Thursday, October 20, 2016

Margin Kecil Untung Besar


Margin yang semakin kecil, tetapi ia mampu menghasilkan keuntungan yang semakin besar. Bagaimanakah fenomena ini berlaku?

Apabila kita menjalankan bisnes kecil, margin kita memang boleh jadi sangat besar.

Contoh: Kita anak-beranak boleh membuka warung di bawah pokok dan menjual sepinggan mee goreng pada harga RM3.50 dengan marginnya RM2.20. Margin mee goreng itu sangat besar disebabkan kita tidak menanggung banyak kos. Semua kerja kita buat sendiri anak-beranak.

Antara kos-kos yang tidak ditanggung:

+ Sewa premis
+ Yuran setiausaha syarikat, perakaunan, pengauditan
+ Gaji dan elaun kita sendiri
+ EPF, SOCSO, Insurans
+ Gaji staf pengurusan
+ Lain-lain kos

Dengan bekerja anak-beranak sahaja, berapa banyak mee goreng dapat kita jual? Mungkinkah kita menjadi jutawan dengan berniaga cara macam itu? Sudah pasti, tidak.

Apabila kita membesarkan operasi syarikat, jumlah pekerja naik, automatis semua kos-kos itu perlu ditanggung.Kos naik, menyebabkan margin semakin kecil, tetapi volume jualan juga semakin naik, menghasilkan keuntungan semakin naik. Meskipun margin tinggal 10%, namun jualan tahunan dapat dinaikkan sampai beratus-ratus juta. Inilah yang berlaku pada syarikat-syarikat gergasi.

Ingat ini!

+ Margin besar adalah permainan peniaga kecil. Marginnya besar namun menghasilkan keuntungan tahunan yang kecil.

+ Volume besar adalah permainan syarikat besar. Marginnya kecil namun menghasilkan keuntungan tahunan yang besar.

[Ainon Mohammed]

No comments:

Post a Comment