Wednesday, August 10, 2016

Laut Terbelah Di Korea Selatan


Fenomena laut terbelah telah berlaku di Pulau Jindo, wilayah Jeollanam-do di kawasan barat daya Korea Selatan. Pulau ketiga terbesar di negara itu terletak berhampiran Pulau Jejudo dan Geojodo. Dalam tempoh sejam, dapat disaksikan kekuasaan Ilahi apabila lautan yang sebelum ini dipenuhi air dan secara tiba-tiba terbelah dan membentuk laluan sementara sepanjang 2.8 kilometer dan selebar 40 hingga 60 meter.

Fenomena ini berlaku apabila arus surut bertembung secara serentak menyebabkan paras air surut sebanyak enam hingga tujuh meter lantas menghasilkan laluan bagi menghubungkan dua daratan yang sebelum ini ditenggelami air. Ia lazim berlaku pada jam 5 atau 6 petang dan disambut menerusi pesta besar-besaran yang dikenali sebagai ‘Jindo Yeongdeung Festival’ atau Pesta Laut Terbelah Jindo. Pesta selalunya diadakan tiga kali setahun iaitu pada Mac atau Mei serta Julai dan mendapat sambutan luar biasa pelancong tempatan dan asing sehingga mencecah 400,000 orang. Ini menyebabkan pihak berkuasa memutuskan untuk turut meraikan pesta berkenaan pada April juga.

Acara itu membolehkan pelancong menikmati pelbagai pengalaman di laut dan menyaksikan pemandangan unik serta budaya Jindo seperti persembahan lagu rakyat Jindo dan tarian khas Korea, Ganggangsullae serta pertunjukan bunga api, pertunjukan laser, persembahan muzik tradisional serta permainan dram.

Sebaik sahaja lautan terbelah, orang ramai berpusu-pusu melintasi laluan itu dan meraikan rakan dari arah bertentangan berikutan penyatuan daratan kepulauan Jindo dan Modo. Tidak kurang pula yang mengambil kesempatan mencari tiram, rumpai dan hasil lautan lain. Inilah keajaiban yang tidak mungkin disaksikan di tempat lain. Dalam sekelip mata, laut terbelah dan mendedahkan dasarnya. Tiada perkataan dapat menggambarkan ketakjuban melihat hidupan laut seperti kerang, kepah dan hidupan marin yang sebelum ini hidup di dasarnya, tiba-tiba timbul.

Hakikatnya, tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan fenomena itu sehinggalah pada 1975, apabila seorang duta Perancis ketika itu, Pierre Randi, melawat Korea Selatan dan menulis mengenainya dalam sebuah akhbar negaranya.

Namun, seperti juga banyak kejadian aneh lain, ada kepercayaan rakyat tempatan di sebalik fenomena itu. Ia dikaitkan dengan sebuah kampung di Jindo yang diserang harimau yang menyebabkan penduduknya lari ke pulau Modo untuk berlindung. Malangnya, seorang wanita tua, Pong, yang tidak berdaya tertinggal. Dia memohon bantuan Dewa Laut, yang kemudian memisahkan laut dan membantunya lari daripada haiwan liar berkenaan. Apabila laut itu terbelah, ramai penduduk yang berlari ke Modo, memainkan gong dalam usaha mereka mencari wanita berkenaan. Dia, bagaimanapun meninggal dunia tetapi sebelum mati, wanita berkenaan sempat membisikkan: “Doaku dimakbulkan. Laluan laut terbuka dan aku dapat melihat kamu semua. Kini, harapanku sudah terlaksana. Aku boleh meninggal dengan tenang.” Nama asal daerah itu, Hodong, kemudian ditukar kepada Hoedong, bermakna ‘Kampung Orang yang Kembali’, bagi mengingati kisah Pong.

[Sumber: Berita Harian]

No comments:

Post a Comment