hati itu sendiri.

Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya hati manusia (berada) di antara dua jari dari jari-jari Ar Rahman (Allah saw), seperti hati yang satu, yang Dia akan memalingkan (membolak-balikkan) hati tersebut sesuai dengan kehendak-Nya,“ lalu Rasulullah membaca doa: “ Ya Allah yang memalingkan (membolak-balikkan ) hati manusia, palingkanlah hati kami di atas ketaatan kepada-Mu.“ (HR Muslim no. 2654) 

Berdoalah kepada-Nya, “Ya Allah, aku rasa sedih kerana dimarahi tadi. Aku mohon kepada-Mu, hilangkanlah rasa negatif di dalam hatiku ini dan gantikan dengan perasaan yang positif.“ Jangan malu meminta pertolongan-Nya.Sesungguhnya Allah suka dengan orang yang selalu meminta pertolongan dari-Nya.  

Sesudah itu ambil sehelai kertas dan tuliskan, “Ya Allah, terima kasih kerana ....“ dan tulislah satu demi satu nikmat yang telah diberikan-Nya kepada kita.     



Jika cara itu kurang berhasil, cuba lihat gambar-gambar pemandangan alam semula jadi yang indah yang dapat mententeramkan hati. Lebih baik lagi jika gambar-gambar itu disimpan dalam satu tempat khas di mana anda boleh mencari dan menggunakannya untuk mencari ketenteraman.

Cara menjadikan jiwa kebal dari kritikan.
Kita mudah tertipu dengan apa yang kita lihat, dengar dan rasa. Apabila dikritik, kita merasakan kritikan itu sebagai satu serangan terhadap diri kita. Tetapi apabila mencapai kejayaan, kita merasa itu semua adalah hasil usaha kita sendiri.  

Apabila seseorang mengkritik kita, sebenarnya bukan dia yang mengkritik, tetapi Allah yang menggerakkan hatinya supaya menegur kita sebagai ujian untuk kita dan juga orang itu sendiri. Sebaliknya pula apabila sesuatu usaha kita membuahkan kejayaan, sebenarnya Allah yang memberi kita ilham dan kekuatan untuk mencapai perkara tersebut. Apabila kita sedar dan bukan setakat tahu bahawa segala yang menimpa diri kita adalah kehendak Allah, mampukah kita merasa negatif lagi.

Untuk mencapai kesedaran tertinggi, mohonlah “ pendapat” Allah di dalam setiap keputusan yang ingin kita buat. Jika sesuatu berlaku sesuai dengan kehendak kita, berterima kasihlah kepada-Nya. Jika menghadapi kesukaran pula mohonlah pertolongan-Nya. Semakin banyak kita berkomunikasi dengan Allah, semakin dekat hati hati kepada kesedaran tertinggi. Semakin mendekati kesedaran tertintti, semakin kurang kita berdepan dengan susah senang hidup di dunia ini.

Semoga kita semua dapat berusaha ke arah ini. Doakanlah juga untuk diri saya yang serba kekurangan ini. 

No comments:

Post a Comment