Tuesday, March 15, 2016

Masjid Jana Pendapatan Sendiri


Di mana-mana masjid pun, pengisian agama adalah sama namun Masjid At Taqwa Taman Bertam Indah, Kepala Batas menepati definisi masjid yang sepatutnya. Selain pusat ibadat, masjid ini juga menjadi pusat masyarakat. Semua kemudahan untuk qariah dan komuniti setempat lengkap macam satu perbandaran sendiri walau dalam satu perkarangan tidak sebesar mana.

Bila berada dalam kawasan masjid jiwa rasa tenang bila melihat cara masjid menyumbang kepada komuniti dan komuniti juga menyumbang kepada masjid. Ia istimewa kerana mampu menjana pendapatan sendiri. Di sini ada pusat dialisis, motel, dan koperasi yang membantu usahawan tempatan.Semuanya dilakukan dengan dana sumbangan qariah semata-mata. Bayangkan pendapatan kedai runcit sahaja melebihi RM2,000 sehari. Dengan aktiviti kehidupan yang ada, masjid ini dikunjungi ramai orang. Yang belum Islam turut mendapat manfaat. Punca ekonomi bermula di masjid ini.

Solat zohor pun lebih 3 saf yang panjang, jemaah yang muda, pertengahan usia dan mereka yang berusia senja, semuanya hadir. Pengurusan masjid memainkan peranan besar dengan menjadikan masjid sebagai pusat komuniti setempat yang berkesan. Kebanyakan ahli jawatankuasa masjid terdiri daripada golongan profesional yang ikhlas berbakti kepada agama. Masjid bukan lagi tempat ibadat semata-mata, dan bukan dikunci setiap kali selesai sembahyang fardhu.

[Sumber: FB Wan Kamaruddin Wan Ibrahim]

No comments:

Post a Comment