serenemaklong.blogspot.com
IBU bapa yang mempunyai anak-anak sedang membesar pasti berhadapan dengan pelbagai kerenah dan tingkah laku yang menyebabkan kadangkala ibu bapa hilang sabar. Antaranya ialah tabiat suka berbohong.
Mungkin ada yang menganggap ia hanya sebahagian daripada proses pembesaran anak-anak tetapi sikap ini sebenarnya harus dikikis sejak usia muda lagi. Ibu bapa perlu mengkaji mengapa anak bersikap demikian.
Bagi anak-anak yang berusia dua tahun mereka tidak dapat membezakan realiti dan fantasi, justeru mereka akan berbohong akibat kekeliruan. Pada tahap ini ibu bapa tidak perlu risau kerana itu adalah proses perkembangan mereka.
Bagaimanapun, ada juga yang sanggup berbohong semata-mata kerana mahukan perhatian. Dalam keadaan ini, anak-anak akan mereka-reka cerita demi mendapatkan perhatian daripada seseorang. Menghadapi situasi ini ibu bapa perlu meneliti kesahihan cerita dan jika mendapati anak berbohong pastikan mereka mengubah sikap.
Ibu bapa memang boleh menghukum mereka dengan tujuan mendidik, namun hukuman itu biarlah munasabah. Ada juga anak-anak berbohong semata-mata kerana takutkan hukuman atas perbuatan yang mungkin mencetuskan kemarahan ibu bapa.
Apabila kali pertama mereka mengaku perbuatan tersebut dan menerima hukuman, anak akan cuba berbohong bagi mengelak hukuman jika mengulangi kesalahan tersebut. Sikap ini akan membingungkan ibu bapa yang mungkin tidak dapat membezakan anak bercakap benar atau sebaliknya. Jika dibiarkan, anak akan terus berbohong sampai dewasa.
Menurut kajian, ibu bapa yang mendidik anak dengan konsep menerangkan mengapa berbohong itu tidak baik dan membimbing anak agar mengubah sikap, mendapati kekerapan berbohong berkurangan.
Ibu bapa harus menjadikan anak-anak seperti kawan yang boleh berkongsi apa sahaja cerita dan tempat meluahkan rasa tidak puas hati yang terpendam. Cara ini mungkin dapat mengurangkan sikap berbohong. Patut juga diketahui bahawa jika terlalu kerap menghukum pun lama-kelamaan anak-anak tidak akan takut lagi dan paling teruk akan terus mengulangi tabiat buruk itu.
Ibu bapa perlu menunjukkan teladan yang baik. Jangan sesekali berjanji tetapi tidak ditunaikan. Tekankan juga sikap jujur serta berterus terang,di samping menyemaikan perlahan-lahan ke dalam fikiran anak-anak betapa buruk dan bahayanya berbohong.
Ibu bapa harus bersikap terbuka terhadap anak-anak, jangan sampai mereka takut untuk bersuara. Jadilah pendengar yang baik. Andai tahu anak masih berbohong, jangan terus dimarahi, sebaliknya gunakan pendekatan psikologi supaya mereka tidak mengulangi perbuatan itu.
Apapun anak-anak patut diterapkan dengan didikan agama supaya tidak berbohong kerana ia perbuatan dosa yang dimurkai oleh Allah.
No comments:
Post a Comment