Saturday, July 26, 2014

Tawaran Ringgit Untuk Murtad

SEREMBAN – Terdapat sekumpulan individu didakwa beroperasi di sekitar bandar ini, cuba memujuk umat Islam bertukar agama kepada Kristian. Mereka (umat Islam) bukan sahaja ditawarkan wang ribuan ringgit, malah orang Islam yang sudi menukar agama akan diberi elaun hidup, selain menjanjikan syurga buat mereka di akhirat kelak. Kejadian ini didedahkan sekumpulan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) yang semalam tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban 2, bagi mendesak supaya tindakan segara diambil. Menurut Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Al-Ehsan Islamiah, Mohd Rasul Badar, yang mewakili kira-kira enam NGO Islam yang lain, desakan dibuat supaya pihak berwajib bertindak segera dalam mengawal keadaan ini dari terus berlarutan. Sementara itu, salah seorang mangsa, Mohd Akbar Abu Bakar, 45, menceritakan dia dan keluarganya dipujuk jirannya sendiri untuk meninggalkan Islam, dan mengikutnya menganuti Kristian. Katanya, lelaki berkenaan yang berumur dalam lingkungan 55 tahun, cuba menawarkan sejumlah duit dan elaun jika mereka bersetuju menganuti Kristian. “Katanya saya tak perlu tukar nama, dan boleh meneruskan amalan Islam seperti biasa, namun dengan syarat hati perlu sentiasa ingat kepada Jesus dan perlu tandatangani borang khas yang mengiktiraf seseorang itu telah keluar Islam dan menganuti Kristian,” katanya yang tinggal di Taman Sri Carcosa. Disebabkan kejadian itu, Akbar kemudiannya membuat laporan polis supaya tindakan undang-undang diambil terhadap individu tersebut. Turut serta dalam piket aman itu adalah Majlis Ayahanda Malaysia Negeri Sembilan, Wira Perkasa negeri dan Pertubuhan Kebajikan Perpaduan Umah Malaysia. [Sinar harian]

No comments:

Post a Comment