Saturday, April 5, 2014

Terkini Mengenai MH370

KUALA LUMPUR: Sebuah kapal peronda China, Haixun mengesan isyarat getaran dengan frekuensi 37.5 kHz di kawasan carian pesawat penerbangan MH370 di selatan Lautan Hindi, lapor agensi berita Xinhua. Sebuah syarikat pengeluar 'pinger' memberitahu CNN, frekuensi itu adalah isyarat yang standard daripada kotak hitam atau secara khusus perakam suara kokpit dan perakam data penerbangan. "Frekuensi itu sama," kata Anish Patel, presiden syarikat Dukane Seacom kepada CNN. Penemuan terbaru ini bagaimanapun belum disahkan oleh Pusat Penyelarasan Agensi Bersama di Perth yang menyelaraskan gerakan mencari pesawat Malaysia Airlines itu di selatan Lautan Hindi. Pakar bagaimanapun mengingatkan isyarat itu mungkin boleh jadi datang daripada benda lain selain daripada pesawat. Menurut laporan AFP, carian kapal Cina Haixun 01 mengesan denyutan berkenaan kira-kira 25 darjah latitud selatan dan 101 darjah longitud timur.
"Denyutan yang dikesan oleh Haixun 01 masih belum dikenal pasti lagi," kata Pusat Maritim Mencari dan Menyelamat China dalam akaun microblog mereka. Menteri Pertahanan Australia David Johnston berkata beliau tidak menerima laporan mengenai isyarat berkenaan dan memberi amaran ia mungkin bukan dari pesawat MH370. "Ini bukan kali pertama kita mempunyai sesuatu yang kemudian menjadi sesuatu yang mengecewakan," katanya kepada televisyen ABC. "Saya hanya akan menunggu (Ketua Pusat Penyelarasan Agensi Bersama) Angus (Houston) dan pasukan beliau dan pasukan saya untuk tampil ke hadapan dengan sesuatu yang positif kerana ini adalah tugas yang sangat sukar." Dalam perkembangan terbaru, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) Australia mengeluarkan kenyataan bahawa mereka tidak dapat mengesahkan jika isyarat berkenaan adalah dari pesawat MH370. "Kami tidak dapat mengesahkan maklumat itu buat masa ini," kata kenyataan itu. Perkembangan ini menyusul selepas 29 hari pesawat Boeing 777-200 itu hilang semasa dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac lepas. Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein beberapa jam sebelum laporan Xinhua itu terbit mengumumkan pembentukan tiga jawatankuasa kabinet untuk menangani isu kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia itu.
MH370: PENUMPANG DAN ANAK KAPAL TETAP DALAM SIASATAN KUALA LUMPUR: Siasatan ke atas semua penumpang dan anak kapal pesawat penerbangan MH370 masih diteruskan dan belum ada mana-mana di kalangan mereka yang telah dibersihkan daripada siasatan, kata Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Katanya, siasatan yang menyentuh kemungkinan rampasan, keganasan, latar belakang psikologi dan peribadi melibatkan semua mereka yang berada dalam pesawat itu masih berjalan. “Saya tidak rasa sesiapa (penumpang dan anak kapal) telah dilepaskan dari sebarang siasatan. Senarai penumpang yang termasuk anak kapal, masih disiasat di bawah empat perkara pokok iaitu kemungkinan rampasan, keganasan, latar belakang psikologi dan peribadi yang diingatkan berkali-kali oleh Ketua Polis Negara,” katanya semasa satu sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang tadi. Hishammuddin berkata demikian semasa menjawab soalan sama ada kesemua penumpang di dalam pesawat MH370 telah didapati “bersih” dari sebarang perkara yang mencurigakan. Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tiga hari lalu mengumumkan kesemua 227 penumpang telah "dibersihkan" daripada empat elemen siasatan itu. Pesawat MH370 terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Udara Subang, jam 2.40 pagi pada 8 Mac lalu. Sejumlah 239 penumpang dari pelbagai negara termasuk anak kapal berada di dalam penerbangan tersebut. Pencarian pelbagai negara kini tertumpu di selatan Lautan Hindi, ke barat Perth, Australia. [ASTROWANI]

No comments:

Post a Comment