Friday, May 11, 2012

Permata Bumi Kenyalang


serenemaklong.blogspot.com

  
GUBAHAN dan perhiasan manik memang salah satu kraftangan popular terutama dalam kalangan masyarakat pribumi di Sarawak.

Manik sebenarnya lebih tua usianya daripada tamadun manusia, paling awal diperbuat daripada kulit kerang, gigi, dan biji buah-buahan yang ditebuk lubang sebelum dicucuk tali. Mengikut kajian, manik di Sarawak dibawa masuk dari Mesir, Greece, India dan China beratus tahun dulu.




Menurut Sir Roland Bradell (1947) dalam kertas kerjanya berkaitan sejarah Malaysia, manik yang ditemui di Sarawak dibawa masuk oleh pedagang asing.

Pada 1930, seorang lagi pengkaji, HC Beck mendapati rantai leher dan karangan manik enam sejajar yang ditemui di Sarawak sama dengan rantai leher dan karangan manik ditemui di Greece serta Rom dan di negeri ini, manik jenis itu banyak digunakan kaum Kelabit dan Bidayuh.

Kajian sejarah juga menunjukkan manik dibuat sendiri oleh masyarakat pribumi Sarawak daripada bahan mentah yang diimport dari negara Asia Barat pada abad ke-12 yang terdiri daripada kaca lebur.

Manik mempunyai pelbagai bentuk dan warna dengan bahagian hujung selalunya berbentuk rata, manakala lubang pula diperbuat mengikut saiz benang yang hendak digunakan. Lazimnya, benang berkenaan diperbuat daripada serat gentian daun nanas atau serat gentian lain yang tahan.

Manik jenis itu selalunya berbentuk runcing di hujung dan kembung di bahagian tengah, namun ada juga berbentuk sekata dengan alur lekuk sejajar. Manik kaca jenis itu selalu digunakan sebagai rantai leher lelaki dan wanita.

Manik lebih kecil dan bernilai lebih tinggi biasanya dijadikan rantai tangan, rantai leher dan hiasan pakaian masyarakat pribumi. Wanita berkedudukan tinggi mempunyai pengetahuan tinggi dalam menilai manik yang bagaimanapun berbeza mengikut kaum tertentu.

Etnik Bidayuh misalnya sangat menghargai manik kaca berwarna kebiru-biruan dan manik batu biru kehijauan. Etnik Kelabit lebih menghargai manik kaca berwarna biru muda, manik batu atau permata merah serta manik tulang berwarna oren hingga coklat tua.

Bagaimanapun manik paling berharga ialah manik kaca bersaiz besar berwarna biru kehijauan, pucat dan biru gelap. Manik biru tua mempunyai ukuran kira-kira setengah inci panjang dan suku inci lebar.

Etnik Kayan dan Kenyah pula, lebih menggemari manik berhias dan berwarna-warni dikenali dengan nama 'lukut' dan selalu dijadikan rantai leher serta hantaran perkahwinan.

Etnik Melanau menggunakan manik kaca biru muda yang turut dijadikan hantaran perkahwinan dan barangan semasa upacara pengebumian.

Orang Ulu terkenal dengan karangan manik dikenali 'Bao dar' iaitu kombinasi manik bersaiz kecil yang selalunya digunakan menghiasi tabung tembakau, sarung parang, subang dan baju perang.

Pasaran manik di Sarawak amat luas dan begitu popular di kalangan pelancong asing yang menjadikannya buah tangan apabila berkunjung ke negeri ini.

(Sumber: Kandau Sidi/Berita Harian)

(Catatan buat Maria:
Terima kasih di atas tawaran ke Sukan Olimpik di London, namun keadaan tidak mengizinkan saya ke sana)

No comments:

Post a Comment