Thursday, June 15, 2017

Perkara Yang Allah Sembunyikan




Berkata Syaidina Umar Ibnu Khatab :

"Sesungguhnya Allah Ta'ala menyembunyikan enam perkara di dalam enam hal, iaitu : 
→menyembunyikan redhanya dalam perbuatan taat, 
→menyembunyikan murkaNya dalam perbuatan maksiat, 
→menyembunyikan Lailatul Qadar dalam bulan ramadhan, 
→menyelinapkan wali-walinya di tengah manusia, 
→menyisipkan kematian di sepanjang umur, 
→menyembunyikan solat wustha dalam sekalian solat".

Redha Allah tidak ditunjukkan secara nyata bila manusia melakukan amal kebajikan atau ketaatan. Dengan itu manusia dituntut terus melakukan ketaatan kerana tidak tahu bila akan mendapat redha Allah.

Kemurkaan Allah disembunyikan supaya manusia tidak melakukan maksiat walau kecil kerana mungkin ia menimbulkan kemurkaan Allah.

Lailatul qadar walau disebut dalam Quran tidak diceritakan dengan tepat bila waktunya. Maka sebaiknya beramallah dalam sebulan penuh Ramadhan. Jadilah pemburu ibadat yang berterusan, nukan hanya pemburu lailatul qadar.

Allah adakan wali-Nya di antara manusia tetapi tidak dinyatakan secara jelas siapakah mereka,apa sifatnya.Dengan itu jangan menghina sesama manusia kerana mungkin mereka wali Allah, bahkan disuruh kita mendapatkan doa dari manusia lain, moga antara mereka adalah wali Allah yg mustajab doanya.

Ini antara faktor sebagai contoh mengapa solat jenazah perlu diramaikan, moga ada antara jemaah yang mustajab doanya. Ini juga kelebihan untuk orang mati disolat di Masjidil Haram. Di kalangan mereka ada wali Allah, yang menyebut  'allahhummaghfir lahu,warhamhu....' ya Allah ampuni dosanya.....

Allah sembunyikan masa kematian seseorang supaya mereka sentiasa bersedia, beringat bahawa kematian boleh berlaku bila-bilamasa. Beramal tanpa menunggu tarikh mati.

Solat Wustha adalah solat paling istimewa. Ia disembunyikan dalam sekalian solat, agar setiap orang memperhatikan solat sesempurna mungkin dengan harapan menepati pada solat wustha. Bersolatlah lima waktu penuh dengan penuh khusyuk. Pastilah kita temui solat wustha itu.
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاةِ الْوُسْطَى…………………….. (٢٣٨)
“Peliharalah semua solat(mu), dan peliharalah solat wustha. Berdirilah kerana Allah (dalam solatmu) dengan khusyu’. (QS. Al Baqarah : 238)

[ Abdul Ghani Haron ]

No comments:

Post a Comment