Wednesday, July 10, 2013

Sesat Di Malaysia - Syiah

serenemaklong.blogspot.com
  




PADA 24-25 September 1984, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan telah memperakukan bahawa “Ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah wal-Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam dan dengan demikian penyebaran apa-apa ajaran lain daripada pegangan Ahli wal-Jamaah adalah dilarang.”

Namun realitinya hari ini Ahli Sunnah di Malaysia berhadapan dengan beberapa cabaran fahaman, aliran dan puak yang bertentangan dengan pegangannya. Semua ini mampu memecahbelahkan dan melemahkan umat Islam. Antara cabaran tersebut ialah Syiah.

Ad-Daruqutni meriwayatkan daripada Sayidina Ali daripada Rasulullah s.a.w: “Akan datang selepasku satu kaum, bagi mereka gelaran yang dipanggil ar-Rafidhah.” Tanya Sayidina Ali, “Ya Rasulullah! Apakah tanda pada mereka?” Jawab Rasulullah s.a.w., “Mereka memuji kamu dengan apa yang tidak ada pada kamu dan mereka mencerca golongan Salaf (seperti Sahabat Rasulullah s.a.w.).”

Berkata Harmalah, “Aku dengar Imam Shafi’i berkata, ‘Aku tidak pernah melihat orang yang paling banyak bersaksi dusta selain daripada golongan ar-Rafidhah’.”

Sejak Syiah berjaya menubuhkan negara di Iran, rakyatnya mengeksport fahaman mereka ke negara-negara yang majoriti penduduknya terdiri daripada Ahli Sunnah.

Penularan ajaran Syiah di Malaysia bermula di kalangan tenaga pengajar dan pelajar IPT menerusi kelas pengajian Syiah yang diadakan secara mingguan oleh mentor yang merupakan pelajar dari Iran. 

Berdasarkan Memorandum Majlis Syiah Malaysia 2011 kepada kerajaan Malaysia, pertubuhan itu mendakwa mempunyai 200 ribu hingga 300 ribu pengikut Syiah di seluruh negara. Kalau benarlah dakwaan itu bererti ia suatu angka yang besar.

Memorandum itu sebagai reaksi terhadap tindakan JabatanAgama Islam Selangor (JAIS) menyerbu dan menahan lebih kurang 200 pengikut Syiah yang sedang berkabung mengingati kesyahidan cucunda Rasulullah saw iaitu Imam Hussein bin Ali a.s di salah sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak yang dikenali sebagai “Hauzah Ar-Ridha’.

Pengikut Syiah menganggap Ahli Sunnah adalah kafir (naudzubillah), najis, lebih buruk dari Yahudi dan Nasrani, halal dibunuh dan harta mereka dirampas. Bagi ulama Syiah, Yusuf al-Bahrani, hanya orang Islam yang beriman dengan Imam-Imam Dua Belas itu sahaja yang mukmin.

Antara yang sering menjadi fokus utama dalam ajaran Syiah ialah nikah mutaah, perebutan jenazah, menghina Abu Bakar, Umar, Uthman dan perayaan Hari Karbala.

Syiah Melayu malah mahukan Hari Karbala diadakan di Malaysia sebagai perayaan umum sebagaimana diadakan di Iran saban tahun.  Antara pengisian majlis Hari Karbala ialah ritual bergendang dan nyanyian yang menyeru: “Ya Ali! Ya Hussein!” sambil para pengikut memukul dada, meraung dan meratap. Pelakunya pula terdiri daripada gadis dan kanak-kanak.

Nikah mutaah pula pada dasarnya adalah pelacuran yang mereka “halalkan”. Lelaki Syiah yang melakukan mutaah tidak perlu memberi nafkah zahir kepada “isterinya” seperti perbelanjaan. Nafkah batin pula hanya semata-mata untuk melampiaskan nafsu. Jika zuriat terhasil dari hubungan itu, si  lelaki tidak menganggap itu benihnya malah enggan di’bin’kan dengan namanya.     

Puak Syiah juga sanggup berebut jenazah orang yang mereka yakini adalah pengikutnya walaupun keluarga si mati mahu ia dikebumikan menurut Ahli Sunnah. Mereka bersedia mengorek kembali kubur  walaupun sedar perbuatan itu menyalahi undang-undang di Malaysia.
 
Dalam fahaman Syiah kedudukan kepala jenazah dihadapkan ke arah langit manakala mengikut panduan Ahli Sunnah kepala jenazah dimiringkan ke kanan mengadap kiblat.

Bagi pengikut Syiah, pengambilan wuduk tidak memerlukan  membasuh kaki. Solat pula sering ditinggalkan. Jika solat dilakukan pun sentiasa dijamak walaupun tidak diqasar. Yang peliknya mereka membaca doa qunut antara dua solat yang dijamakkan. Kiblat pula ikut suka hati ke mana sahaja hendak dihalakan dan mereka sujud di atas batu. Mereka juga yakin doa akan cepat dikabulkan jika dilakukan atas nama Sayidina Ali.
 
Dalam masjid Syiah, wajib ada sekurang-kurangnya sebuah kubur yang dibina indah dengan dinding dan bumbung. Pada dinding ada lubang tempat meneropong ke dalam di mana terdapat keranda kosong sebagai suatu simbolik kepada jenazah yang ditanam di dalam tanah.

Selain keranda kosong, diletakkan juga banyak anak patung, duit syiling, mangga kunci, lilin dan lain-lain barangan. Di sekeliling dinding yang memagari kubur terdapat besi terikat benang-benang.

Orang Syiah sangat memuliakan kubur imam mereka. Bermula dari pintu masuk masjid lagi, pengikut Syiah akan mencium dinding makam tanpa henti sambil mengikatkan benang pada besi itu dan memasang hajat masing-masing. Bila benang terurai, dianggap hajat tercapai.

Terlalu banyak perkara karut marut yang dilakukan oleh pengikut Syiah. Justeru fahaman ini tidak boleh dibiarkan berkembang di Malaysia kerana ia meninggalkan kesan syirik di kalangan umat Muhammad dan mengancam kestabilan negara menerusi pembunuhan beramai-ramai seperti yang berlaku di Syria.

Umat Islam yang cetek agama di negara ini mesti disedarkan bahawa pegangan kita adalah Ahli Sunah wal-Jamaah dan jangan terikut-ikut dengan ajaran Syiah.

Fenomena sekarang menepati yang disebut oleh Sayidina Ali: “Akan datang kepadamu selepasku satu masa dalam mana kebenaran menjadi begitu tersorok dan kebatilan sangat menonjol.”

(Sumber: Q & A, Mastika, Syed Azizi) 

No comments:

Post a Comment