Friday, April 12, 2013

Kayu Hanyut


serenemaklong.blogspot.com

 


KAYU sering menjadi pilihan untuk hiasan laman kerana unik dan mempunyai nilai estetika. Namun, jarang sekali kayu terbuang seperti kayu hanyut  dijadikan penghias laman.

Kayu hanyut terhasil apabila kayu teras sudah melalui proses hakisan air. Ia juga boleh terhasil  kerana dimakan anai-anai.

Di kampung, mungkin ada banyak batang kayu atau perdu pokok yang reput, dimakan anai-anai dan sebagainya. Namun, bahagian teras atau bahagian tengah batang mungkin masih kekal kuat tidak reput atau tidak termakan anai-anai.

Ini termasuk batang kayu atau perdu pokok yang ditemui di tepi pantai, dalam sungai atau dalam paya yang secara semula jadinya terhakis melalui proses pereputan dan aliran air yang lazimnya mengambil masa agak lama. Selepas semua bahagian kayu yang lembut itu terhakis, tinggallah bahagian teras kayu yang keras itu. 



Kadangkala bentuk kayu teras itu agak unik dan menarik serta sesuai dijadikan hiasan laman. Apabila terjumpa kayu berciri begini, lakukan langkah berikut:

1. Korek kayu berkenaan dari dalam tanah atau tarik keluar dari dalam paya, sungai dan sebagainya.

2. Basuh dan bersihkan dari segala kekotoran dengan menggunakan berus. Gunakan berus lukisan yang kecil untuk membersihkan kotoran di bahagian yang sempit pada bahagian kayu berkenaan. Cara lain untuk membersihkannya ialah dengan meletakkannya di bawah titisan air hujan supaya ia bersih dengan sendirinya termasuk bahagian yang sukar ditembusi berus.

3. Selepas bersih, jemur kayu terbabit hingga kering supaya tidak berkulat untuk digunakan kemudian.

Selepas proses berkenaan, kayu hanyut boleh digunakan sama ada menjadi arca laman atau dijadikan bekas tanaman untuk tumbuhan bagi laman.

Jika sukar mendapatkan kayu hanyut daripada kawasan kampung, kayu hanyut boleh juga dibeli di kedai menjual ikan hiasan, pusat tanaman dan nurseri pokok.



Pokok yang sesuai untuk dipamerkan menggunakan kayu hanyut sebagai bekas tanaman adalah jenis pokok paku, contohnya, pokok paku sarang burung atau paku pandan, atau pokok Bromiliad dan pokok orkid. Di antara pokok bromiliad yang sesuai ialah  Cryptanthus dan Tillandsia. Manakala pokok orkid pula ialah Cymbidium, Dendrobium, Oncidium dan Phalaenopsis.



Kaedah penanaman:

Untuk menanam atau mempamerkan pokok-pokok orkid mahupun Bromiliad di atas batang kayu hanyut, ikuti kaedah berikut:

Pokok Bromiliad:

Balut bebola akar pokok Cryptanthus bersama sedikit medium tanaman dengan lumut ‘sphagnum moss’ lembap yang bertindak sebagai medium untuk membentuk sistem akarnya supaya pokok tumbuh subur.

Kemudian tanam pokok itu dengan memasukkan bebola bahagian akarnya ke dalam lubang pada kayu berkenaan. Jika tidak ada lubang pada kayu, ikat bahagian akarnya bersama dengan lumut tadi pada kayu.
Pokok Tillandsia:
Ikat atau lekatkan saja pada kayu hanyut kerana ia tidak memerlukan medium tanaman untuk hidup subur

Pokok paku dan orkid:

Letakkan sabut di bahagian akar pokok paku atau pokok orkid.
Kemudian ikatkan bahagian akar itu pada kayu hanyut dengan menggunakan tali.

Tip: Kayu hanyut

Lakukan semburan pada akar dan keseluruhan pokoknya setiap hari sekurang-kurangnya sekali sehari supaya ia sentiasa lembap.

Untuk membaja, gunakan baja jenis cecair atau baja yang senang dilarutkan terus ke dalam air semburan untuk disembur sekurang-sekurangnya sebulan sekali.

Cuci daun pokok dengan kain lembap bagi membersihkan habuk dan debu kotoran yang terlekat padanya. Berhati-hati ketika melakukannya kerana daunnya mudah terkoyak atau rosak.

Kadangkala kayu hanyut ini juga cantik dipamerkan begitu saja dalam taman. Walaupun kaedah pameran menggunakan kayu hanyut ini mudah dan ringkas tetapi ia tetap cantik dan menarik serta sesuai dipamerkan dalam taman yang bertemakan tropika, nusantara dan sebagainya.

(Sumber: Abu Bakr Siddiq / Berita Minggu)

No comments:

Post a Comment