Thursday, August 11, 2016

Laman Fantasi Jadi Realiti



RAMAI yang mengidamkan laman kediaman cantik seperti dalam kisah fantasi Alice In The Wonderland. Ia boleh dibuat tidak kira sama ada laman kediaman besar atau ruangnya sempit. Perkara yang perlu ialah hiasan dan aksesori landskap bersaiz mini. Berikut disenaraikan tip untuk membinanya.

REKABENTUK

Laman fantasi boleh diwujudkan dalam laman sedia ada di kediaman dan reka bentuk laman bergantung kepada pilihan sama ada dikhususkan di satu sudut tertentu atau dipecahkan kepada beberapa bahagian. Misalnya, pokok menjalar ditanam di bawah kanopi pokok besar bagi menyerlahkan tumbuhan berkenaan atau seluruh ruang dalam taman dimanfaatkan sepenuhnya dengan ditanam pokok menjalar serta berbunga warna lembut seperti putih, merah jambu dan kuning cair. Namun, pokok berbunga berwarna warni juga sesuai seperti petunia, bunga tahi ayam dan viola tricolor.

PEMILIHAN POKOK DAN BUNGA


Sebaik-baiknya gunakan pokok bunga saka seperti bunga labah-labah atau bakung. Boleh juga tanam pokok renek yang kerdil seperti bunga Ros Jepun. Atau, pokok bunga dengan bunga terang dan berwarna-warni seperti primrose, pansy, petunia, snapdragon dan daisi ‘Gerber’. Gunakan bunga matahari untuk menambah warna dan fantasi. Rumput kerdil seperti butterfly bush dan azaleas sesuai untuk membentuk rimbunan pokok saiz sederhana. Paku pakis pula boleh digunakan sebagai tanaman pemisah sempadan selain ciri pokok berkenaan yang nampak penuh misteri yang banyak di gunakan dalam cerita dongeng. Tanam juga pokok yang mampu menarik rama-rama dan burung singgah ke laman kerana ia menyerlahkan lagi ciri fantasi seperti mawar dan melur.


HIASAN LANSKAP

Patung kecil akan memberikan petunjuk visual untuk menyerlahkan ciri laman fantasi. Pilih patung pari-pari, rama-rama, kumbang kura-kura (ladybird), burung, arnab, penyu, serangga seperti semut dan labah-labah juga makhluk hutan lain untuk memberikan kesan ‘hutan ajaib’ pada laman. Di pasaran ada dijual pelbagai replika serangga dalam saiz yang sebenar sebagai hiasan pada daun dan pokok dalam laman. Jika berkemampuan untuk menyerlahkan laman pada waktu malam, letakkan lampu dekoratif kuasa solar dalam pelbagai bentuk serangga yang akan menyala dan berkelip apabila hari gelap.

UNSUR AIR

Meletakkan unsur air dalam laman lebih mudah untuk menjelmakan laman fantasi. Jika tidak mampu membina kolam atau pancuran air di laman, boleh gantikan dengan replika pancuran atau air terjun mini atau besen tempat burung mandi (birdbath) yang boleh dibeli di kedai perhiasan landskap. Bunyi deruan serta jatuhan air membangkitkan aura sejuk dalam laman dan mewujudkan suasana tenang yang sukar digambarkan serta menggabungkan suasana mistik yang biasa ada dalam taman fantasi. Gabungkan batu kerikil kecil dan batu sungai dengan air akan memberikan suasana fantasi yang sukar digambarkan.

PONDOK MINI

Letakkan pondok mini sebagai tempat permainan kanak-kanak untuk memikat tetamu kecil yang berkunjung ke rumah. Warnakan pondok itu dengan cat menyerlah atau berwarna warni seperti yang ditonjolkan dalam cerita Gretel dan Hansel atau Alice In The Wonderland. Alternatif lain, letakkan replika atau arca mini dari bahan seramik seperti cendawan dan baldi kayu. Akhir sekali letakkan pagar kecil mini yang dicat putih bagi memberi warna kepada laman.

[Rohaniza Idris/Berita Harian]





No comments:

Post a Comment