Sunday, April 20, 2014

Apa Hukum Pemikiran Liberal?

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa telah membincangkan Pemikiran Liberal: Hukum dan Implikasinya Kepada Islam Di Malaysia. Muzakarah telah memutuskan bahawa gerakan Pemikiran Liberal mengandungi fahaman yang didapati menyeleweng daripada aspek akidah dan syariah seperti berikut:
ASPEK AKIDAH: 1. Berpegang kepada konsep pluralisme yang mana ia adalah pegangan utama dalam aliran pemikiral liberal. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyuai konsep, persepsi dan respons yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung. 2. Akal manusia adalah wahyu. Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semta-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman. 3. Meragui ketulenan al-Quran. Aliran pemikiran ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri daripada orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah ‘mesej’ budaya Arab.
ASPEK SYARIAH: 1. Mempersoalkan metodologi pentafsiran al-Quran dan al-Hadis. Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau metodologi pentafsiran al-Quran yang diguna pakai kini. Dengan slogan’membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran’, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan ahlu sunnah waljamaah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk menusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna. 2. Menggesa tafsiran baru konsep ibadat. Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan’ tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tasfsiran-tafsiran baru dibuat. 3. Mempertikaikan kriteria dan akhlak kenabian. Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat nubuwwah yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru, sesiapa pun boleh mempunyia sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Israk dan Mikraj dianggap bahan cerita yang senagaja diperbesarkan (exaggeration) oleh pengikut Baginda yang taksub, sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti. 4. Sikap terhadap ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al-Hadith, al-Jarah wa l-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara ijmak diterima sebagai metode dalam disiplin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’i dan hukum yang tidak qat’i menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam. 5. Sikap terhadap hukum. Aliran pemikiran ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum fikah iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.
BERDASARKAN KEPADA CIRI-CIRI PENYELEWENGAN TERSEBUT, MUZAKARAH MEMUTUSKAN BAHAWA ALIRAN PEMIKIRAN LIBEAL ADALAH AJARAN SESAT DAN MENYELEWENG DARIPADA SYARIAT ISLAM. (Fatwa ini telah diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia Kali ke-74 yang bersidang pada 25-27 Julai 2006).

No comments:

Post a Comment