Thursday, March 10, 2016

Pembersihan Hati


Setiap kali insan hendak bermujahadah di jalan Allah, syaitan sering menimbulkan rasa bimbang dan takut dalam hatinya dengan kemiskinan, kesakitan, kehilangan jawatan dan kedudukan, kesusahan, kerugian dan terus menerus menggoda manusia dengan keindahan maksiat.

Untuk mengalahkan bisikan syaitan, pembersihan hati hendaklah dilakukan. Analogi pembersihan ini umpama petani yang membersihkan tanah bersemak samun, ditumbuhi lalang dan belukar. Setelah tanah itu bersih, benih yang baik pula disemai, dijaga dan dibaja secukupnya. Semua usaha ini akan membuahkan hasil yang lumayan.

Pembersihan hati akan menumbuhkan POHON IBADAH yang saling berkaitan iaitu:
TAUHID (biji benih)
FIQAH (pohon)
TASAWUF (buah ibadah iaitu akhlak)

Bersihkan hati melalui proses-proses berikut:
TAKHALLI iaitu mengosongkan dan membuang semua sifat-sifat negatif (mazmumah) seperti tamak haloba, dengki khianat, umpat dan fitnah, ujub, sombong dan bongkak dan seumpamanya.
TAHALLI ialah proses memupuk nilai-nilai positif (mahmudah) seperti jujur, tulus ikhlas, penyayang, pemaaf, sabar, tawakal, tawaduk dan seumpamanya.
TAJALLI ialah proses memetik hasilnya iaitu kebolehan melihat kekuasaan dan keagungan Allah.

Selepas proses Tajalli, insan mencapai tahap AIN AL-YAQIN iaitu kemampuan “melihat” Allah atau sekurang-kurangnya “dilihat” Allah dengan mata hati bahawa Dia Maha Sempurna, bukan lagi dengan ILM AL-YAQIN iaitu yakin dengan akal. Dari sini terlahirlah akhlak baik yang muncul secara spontan tanpa melibatkan banyak pemikiran.

MUJAHADAH- “Perang Dalam Diri” melawan syaitan dan hawa nafsu ketika dalam proses Takhalli, Tahalli dan Tajalli. Seringlah mohon perlindungan Allah dari tipuan syaitan. Jangan manjakan diri dengan hidup senang-lenang, usah takut disakiti, jauhi sifat suka mengeluh dan mengaduh. Memang di dunia ini, para mujahid dan mujahidah membayar dengan kepahitan demi mendapatkan kemanisan akhirat. Oleh itu, pilihlah - bayar dahulu dengan bersusah payah atau bayar kemudian dengan azab neraka.


No comments:

Post a Comment