Wednesday, October 26, 2016

Tepat Wawasan Lurus Tindakan


Seorang raja telah digulingkan dan kemudian diracun oleh konspirasi menteri-menteri kanannya. Anaknya yang masih remaja tidak dibunuh kerana kumpulan menteri itu takut rakyat bangkit memberontak.

Para menteri berpakat hendak menggagalkan peluang tuan putera menaiki takhta menggantikan ayahnya dengan berusaha untuk merosakkan penampilan diri dan keperibadiannya.

Baginda ditempatkan di sebuah rumah mewah di pinggir kota buat suatu tempoh tertentu kononnya untuk mempersiapkan baginda sebelum menaiki takhta.

Setiap hari baginda dihidangkan dengan arak dan pelbagai makanan lazat, dihiburkan dengan persembahan muzik dan tarian menggiurkan dari sekumpulan wanita yang cantik menggoda.

Selepas tempoh itu para menteri pergi melawat baginda. Apa yang mereka lihat sungguh mengejutkan. Lantas mereka mengajukan berbagai soalan.

"Tuanku Putera tak makankah makanan lazat yang kami beri?"

"Saya makan tapi hanya sekadar saja."

"Tuanku Putera tak sukakah dengan hiburan menggoda dari wanita-wanita cantik itu?"

"Saya menahan diri dari perkara-perkara yang melalaikan."

" Kenapa terlalu berhati-hati?"

"Saya tidak boleh merosakkan diri sendiri kerana saya bakal menjadi raja! Seorang raja mestilah SIHAT, KUAT IMAN DAN BERAKHLAK BAIK untuk menjaga kebajikan rakyat jelata. SAYA DILAHIRKAN UNTUK MENJADI SEORANG RAJA!"

Pengajaran:

Wawasan yang tepat dan jelas di dalam jiwa mampu mendorong tindakan yang selari dengan kehendak diri. Fokus tidak akan tergugat oleh sebarang elemen negatif.

(Angguk Geleng)

No comments:

Post a Comment