Wednesday, August 10, 2016

Pegang Al Quran Dalam Solat


SOALAN:

BOLEHKAH SESEORANG ITU MEMEGANG ATAU MEMBACA AL-QURAN KETIKA SOLAT?

JAWAPAN:

Ibnu Qudamah menulis dalam al-Mughni dari ‘Ataa dan Yahya al-Ansori (ulama salaf) bahawa fuqaha mazhab Syafie dan fatwa dalam Mazhab Hanbali berpendapat harus membaca Al-Quran dengan mushaf ketika solat bagi imam dan solat bersendirian, tidak berbeza sama ada solat fardu atau sunat, orang yang menghafaz atau tidak menghafaz.

Di dalam Sahih Bukhari ada dinyatakan secara mualla’aq (tanpa menyebutkan semua sanad atau salah satu daripadanya dan penyebutan dengan kalimah yang pasif) dan disambungkan sanadnya oleh Ibnu Abi Syaibah dalam Musannaf dan al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra bahawa Aisyah pernah diimami solatnya oleh seorang maula (budak lelaki yang telah dimerdekakan) miliknya yang bernama Zakwan. Ketika mengimamkan itu Zakwan telah membaca daripada mushaf.

Pendapat mazhab ini disampaikan oleh Imam Nawawi dalam al-Majmu’Jil 4, 27, yang berkata: Seandainya dia membaca Al-Quran daripada mushaf tidak batal solatnya, baik dia hafaz atau tidak. Malah wajib baginya melakukan itu (membaca daripada mushaf) sekiranya dia tidak menghafal al-Fatihah.

Seandainya dia membalik-balikkan lembarannya (Al-Quran) dalam solat, tidak batal solatnya. Terdapat juga sebahagian ulama yang melarang atas sebab melakukan pergerakan yang banyak. Sebahagian mazhab lain turut mempunyai pendapat khusus seperti makruh pada solat fardu dan sunat serta makruh atas sebab mengikut ahli Kitab. Namun perkara ini sudah dijelaskan para ulama dan fuqaha.

Bagi Muslim, berlapang dada dalam masalah khilaf seperti ini adalah jalan yang terbaik dan dalam masa yang sama memberi perhatian di dalam solat agar tidak melakukan pergerakan yang tidak perlu.

Kesimpulannya, membaca Al-Quran dengan mushaf ketika solat adalah dibenarkan sama ada pada seorang imam, makmum atau sendirian dan tidak berdosa padanya (membaca Al-Quran ketika solat) bahkan ia tidaklah membatalkan solat.

(Majalah I Disember 2013)

No comments:

Post a Comment