Monday, August 15, 2016

Setiap Ciptaan Ada Kurniaan-Nya



Allah Maha Adil. Setiap hamba yang diciptakan ke dunia dikurniakan-Nya kemahiran untuk diguna dalam menjalani kehidupan. Segala ilmu yang diperolehi dalam universiti kehidupan mengembangkan lagi potensi bakat dan kemahiran yang dikurniakan. Hanya kita sendiri yang tidak menyedarinya.

Umumnya pada zaman kanak-kanak, kita menyimpan cita-cita untuk menjadi seperti orang yang kita lihat di sekeliling kita. Tidak terperasan pula bahawa rezeki dan masa depan kita telah ditetapkan oleh Allah.

Dalam fasa-fasa tertentu dalam kehidupan ini, rezeki kita terarah ke bidang lain. Graduan perubatan belum tentu menjadi doktor sepanjang hayat. Terkadang bidangnya terjurus sebagai jurulatih dan pakar motivasi. Di segi zahir nampak berbeza tetapi hakikatnya ia tetap berkaitan. Graduan perubatan mempunyai kemahiran dalam hubungan sesama insan dan sifat keprihatinan yang tinggi yang ditimba semasa pengajian.

Kita merancang, Allah juga merancang, dan Allah sebaik-baik perancang. Tidak semestinya apa yang kita suka itu baik untuk kita, dan tidak semestinya yang buruk itu merupakan bencana bagi kita.

Jika tidak pasti apa kemahiran yang Allah kurniakan pada kita, buatlah solat hajat dan pohon supaya diberikan pengetahuan mengenainya. Jika kerja kita sekarang berjalan lancar, dan jika timbul sebarang kesulitan mudah pula kita selesaikan, biarpun di mata orang lain ia sesuatu yang sukar, mungkin itu kemahiran sebenar kita. Apabila sesuatu kerja yang
memang kita minati tetapi tidak berjalan lancar dan hasilnya bukan seperti yang diharapkan, itu petanda ia bukan kemahiran sebenar kita.

Tukang masak yang handal belum mampu melariskan hasil masakannya. Kecualilah jika dia sanggup berubah dengan mendalami ilmu perniagaan yang merangkumi pemasaran, hubungan yang mesra pelanggan dan ilmu-ilmu lain yang berkaitan dengannya.

Usah takut dengan perubahan. Buangkan rasa ego yang menyempitkan pandangan. Jangan cuba menjadi orang lain. Jadilah diri sendiri. Nescaya rezeki mudah didapati di mana-mana di dunia ini.

Allah mengurniakan kita fitrah-Nya, sebagaimana Dia memberi fitrah kepada ulat dalam batu yang mampu mencari rezeki sendiri. Gali potensi diri dalam mencari rezeki yang bakal mengubah kehidupan supaya menjadi lebih baik dan diredhai-Nya.

No comments:

Post a Comment