Friday, September 16, 2011

Pembendungan Air Punca Obes


serenemaklong.blogspot.com

Oleh Dr Rusmini Maris Ismail

Pembendungan air atau water retention merujuk kepada masalah pengumpulan cecair yang terlampau dalam saluran darah dan tisu tubuh. Kaum wanita lebih terdedah kepada gejala ini berbanding lelaki, disebabkan wanita mempunyai banyak hormon dan lebih sensitif kepada kandungan air.

Sebanyak 90 peratus air berada dalam saluran darah manakala 10 peratus lagi dalam tisu tubuh. Air membentuk darah kita menjadi medium di mana oksigen dan zat makanan larut di dalamnya. Oksigen dan zat makanan dibawa ke seluruh tubuh dan diambil oleh kelenjar, tulang dan otot.

Air dikawal oleh hormon prostaglandin yang kehadirannya mempengaruhi buah pinggang. Air diserap semula sekiranya tubuh kekurangan air dan jika berlebihan pula air dibuang menjadi air kencing.

Hormon yang mempengaruhi kehadiran air dalam sel ialah progesteron, tiroid, kortisol dan insulin. Sebenarnya hormon ini juga dikatakan penyebab masalah obesiti. Di dalam tubuh mereka yang obes adakalanya mekanisme kawalan air menjadi rosak dan mereka mudah menjadi sembap.

Terlebih progesteron biasanya menyebabkan air berkumpul pada sel-sel perut dan payu dara. Payu dara terasa bengkak dan sakit. Air yang berkumpul dalam perut juga membuatkan ia buncit seperti wanita hamil. Ini kerana hormon tersebut terlibat secara langsung dalam kehamilan.

Masalah kekurangan hormon tiroid menyebabkan pegangan air pada muka, leher dan belakang tubuh. Sel-sel dipenuhi cecair melekit yang menyerupai asid hyaluronik. Pengidap juga mudah keletihan dan cepat dilanda stres. Fungsi jantung juga turut rosak dan biasanya pengidap berasa kurang senang dan jantung yang berdebar-debar. Keadaan ini dinamakan myexedema.

Kortisol yang terlebih menyebabkan air terkumpul di dalam sel menjadikan sel lemak bengkak. Belakang leher membonjol dan ini dinamakan buffalo hump. Muka kelihatasn bengkak dan bulat dan ini dinamakan moon face. Kortisol seterusya menurunkan paras insulin menjadikan pengidapnya mempunyai paras gula yang tinggi.

Insulin merupakan hormon yang paling banyak dikaitkan dengan obesiti. Kajian terkini menunjukkan insulin yang tinggi membuatkan kita semakin gemuk kerana ia menggalakkan pengumpulan lemak terutama pada perut dan merosakkan hormon lain, secara tidak langsung mencetuskan pembendungan air.  

Pembendungan air dalam mereka yang mempunyai masalah jantung membuatkan kaki menjadi bengkak, nafas pula semput jika air mula berkumpul di dalam paru-paru. Keadaan ini memerlukan rawatan spesifik dan ubat-ubatan perlu sentiasa diambil.

Kerosakan buah pinggang turut menyebabkan air berkumpul terlalu banyak dalam tubuh. Keadaan ini berbahaya kerana kotoran tidak dapat dikeluarkan dari darah menyebabkan sisa toksik berkumpul dalam badan.

Mereka yang mengalami kekurangan protein yang serius akan menyebabkan tekanan osmosis kurang dan air mula bergerak ke sel-sel menghasilkan tubuh yang sembap. Kerosakan hati boleh menimbulkan keadaan seperti ini kerana hati adalah organ yang mensistesiskan protein. Kerosakan hati boleh menyebabkan protein darah menjadi kurang.

Perut menjadi buncit kerana kehadiran histamin. Histamin adalah bahan yang terhasil apabila berlaku radang pada perut.  Makanan yang tidak sesuai dan kehadiran parasit mungkin mengundang penghasilan histamin.

Kenal pasti punca berlaku pembendungan air dalam tubuh dan segeralah merawat punca tersebut. Bersenam, mengamalkan diet yang betul dan meningkatkan metabolik dapat membantu mengatasi masalah ini.  

No comments:

Post a Comment