serenemaklong.blogspot.com
MENGHASILKAN sebuah laman kecil memerlukan perancangan dan usaha. Mula-mula buat lakaran berdasarkan reka bentuk dan saiz ruang.
Kemudian, kesan kehadiran sinaran matahari di ruang berkenaan. Jumlah cahaya matahari akan menentukan jenis tumbuh-tumbuhan yang sesuai. Adakah ruang berkenaan mempunyai matahari pagi, matahari petang, sepanjang hari atau kawasan redup? Tumbuhan untuk bahan makanan secara amnya memerlukan kira-kira enam jam cahaya matahari sehari. Manakala tanaman hiasan biasanya lebih toleransi kepada sinar matahari atau kurang memerlukan cahaya.
Pilih pokok yang sesuai dengan ruang dan ambil kira habitat semula jadi pokok berkenaan. Begitu juga tanah yang bakal digunakan. Jika mahu menanam di kawasan seperti balkoni, berat tumbuhan dan keperluan tanah atau bekas tanaman perlu diambil kira.
Seeloknya, gunakan bekas ringan diperbuat dari gentian kaca, plastik atau damar berbanding pasu tembikar atau seramik. Bekas tanaman pula perlu berlubang di bawahnya untuk sistem pengaliran dan sediakan piring untuk menadah air atau kotoran dari bekas tanaman. Paling penting bekas tanaman yang digunakan mampu mengekalkan kelembapan pada masa yang sama menawarkan saliran yang baik.
Bekas yang comel mahupun silinder yang mengikuti perimeter patio atau balkoni adalah alternatif yang baik berbanding bentuk bulat yang memakan ruang. Ubah ketinggian bekas untuk kepentingan visual, begitu juga bentuk tumbuhan. Buatkan teres atau gunakan rak bertingkat bagi membolehkan lebih banyak tumbuhan diletakkan. Seelok-eloknya susun tumbuhan ikut hierarki - tinggi di belakang dan rendah di depan.
Tidak semua tanah adalah sama. Tanah organik sesuai untuk kebanyakan tanaman bermusim atau bunga manakala tanah campuran untuk pokok renek dan kecil. Bagi laman produktif, cari salah satu daripada pelbagai jenis bekas tanaman atau taman kotak - campuran.
Untuk penanaman dalam bekas tanaman, letakkan satu lapisan batu kelikir di bahagian bawah bekas dan lindungi dengan kain penapis sebelum menambah tanah. Kain menyimpan tanah batu kelikir, membantu memastikan saliran yang sepatutnya.
Maksimum penggunaan ruang dan manfaat ruang dengan sebaiknya. Satu cara paling sesuai adalah gunakan ruang secara menegak berbanding melintang. Maksudnya gantung dan gunakan ruang dinding bagi menanam pokok. Konsep laman vertikal atau menegak cara paling maksimum penggunaan ruang terhad. Selain menjimatkan ruang, menanam di dinding atau cara gantung nampak lebih kreatif dan nampak lebih menarik. Pokok memanjat sesuai untuk tiang di balkoni. Boleh juga buat junjungan comel untuk tumbuhan memanjat dan menjalar.
Gabungkan tumbuhan herba dan hiasan dalam satu kotak tanaman juga adalah cara paling mudah menghias ruang terhad. Selain menjimatkan ruang, idea kreatif ini lebih menarik dan mempunyai nilai estetika selain meringankan poket belanja dapur.
Antara tumbuhan makanan atau edibel sesuai untuk laman comel adalah selasih,
pasli, kari, cili api, bayam, sawi, pegaga, selom, pudina, ulam raja, kangkung
dan oregano.
Pokok hiasan pula adalah daisi, marigold, orkid, amaranthaceae (bunga butang),
paku pakis, mawar atau pokok berdaun seperti aglonema, duranta, keladi
(caladium), calathea renek dan pokok duit-duit.
(Sumber
tulisan- Berita Harian/ Foto Zaitun Zainuddin)
saya akan share pd Affifudin hassan yg amat suka tentang pokok2...
ReplyDelete